Memaparkan catatan dengan label automotif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label automotif. Papar semua catatan

Toyota Vios serba baharu


UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios, sedan subkompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional Malaysia dengan lebih setengah juta unit terjual sejak diperkenalkan pada 2003.

Model baharu yang amat dinanti-nantikan itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 E (AT) dan 1.5 G (AT) Advanced dengan harga atas jalan tanpa insurans masing-masing bermula RM89,600 dan RM95,500.

Vios serba baharu yang diperkenalkan ke pasaran tempatan menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan teknologi baharu menjadikannya pilihan lebih menarik kepada pelanggan yang sedang mencari kereta yang boleh dipercayai, cekap dan mampu milik.

Menurut UMW Toyota Motor, selaras dengan trend Toyota menawarkan kereta lebih baik, jenama itu menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi yang di naik taraf bagi menyediakan nilai terunggul dalam pemilikan Toyota Vios Serba Baharu.

Model terkini itu menggunakan enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i yang terbukti dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi yang lebih kukuh, manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api

Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, model sedan itu memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan 'Toyota Way'.

Tarikan baharu Toyota Vios ialah ia kenderaan pertama menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan.

Ia juga hadir dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran, berkata penggunaan teknologi termaju dalam proses pemasangan Toyota Vios serba baharu bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluarannya.

Malah, katanya ia menggalakkan lagi peningkatan kemahiran tenaga kerja syarikat, memupuk pengembangan pengetahuan dalam industri dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.

"Maklum balas terhadap Toyota Vios serba baharu ini adalah luar biasa dengan jumlah tempahan melebihi 5,000 unit sejak pengumuman dibuka pada 24 Februari lalu. Ini adalah bukti popularitinya di pasaran Malaysia.

"Kami teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu yang mewakili komitmen menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan. Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun gemilang dan penuh dengan peluang untuk memacu pertumbuhan serta pembangunan ekonomi Malaysia," katanya pada majlis pelancaran model itu di sini, hari ini.

Totoya Vios serba baharu tersedia menerusi lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini.

Model itu hadir dengan jaminan lima tahun dan perbatuan tanpa had, selain pemilik juga akan menikmati perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun Toyota Vehicle Telematics System yang akan memantau lokasi kereta setiap masa.

Toyota buka tempahan untuk Veloz

 


UMW Toyota Motor membuka tempahan untuk model crossover premium serba baharu dengan tujuh tempat duduk, Toyota Veloz yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Model pengganti Toyota Avanza itu ditawarkan dengan varian 1.5 serba baharu yang mempunyai spesifikasi tertinggi dan boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota mulai hari ini dengan harga anggaran atas jalan tanpa insurans RM95,000.

Toyota Veloz yang dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu dilengkapi dengan ciri tersendiri iaitu imej penuh yakin crossover premium dan ruang dalaman yang lebih besar bersaiz kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk keselesaan keluarga.

Model pemasangan tempatan (CKD) itu tersedia dengan lima pilihan warna iaitu Silver Metallic with Black Roof; Blue Metallic with Black Roof; White; Metallic Bluish Black; dan Red Metallic.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata model serba baharu dengan tujuh tempat duduk itu adalah kenderaan berkualiti tinggi yang akan menawarkan pengalaman pemanduan kepada pelanggannya.

"Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Toyota Veloz serba baharu ini akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Di UMW Toyota Motor, kami komited untuk berusaha lebih banyak untuk pelanggan Toyota kami dan memastikan bahawa mereka mengalami hanya yang terbaik.

"Toyota Veloz serba baharu CKD ini menggantikan Toyota Avanza dalam pasaran MPV segmen-B Malaysia. Toyota Avanza diperkenalkan secara tempatan pada 2004 dan UMW Toyota Motor telah menjual lebih 178,000 unit.

