Memaparkan catatan dengan label ipta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ipta. Papar semua catatan

Anggaran kos pengajian di luar negara

 


Empat negara dengan kos yang perlu dibelanjakan sebagai panduan untuk anda yang mahu melanjutkan pengajian di luar negara.

  1. United Kingdom

United Kingdom (UK) merupakan antara tempat popular untuk pelajar Malaysia melanjutkan Pelajaran. Kos untuk pengajian ijazah sarjana muda adalah sekitar antara £10,000 (RM58,501) hingga £60,000 (RM351,009) setahun bergantung kepada universiti dan program.

Tinggal di bandar utama seperti London bermakna anda perlu berbelanja lebih untuk sewa, utiliti dan perbelanjaan sara hidup seharian.


Tinggal di bandar utama seperti London bermakna anda perlu berbelanja lebih untuk sewa, utiliti dan perbelanjaan sara hidup seharian.

Jangkakan untuk membelanjakan kira-kira £800 (RM4,680) hingga £1,000 (RM5,850) sebulan untuk bahan pengajian, perjalanan dan perbelanjaan sara hidup anda.

Walaupun begitu, satu kelebihan belajar di sini ialah kebanyakan program ditawarkan hanya untuk tiga tahun berbanding negara lain.

Terdapat cara lain untuk mengurangkan perbelanjaan, termasuk tinggal di kampus (jika ada) dan bekerja sambilan. Lihat sumber IDP Malaysia untuk mengetahui kelayakan anda bekerja 

  1. Amerika Syarikat

Purata yuran pengajian sangat berbeza di Amerika Syarikat (AS). Ia bergantung kepada sekolah pilihan anda.

Institusi swasta menelan belanja belanja yang lebih tinggi berbeza dengan kolej awam yang juga dikenali sebagai ‘sekolah negeri’ lebih berpatutan tetapi mempunyai reputasi yang sama.

Sebagai pelajar antarabangsa di AS, anda mungkin perlu membayar yuran ‘luar negeri’ sebagai tambahan kepada tuisyen dan perbelanjaan harian anda.

Program sarjana muda di AS mengambil masa selama empat tahun.

Menurut laporan Wise, AS adalah negara paling mahal untuk belajar di luar negara secara global dengan pelajar Malaysia membelanjakan purata RM130,470.38 setahun untuk kos pendidikan sahaja.

Walau bagaimanapun, biasiswa adalah kelebihan besar kepada mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

Jadi, lakukan penyelidikan anda dan cari universiti yang menawarkan biasiswa kepada pelajar antarabangsa.

  1. China

Belajar di China boleh menjadi pengalaman yang unik dan berharga. Dengan lebih 30 institut pengajian yang berada di kedudukan teratas untuk sains, perubatan dan kejuruteraan, negara ini boleh menjadi pilihan terbaik untuk pelajar yang mengikuti pengajian ijazah dalam bidang tersebut.

Pengajian di China beroperasi dengan sistem dua semester jadi jangkakan untuk membayar sekurang-kurangnya RM200 hingga RM400 setahun untuk bahan kursus dan tambahan RM550 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup harian. Secara keseluruhannya, ia jauh lebih berpatutan berbanding AS atau UK.

Kebanyakan universiti utama China menawarkan program mereka dalam bahasa Inggeris, tetapi jika anda tinggal di China, bertutur dalam bahasa mereka akan membantu anda menyelami budaya tempatan sepenuhnya.

Jika anda sedang mempertimbangkan perkara ini, pastikan anda membuat belanjawan yuran untuk kursus bahasa supaya anda boleh memulakannya dengan lebih awal.

  1. Jerman

Sistem pendidikan Jerman sangat berpatutan. Kebanyakan universiti awam di Jerman menawarkan tuisyen percuma. Yuran semester pula sekitar RM7,500 lantas menjadikannya tempat pengajian dengan bayaran yang sangat berpatutan.

