Cara untuk ibu bapa pujuk anak-anak makan

Mei 02, 2024

 


Ramai ibu bapa boleh faham perasaan kecewa, sedih dan risau apabila anak kecil mereka enggan makan apa-apa yang dihidangkan. Ia mungkin bermula dengan perkara kecil seperti menolak sayur hijau yang tidak sedap dan akhirnya menolak sepinggan nasi.

Anak-anak hanya mahu makan makanan yang spesifik sahaja seperti sepinggan nasi dan ayam goreng atau pasta carbonara. Disebabkan tiada lagi pilihan lain dan terdesak mahu beri anak makan, ibu bapa pun terpaksalah memberi makanan yang sama berulang kali setiap hari. 

Hati ibu ini risau bukan mahu mengenyangkan anak sahaja, malah mahu memastikan makanan yang mereka ambil seimbang demi tumbesaran. 

Walau apa pun masalahnya, anda tidak sepatutnya memaksa kanak-kanak untuk makan. Pendekatan yang lebih baik ialah cuba memasukkan sekurang-kurangnya satu makanan pilihan yang sihat pada setiap hidangan sambil menawarkan makanan lain.

Anda boleh membenarkan mereka makan (atau meletakkan) hanya apa yang mereka suka di atas pinggan. Mereka mungkin mengetepikan nasi dan sayuran, tetapi makan ayam dengan berselera.

Kuncinya ialah menyediakan pelbagai jenis makanan dan memastikan masa makan yang positif.

Bagi ibu bapa yang mengalami masalah ini, berikut ialah tujuh perkara yang boleh dilakukan untuk memupuk anak-anak makan tanpa memilih.

  1. Hadkan gangguan ketika makan
Kehadiran tablet, telefon pintar dan televisyen akan menyebabkan kanak-kanak hilang minat untuk makan. 

Walaupun ia mungkin kelihatan seperti cara untuk membuat mereka senyap dan tidak meragam, adalah lebih baik untuk mengehadkan penggunaan peranti elektronik dan gangguan lain semasa makan. Anda juga dilarang memegang telefon pada waktu makan. Tunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak ikuti.

Dengan menumpu kepada makanan, perbualan dan ikatan keluarga, mungkin lebih mudah untuk anak anda makan. Selain itu, pastikan ruang makan adalah santai dan setiap orang mempunyai ruang untuk menikmati hidangan mereka. Gunakan alternatif seperti kerusi yang sesuai dengan anak supaya mereka selesa di meja.

  1. Saiz hidangan yang bersesuaian
Mungkin masalahnya bukan kerana anak anda enggan makan, sebaliknya mereka enggan menghabiskan semua makanan di pinggan mereka. 
Ingat, kanak-kanak tidak memerlukan makanan sebanyak orang dewasa. Jika anda meletakkan terlalu banyak makanan di atas pinggan mereka, anak-anak mungkin tidak dapat menghabiskannya. 

Ini bukan kerana mereka tidak mahu makan tetapi kerana mereka kenyang. Cuba letakkan bahagian yang lebih kecil di hadapan si kecil anda. 

Mereka juga mungkin tidak lapar. Kanak-kanak boleh mengalami perubahan besar dalam selera makan mereka sepanjang hari atau bahkan dari hari ke minggu. 

  1. Elak makan sebelum waktu tidur anak
Dalam keadaan mereka mengantuk dan meragam, agak sukar memujuk anak-anak untuk makan. Oleh itu, jangan jadualkan makanan terlalu dekat dengan waktu tidur. Ini juga membawa maksud mereka tidak diwajibkan untuk makan pada waktu yang sama seperti ahli keluarga lain.
 
  1. Elakkan tekanan pada waktu makan
Memaksa, menekan atau menjerit kepada kanak-kanak untuk makan tidak membantu keadaan. Sebaik sahaja mereka marah atau mula menangis, peluang mereka untuk makan akan menipis. Oleh itu, walaupun anda mungkin mahu menggalakkan anak-anak makan, jangan terlalu menekan mereka.

  1. Ajak anak masak bersama sekiranya bersesuaian
Walaupun ramai kanak-kanak kecil menyukai makanan yang sama hari demi hari, kepelbagaian boleh menambahkan keseronokan pada hidangan. 

Ajak anak anda membantu anda memilih makanan baharu untuk dicuba. Galakkan mereka untuk membantu dengan perancangan, membeli-belah dan ketika memasak. Jika mereka membantu menyediakan hidangan, mereka mungkin lebih teruja untuk makan.

  1. Kurangkan memberi snek
Sesetengah kanak-kanak enggan makan apabila mereka mempunyai terlalu banyak makanan ringan atau minuman pada siang hari. Mereka mempunyai perut yang lebih kecil, jadi ia tidak mengambil masa yang lama untuk mereka menjadi kenyang.
Jika kanak-kanak tidak berasa lapar pada waktu makan, mereka kurang berkemungkinan untuk makan.

Oleh itu, elakkan memberi snek dengan terlalu kerap.

  1. Fahamkan gaya pemakanan anak anda
Bergantung kepada gaya pemakanan anak anda, mereka mungkin memerlukan lebih atau kurang makanan pada waktu yang berbeza dalam sehari. 


Sumber : RELEVAN


You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.