Memaparkan catatan dengan label ua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ua. Papar semua catatan

Universiti Awam tawar jurusan ikut senarai permohonan

 


Apa pilihan anda sekiranya kursus yang ditawarkan berlainan dengan keinginan? Adakah kekal meneruskan pengajian atau sanggup menunggu kemasukan baharu tahun hadapan?

Bagi Nurul Fatihah Rashid, 22, beliau memilih untuk tidak menunggu. Nurul Fatihah bercita-cita ingin menjadi ahli farmasi, bagaimanapun permohonannya untuk mengikuti kursus itu di universiti awam (UA) tidak menjadi kenyataan apabila ditawarkan sarjana muda patologi pertuturan.

"Saya tiada pilihan melainkan terpaksa berhenti belajar dan menyambung pengajian di universiti swasta. Demi minat dan cita-cita, saya perlu buat keputusan itu.

"Saya mungkin bernasib baik kerana ibu bapa memberi sokongan," katanya.

Nurul Fatihah berkata, ketika mengisi borang permohonan di UPUOnline, beliau meletakkan bidang farmasi sebagai pilihan utama dan kedua sebelum meletakkan patologi pertuturan sebagai pilihan ketiga.

Katanya, walaupun beliau menyenaraikan patologi pertuturan sebagai pilihan ketiga tetapi ia lebih kepada sekadar mengisi permohonan kerana minatnya adalah dalam bidang farmasi.

Kongsi anak kelahiran Melaka itu, sejak kecil beliau bercita-cita menjadi ahli farmasi jadi kegagalan mendapat tempat di UA sedikit mengecewakan. Namun ia bukan rintangan untuk melupakan cita-cita itu sebaliknya semakin kuat cintanya pada bidang farmasi.

"Saya cuba juga sebenarnya untuk beberapa ketika belajar jurusan yang ditawarkan di UA itu tapi saya tidak boleh tipu diri sendiri. Saya sukakan bidang farmasi jadi memutuskan untuk berhenti dan masuk universiti swasta," katanya.

Namun berlainan pula dengan pelajar tahun satu, Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam Dalam Usuluddin dan Perbandingan Agama, Muhammad Alif Nasrullah Mustaqim Nasarudin, 19.

Muhammad Alif Nasrullah berkata, dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian di UA idamannya meskipun kursus diikuti bukan pilihan utama.

Katanya, ketika membuat permohonan menerusi UPUOnline, dia meletakkan pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai pilihan pertama, manakala Pengajian Islam al-Quran dan Sunnah sebagai pilihan kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua pilihan itu tidak berjaya sebaliknya dia ditawarkan pilihan kelima iaitu Asasi Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan.

Tegas Muhammad Alif Nasrullah, beliau tidak ada masalah dengan tawaran itu meskipun agak jauh daripada jangkaannya.

"Saya terima tawaran itu kerana pelajaran peringkat Asasi hanya setahun berbanding pengajian diploma yang memerlukan tiga tahun sebelum menyambung ke ijazah pertama.

"Jadi saya ada pilihan pantas untuk sambung ijazah," katanya.

Katanya, beliau percaya mampu cemerlang dalam pilihan yang diberikan kepadanya apatah lagi ketika mengisi borang permohonan, dia mengisinya dengan cermat dan tertib selain mengetahui merit setiap bidang pengajian yang mahu diambil.

Sambungnya, kegagalan seseorang calon mendapatkan tempat bukan disebabkan masalah UPUOnline sebaliknya bidang pengajian dipilih mungkin tidak memenuhi syarat dan merit yang ditetapkan.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai semua itu sebelum membuat permohonan. Jadi saya tidak ada masalah menerima tawaran yang berlainan dengan permohonan.

"Apa yang penting, bila kita membuat permohonan di UPUOnline, perlu diketahui permohonan awal iaitu fasa satu kebiasaannya menggunakan keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ).

"Jadi pada peringkat ini kita sudah tahu apa bidang pengajian yang diminati dan selain mempunyai 12 pilihan bidang malah, kita juga sudah mengetahui syarat dan merit sesuatu pengajian itu," katanya.

Sementara itu bagi Muhammad Khairil Ramli , 19, berkata kegagalan menempatkan diri dalam bidang diminati bukanlah kekurangan. Sebaliknya beliau melihatnya secara positif dan percaya, ada rezeki yang lebih baik untuknya di hadapan.

Berasal dari Jempol, Negeri Sembilan, Muhammad Khairil berkata beliau dipanggil temuduga untuk pengajian seni bina di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagaimanapun, rezekinya tidak ada di situ.

"Saya difahamkan tawaran bagi menduduki kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina di situ terhad. Namun, gagal mengikuti kursus itu tidaklah begitu mengecewakan apatah lagi apabila saya ditawarkan untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya.

Tegas Muhammad Khairil, ketika ini apa yang penting adalah mencipta kecemerlangan dan memanfaatkan masa di kampus dengan sebaiknya.

Katanya, berdasarkan perkongsian guru-guru dan rakan-rakan sebelum ini beliau percaya setiap pemohon perlu rajin membuat ' kerja rumah ' sebelum mengisi borang UPUOnline. Paling utama katanya memastikan kelayakan bersesuaian dengan kelulusan diperoleh.

"Jika kita tersalah mengisi atau tidak cermat, ia akan menjejaskan pemilihan.

"Semasa di sekolah, memang saya ambil tahu mengenai perkara begini dan kerap hadir jika sekolah membuat kursus atau penerangan berkaitan," katanya.

Sementara itu UPUOnline dalam laman webnya menjelaskan setiap pemohon boleh membuat 12 pilihan pengajian. Tawaran hanya dibuat berdasarkan pilihan yang disenaraikan calon meskipun ia bukan pilihan utama.

Paling penting calon mestilah membuat permohonan berdasarkan merit dan syarat am permohonan misalnya jika bidang pengajian yang dimohon memerlukan merit 80 peratus, calon mestilah memenuhi syarat itu.

Begitu juga jika sesuatu pengajian itu mensyaratkan hanya calon yang memperoleh gred A atau B dalam subjek berkaitan saja boleh memohon. Kegagalan menepati semua syarat itu akan menyebabkan sistem pemilihan UPUOnline menolak pilihan pelajar disebabkan gagal menepati syarat ditetapkan.

Justeru calon diingatkan untuk memastikan permohonan yang dibuat memenuhi syarat am dan khas ditetapkan selain memilih program diminati dan menyusun 12 pilihan pengajian berdasarkan keutamaan. Secara umum, pemilihan seseorang itu adalah berdasarkan kemampuan memenuhi syarat khas, ada kekosongan di UA berkaitan, berjaya dalam temuduga atau ujian selain merit.

Sumber dari Berita Harian

Ranking Universiti Terbaik Malaysia 2022


 

Senarai Universiti Terbaik di Malaysia 2022

1. Universiti Malaysia (UM)
2. Universiti Putra Malaysia (UPM)
3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
4. Universiti Sains Malaysia (USM)
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
6. Taylor’s University
7. UCSI University
8. Universiti Teknologi Petronas (UTP)
9. Universiti Utara Malaysia (UUM)
10. MSU University
11. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
12. Universiti Teknologi MARA (UiTM)
13. Sunway University
14. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
15. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
16. Universiti Malaysia Pahang (UMP)
17. Universiti Malaysia Perlis (UMP)
18. Universiti Tuanku Abdul Rahman (UNITAR)
19. Universiti Multimedia Malaysia (UMM)
20. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
21. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
22. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber : KPT