"Sesuai untuk rakyat Malaysia yang mempunyai gaya hidup aktif, Toyota Veloz serba baharu menampilkan reka bentuk dinamik yang mengetengahkan watak crossover premium yang menyerlah dan progresif, sesuai untuk generasi hari ini dan esok," katanya dalam satu kenyataan

Penumpang Toyota Veloz boleh menikmati kualiti dalaman kelas premium inovasi Toyota terkini kerana ruang dalamannya yang sangat luas iaitu sebesar MPV segmen-C, selain mempunyai susunan tempat duduk yang fleksibel untuk pelbagai tujuan.

Prestasi pemanduan Toyota Veloz serba baharu lebih unggul berbanding Avanza sebelumnya dengan platform dan suspensi pacuan roda hadapan (FWD) baharu.

Model serba baharu ini menggunakan enjin 1.5L yang sangat cekap (2NR-VE) dengan anjakan berurutan CVT 7-kelajuan yang menyediakan transmisi kuasa cekap untuk pecutan lancar dan berkuasa, sambil memastikan kecekapan bahan api yang sangat baik.

PROTON lancar X70 2022 dengan enjin 1.5L

 


PROTON melancarkan X70 2022 dengan gaya diperbaharui dan pilihan baharu untuk pembeli yang mencari kenderaan utiliti sukan (SUV) menawarkan peningkatan prestasi dalam kecekapan bahan api.

SUV terlaris di Malaysia itu kini diperkenalkan dengan enjin suntikan terus 1.5L TGDi, pengecas turbo, alternatif kompak baharu kepada enjin 1.8L TDGi yang biasa.

Ia menawarkan lima varian iaitu 1.5 TGDi Standard 2WD pada harga bermula RM93,900, 1.5 TGDi Executive 2WD pada harga bermula RM105,500,

1.5 TGDi Executive AWD pada harga bermula RM111,300, 1.5 TGDi Premium 2WD pada harga bermula RM117,900 dan 1.8 TGDi Premium 2WD pada harga bermula RM121,800.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata Proton X70 adalah model yang mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris sejak dilancarkan.

"Lebih 70,000 unit dijual dan hari ini, kami telah mengemaskini penggayaan dan enjin 1.5L TGDi untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada bakal pembeli.

"Ia menjanjikan tahap prestasi yang sama dengan varian 1.8L TGDi di samping peningkatan prestasi dalam kecekapan bahan api yang dapat memenuhi keinginan pelanggan kami untuk memiliki sebuah SUV yang bukan hanya menyerlah dalam prestasi, ciri dan tarikan estetik, tetapi juga mampu dimiliki dan dikendalikan," katanya dalam satu kenyataan.

Proton X70 2022 dilancarkan secara maya menerusi laman Facebook syarikat automotif itu, hari ini.

Dikemaskini dengan teknologi dan inovasi enjin terkini, enjin 1.5L TGDi telah dikaji selama lima tahun dan membabitkan lebih dari 100 pakar utama dalam kerjasama global dan menjalani ujian lebih 12 juta kilometer dalam keadaan dan iklim yang paling ekstrem dan tertekan.

Enjin yang sangat dipercayai dan terbukti di pasaran itu telah merekodkan lebih 750,000 unit di jalan raya di seluruh dunia dan boleh didapati di 22 negara dengan cuaca dan keadaan jalan raya yang pelbagai.

njin 1.5L TGDi dibina di Tanjung Malim, di barisan pengeluaran baharu yang memenuhi piawaian kualiti yang ketat mandatori bagi salah satu enjin pemasangan tempatan paling canggih di Malaysia.

Selain daripada enjin, Proton X70 2022 juga menawarkan ciri yang dipertingkatkan untuk keselesaan pemandu dan penumpang serta rupa yang diperbaharui.

Ini juga termasuk kemasan hitam kuarza pada bampar hadapan dan belakang, roda aloi 19 inci baharu, pintu belakang berkuasa dengan sensor kaki dan tempat duduk kulit Nappa dengan lapisan utama hitam baharu.

Pilihan warna luaran untuk Proton X70 2022 adalah Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey, ditawarkan mengikut varian yang dipilih.

Proton X70 2022 kini boleh didapati untuk tempahan dalam talian di https://www.proton.com/en/find-a- car/protonx70 dan di bilik pameran PROTON yang sah.