Memaparkan catatan dengan label sains. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sains. Papar semua catatan

Mengapa bumi dan planet lain berbentuk bulat?


Tidak kiralah sejauh mana atau betapa uniknya planet-planet ini, satu perkara yang pasti dan sah ialah kebanyakan planet berbentuk sfera, terutamanya bumi kita. 

Namun, persoalan seterusnya ialah mengapa dan apakah yang membuatkan planet-planet ini berbentuk sfera? Jawapannya ialah graviti.

“Agak menakjubkan bahawa hasil daripada penemuan kami, kebanyakan perkara di angkasa berbentuk bulat,” kata ahli astrofizik di Program Eksplorasi Eksoplanet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Anjali Tripathi.

Graviti kendiri membentuk planet menjadi sfera

Menurut Live Science, kesan pembulatan graviti adalah hasil daripada graviti kendiri (self-gravity) iaitu graviti badan angkasa ke atas dirinya sendiri. Sebaik sahaja sebuah planet atau mungkin bulan terkumpul jisim yang mencukupi, graviti kendiri akan membentuknya seperti sfera. 

Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan di hadapan anda ada beberapa cebisan kertas yang dikoyakkan dan berselerak. Kemudian, kertas-kertas tersebut berkumpul dan menindih antara satu sama lain sehingga menjadi bentuk bola. 

Komponen dalam alam semesta terbentuk selepas letupan Big Bang kira-kira 13.8 bilion tahun yang lalu. Zarah-zarah habuk kecil yang beredar dalam awan debu berbentuk donat gergasi mula berlanggar. 
Menurut NASA, jika perlanggaran itu tidak terlalu kuat, zarah-zarah habuk berpotensi untuk mula bercantum. 

Perlanggaran demi perlanggaran pula akan mencipta kesan bola salji. Semakin banyak jisim planet terkumpul, semakin besar gravitinya dan semakin banyak jirim yang tertarik.

“Itu menunjukkan bahawa graviti menarik semua perkara (bahan membentuk planet) ke arah pusat graviti planet. Setiap bahan atau jirim akan cuba mendekati pusat graviti sedekat mungkin.

“Ia seperti sinki di dapur. Semua air akan turun melalui lubang sinki dan terus ke saluran paip,” jelas ahli astronomi dan ketua Pusat Data Sains di Pusat Astronomi Angkasa Eropah (ESAC), Bruno Merín. 

Tambah Merín, badan planet akan terus mengalihkan jirim ke sekeliling sehingga mereka menemui keseimbangan iaitu keadaan di mana setiap titik sedekat mungkin dengan pusat. Satu-satunya bentuk yang mencapai keseimbangan seperti ini di angkasa adalah sfera.

Planet-planet lain yang berbentuk sfera

Utarid dan Zuhrah adalah planet berbentuk sfera hampir sempurna kerana ia adalah planet batu yang berputar lebih perlahan. Planet ais juga cenderung untuk mencapai sfera hampir sempurna.

Tetapi, bulat tidak bermakna bahawa setiap planet adalah sfera yang sempurna. Planet gergasi seperti Musytari dan Zuhal membonjol di bahagian kutub atas dan kutub bawah kerana kedua-duanya berputar sangat laju.

Zuhal pula kelihatan seperti bola keranjang yang diduduki seseorang. Malah, bumi juga mempunyai benjolan kecil kurang daripada satu peratus disebabkan daya emparan. Jadi, bumi adalah oblate atau sfera yang sedikit rata.

Walaupun alam semesta dipenuhi dengan planet berbentuk sfera, terdapat banyak lagi bahan di angkasa yang bukan sfera. Asteroid dan komet boleh datang dalam sebarang bentuk, bergantung kepada pelanggaran dan putaran. 

Marikh mempunyai bulan berbentuk kentang yang dipanggil Phobos. Sebenarnya, hanya kira-kira 20 daripada hampir 300 bulan yang diketahui dalam sistem suria adalah bentuk bulat. Bulan yang selebihnya pula bentuknya tidak teratur. 

Jelas Tripathi lagi, planet, bulan atau apa-apa bahan lain di angkasa tidak berbentuk sfera kerana ia tidak mempunyai graviti yang mencukupi untuk meratakan bentuknya menjadi sfera. 

Sumber dari RELEVAN

Saintis jumpa spesies baharu labah-labah, cicak di Perlis


Sepasukan saintis yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis menemukan labah-labah daripada spesies 'tribes spider' dan cicak 'Cyrtodactylus zebraicus' di Hutan Simpan Negeri Perlis.

Ketua penyelidik ekspedisi itu Prof Madya Dr Amirrudin Ahmad berkata labah-labah berkenaan merupakan spesies endemik dan hanya terdapat di negeri ini.

"Labah-labah ini merupakan spesies baharu yang pertama kali dijumpai dan kita dalam proses memberi nama," katanya kepada pemberita pada Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis (Hutan Simpan Bukit Bintang) di sini malam tadi.

Seminar dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang itu turut dihadiri Exco Alam Sekitar Perlis Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni.

Amirrudin yang juga Pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata ekspedisi berkenaan dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lepas.

"Di Malaysia cicak berkenaan pula hanya terdapat di Perlis dengan dipercayai berasal dari Thailand dan masuk ke negara ini menerusi Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand," katanya dan menambah cicak itu lazimnya ditemukan di tanah pamah dan hutan separa daun luruh.

