Memaparkan catatan dengan label vios. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vios. Papar semua catatan

Toyota Vios serba baharu


UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios, sedan subkompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional Malaysia dengan lebih setengah juta unit terjual sejak diperkenalkan pada 2003.

Model baharu yang amat dinanti-nantikan itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 E (AT) dan 1.5 G (AT) Advanced dengan harga atas jalan tanpa insurans masing-masing bermula RM89,600 dan RM95,500.

Vios serba baharu yang diperkenalkan ke pasaran tempatan menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan teknologi baharu menjadikannya pilihan lebih menarik kepada pelanggan yang sedang mencari kereta yang boleh dipercayai, cekap dan mampu milik.

Menurut UMW Toyota Motor, selaras dengan trend Toyota menawarkan kereta lebih baik, jenama itu menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi yang di naik taraf bagi menyediakan nilai terunggul dalam pemilikan Toyota Vios Serba Baharu.

Model terkini itu menggunakan enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i yang terbukti dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi yang lebih kukuh, manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api

Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, model sedan itu memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan 'Toyota Way'.

Tarikan baharu Toyota Vios ialah ia kenderaan pertama menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan.

Ia juga hadir dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran, berkata penggunaan teknologi termaju dalam proses pemasangan Toyota Vios serba baharu bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluarannya.

Malah, katanya ia menggalakkan lagi peningkatan kemahiran tenaga kerja syarikat, memupuk pengembangan pengetahuan dalam industri dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.

"Maklum balas terhadap Toyota Vios serba baharu ini adalah luar biasa dengan jumlah tempahan melebihi 5,000 unit sejak pengumuman dibuka pada 24 Februari lalu. Ini adalah bukti popularitinya di pasaran Malaysia.

"Kami teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu yang mewakili komitmen menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan. Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun gemilang dan penuh dengan peluang untuk memacu pertumbuhan serta pembangunan ekonomi Malaysia," katanya pada majlis pelancaran model itu di sini, hari ini.

Totoya Vios serba baharu tersedia menerusi lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini.

Model itu hadir dengan jaminan lima tahun dan perbatuan tanpa had, selain pemilik juga akan menikmati perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun Toyota Vehicle Telematics System yang akan memantau lokasi kereta setiap masa.