Kos sara hidup sekitar RM3,500 hingga RM4,000 sebulan dengan bayaran sewa kira-kira RM1,900 hingga RM3,000 sebulan.

Jerman juga memerlukan insurans kesihatan yang sah sebagai sebahagian daripada proses permohonan visa, jadi jika ingin belajar di sana, masukkan premium insurans ke dalam belanjawan anda.


Sumber : RELEVAN

Universiti Awam tawar jurusan ikut senarai permohonan

 


Apa pilihan anda sekiranya kursus yang ditawarkan berlainan dengan keinginan? Adakah kekal meneruskan pengajian atau sanggup menunggu kemasukan baharu tahun hadapan?

Bagi Nurul Fatihah Rashid, 22, beliau memilih untuk tidak menunggu. Nurul Fatihah bercita-cita ingin menjadi ahli farmasi, bagaimanapun permohonannya untuk mengikuti kursus itu di universiti awam (UA) tidak menjadi kenyataan apabila ditawarkan sarjana muda patologi pertuturan.

"Saya tiada pilihan melainkan terpaksa berhenti belajar dan menyambung pengajian di universiti swasta. Demi minat dan cita-cita, saya perlu buat keputusan itu.

"Saya mungkin bernasib baik kerana ibu bapa memberi sokongan," katanya.

Nurul Fatihah berkata, ketika mengisi borang permohonan di UPUOnline, beliau meletakkan bidang farmasi sebagai pilihan utama dan kedua sebelum meletakkan patologi pertuturan sebagai pilihan ketiga.

Katanya, walaupun beliau menyenaraikan patologi pertuturan sebagai pilihan ketiga tetapi ia lebih kepada sekadar mengisi permohonan kerana minatnya adalah dalam bidang farmasi.

Kongsi anak kelahiran Melaka itu, sejak kecil beliau bercita-cita menjadi ahli farmasi jadi kegagalan mendapat tempat di UA sedikit mengecewakan. Namun ia bukan rintangan untuk melupakan cita-cita itu sebaliknya semakin kuat cintanya pada bidang farmasi.

"Saya cuba juga sebenarnya untuk beberapa ketika belajar jurusan yang ditawarkan di UA itu tapi saya tidak boleh tipu diri sendiri. Saya sukakan bidang farmasi jadi memutuskan untuk berhenti dan masuk universiti swasta," katanya.

Namun berlainan pula dengan pelajar tahun satu, Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam Dalam Usuluddin dan Perbandingan Agama, Muhammad Alif Nasrullah Mustaqim Nasarudin, 19.

Muhammad Alif Nasrullah berkata, dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian di UA idamannya meskipun kursus diikuti bukan pilihan utama.

Katanya, ketika membuat permohonan menerusi UPUOnline, dia meletakkan pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai pilihan pertama, manakala Pengajian Islam al-Quran dan Sunnah sebagai pilihan kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua pilihan itu tidak berjaya sebaliknya dia ditawarkan pilihan kelima iaitu Asasi Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan.

Tegas Muhammad Alif Nasrullah, beliau tidak ada masalah dengan tawaran itu meskipun agak jauh daripada jangkaannya.

"Saya terima tawaran itu kerana pelajaran peringkat Asasi hanya setahun berbanding pengajian diploma yang memerlukan tiga tahun sebelum menyambung ke ijazah pertama.

"Jadi saya ada pilihan pantas untuk sambung ijazah," katanya.

Katanya, beliau percaya mampu cemerlang dalam pilihan yang diberikan kepadanya apatah lagi ketika mengisi borang permohonan, dia mengisinya dengan cermat dan tertib selain mengetahui merit setiap bidang pengajian yang mahu diambil.

Sambungnya, kegagalan seseorang calon mendapatkan tempat bukan disebabkan masalah UPUOnline sebaliknya bidang pengajian dipilih mungkin tidak memenuhi syarat dan merit yang ditetapkan.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai semua itu sebelum membuat permohonan. Jadi saya tidak ada masalah menerima tawaran yang berlainan dengan permohonan.

"Apa yang penting, bila kita membuat permohonan di UPUOnline, perlu diketahui permohonan awal iaitu fasa satu kebiasaannya menggunakan keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ).

"Jadi pada peringkat ini kita sudah tahu apa bidang pengajian yang diminati dan selain mempunyai 12 pilihan bidang malah, kita juga sudah mengetahui syarat dan merit sesuatu pengajian itu," katanya.

Sementara itu bagi Muhammad Khairil Ramli , 19, berkata kegagalan menempatkan diri dalam bidang diminati bukanlah kekurangan. Sebaliknya beliau melihatnya secara positif dan percaya, ada rezeki yang lebih baik untuknya di hadapan.

Berasal dari Jempol, Negeri Sembilan, Muhammad Khairil berkata beliau dipanggil temuduga untuk pengajian seni bina di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagaimanapun, rezekinya tidak ada di situ.

"Saya difahamkan tawaran bagi menduduki kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina di situ terhad. Namun, gagal mengikuti kursus itu tidaklah begitu mengecewakan apatah lagi apabila saya ditawarkan untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya.

Tegas Muhammad Khairil, ketika ini apa yang penting adalah mencipta kecemerlangan dan memanfaatkan masa di kampus dengan sebaiknya.

Katanya, berdasarkan perkongsian guru-guru dan rakan-rakan sebelum ini beliau percaya setiap pemohon perlu rajin membuat ' kerja rumah ' sebelum mengisi borang UPUOnline. Paling utama katanya memastikan kelayakan bersesuaian dengan kelulusan diperoleh.

"Jika kita tersalah mengisi atau tidak cermat, ia akan menjejaskan pemilihan.

"Semasa di sekolah, memang saya ambil tahu mengenai perkara begini dan kerap hadir jika sekolah membuat kursus atau penerangan berkaitan," katanya.

Sementara itu UPUOnline dalam laman webnya menjelaskan setiap pemohon boleh membuat 12 pilihan pengajian. Tawaran hanya dibuat berdasarkan pilihan yang disenaraikan calon meskipun ia bukan pilihan utama.

Paling penting calon mestilah membuat permohonan berdasarkan merit dan syarat am permohonan misalnya jika bidang pengajian yang dimohon memerlukan merit 80 peratus, calon mestilah memenuhi syarat itu.

Begitu juga jika sesuatu pengajian itu mensyaratkan hanya calon yang memperoleh gred A atau B dalam subjek berkaitan saja boleh memohon. Kegagalan menepati semua syarat itu akan menyebabkan sistem pemilihan UPUOnline menolak pilihan pelajar disebabkan gagal menepati syarat ditetapkan.

Justeru calon diingatkan untuk memastikan permohonan yang dibuat memenuhi syarat am dan khas ditetapkan selain memilih program diminati dan menyusun 12 pilihan pengajian berdasarkan keutamaan. Secara umum, pemilihan seseorang itu adalah berdasarkan kemampuan memenuhi syarat khas, ada kekosongan di UA berkaitan, berjaya dalam temuduga atau ujian selain merit.

Sumber dari Berita Harian

Ranking Universiti Terbaik Malaysia 2022


 

Senarai Universiti Terbaik di Malaysia 2022

1. Universiti Malaysia (UM)
2. Universiti Putra Malaysia (UPM)
3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
4. Universiti Sains Malaysia (USM)
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
6. Taylor’s University
7. UCSI University
8. Universiti Teknologi Petronas (UTP)
9. Universiti Utara Malaysia (UUM)
10. MSU University
11. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
12. Universiti Teknologi MARA (UiTM)
13. Sunway University
14. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
15. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
16. Universiti Malaysia Pahang (UMP)
17. Universiti Malaysia Perlis (UMP)
18. Universiti Tuanku Abdul Rahman (UNITAR)
19. Universiti Multimedia Malaysia (UMM)
20. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
21. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
22. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber : KPT