Sementara itu, Mohd Ridza berkata penemuan spesies berkenaan yang didokumentasikan mampu menarik peminat hidupan liar datang ke negeri ini sekali gus sebagai tarikan ekopelancongan.

"Sebagai contoh peminat burung akan datang ke sini (Perlis) apabila mendapat maklumat bahawa terdapat spesies burung yang mereka minati atau jarang dijumpai, " katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha menganjurkan ekspedisi saintifik bagi tujuan dokumentasi kandungan kepelbagaian biologi yang ada dalam kawasan hutan.

"Sehingga kini Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah menganjurkan 42 siri ekspedisi saintifik di seluruh negara dan setiap ekspedisi itu akan disusuli dengan seminar saintifik bagi membolehkan pengkaji membentangkan penemuan mereka mengikut kepakaran masing-masing," katanya.

Sumber dari BERNAMA.

Panduan mengajar dan menguasai subjek Sains ketika PdPR

 

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memberi cabaran tersendiri kepada guru yang mengajar subjek Sains. Selain kedudukannya sebagai subjek penting, kaedah pengajarannya sebelum ini disampaikan menggunakan prosedur dan proses terperinci sama ada ia berlangsung di kelas atau makmal.

Bagaimanapun dengan kaedah pembelajaran semasa, pengajaran subjek Sains sangat mencabar bukan hanya untuk guru tetapi juga pelajar. Lebih mencabar lagi, tahap kemampuan pelajar memahami Sains juga berbeza-beza. Ada yang cepat faham, sederhana dan ada pula yang memerlukan masa yang lebih panjang.

Subjek Sains sudah dipelajari murid sejak sekolah rendah dengan memberi pendedahan kepada bidang penciptaan saintifik dan penggunaan teknologi terkini. Ia adalah sebahagian usaha Dasar Sains dan Teknologi (1986) yang bertujuan menggalakkan penciptaan saintifik dalam kalangan pelajar.

Apabila berada di sekolah menengah, subjek ini dibahagikan secara terperinci kepada Biologi, Kimia dan Fizik. 

Bagaimanakah agaknya subjek Sains dapat dikuasai menerusi kaedah pembelajaran terkini? PdPR membawa norma baharu bersamanya iaitu, Sains perlu dipelajari secara kendiri tanpa bergantung kepada guru sepenuhnya.

Kebanyakan pelajar tidak minat Sains dan mempunyai persepsi negatif mengenainya, itu hal yang biasa kita dengar. Bagi mereka, Sains adalah subjek yang perlu dihafal, susah hendak difahami dan tidak menyeronokkan. Bagaimanapun hal itu boleh diubah jika mereka dibantu untuk menguasainya walaupun mempelajarinya dalam talian.

1) Peta minda beranimasi

Hanya guru yang bercakap, murid mendengar, kaedah pengajaran ini sangat membosankan. Sebaliknya, minta pelajar sediakan peta minda berserta animasi merujuk kepada teori Sains dan eksperimen. Ibu bapa boleh membantu anak-anak menyediakan peta minda dengan berbincang topik berkaitan bersama mereka. Peta minda beranimasi membantu memudahkan pelajar mengingati dan memahami apa yang dipelajari. Ibu bapa juga dapat memantau dan menilai tahap kefahaman anak dan mengesan di mana kelemahan mereka. Tidak semestinya menggunakan peranti, peta minda juga boleh dilukis dengan tangan.

2) Perbincangan santai dalam PdPR

Guru juga boleh berkongsi dengan pelajar pautan laman sosial berkaitan topik atau tajuk yang ingin diajar. Selain itu, artikel atau berita berkaitan perkembangan Sains juga boleh dijadikan bahan bacaan tambahan untuk dibincangkan dalam kelas. Perbincangan akan lebih menyeronokkan jika ia dibuat secara tidak formal. Dalam hal ini, guru berperanan mewujudkan suasana perbincangan supaya ia tidak terlalu serius sekali gus menggalakkan pelajar mengeluarkan pendapat dengan lebih santai. Ia juga boleh diselitkan dengan interaktif seperti lukisan, komik, permainan mudah yang bertujuan menarik minat dan fokus pelajar.

3) 'Makmal' di rumah

Jadikan rumah sebagai 'makmal' yang menyeronokkan. Pelajar boleh mendekati Sains dengan cepat dan mudah dengan membuat eksperimen yang tidak membabitkan kos seperti rangsangan dan gerak balas, pengamatan struktur pembiakan bunga, ujian ketumpatan objek di dalam air, pengambilan nutrisi makanan dan lain-lain. Hasil eksperimen di rumah boleh dibentangkan melalui buku skrap dengan kreativiti sendiri. Uji kaji Sains ini lebih menyeronokkan jika dilakukan bersama ahli keluarga sebagai aktiviti santai secara harian atau di hujung minggu. Dalam hal ini, ibu bapa juga boleh berkongsi ilmu dan pengalaman mereka berkaitan uji kaji yang dibuat bagi memudahkan pemahaman murid.

4) Rakaman video pendek

Buat rakaman video pendek berkaitan topik Sains. Hasil tugasan ini boleh dibincangkan bersama di dalam kelas melalui pembentangan video dan ulasan secara lisan. Contoh video yang boleh dilakukan seperti proses penyediaan dan menanam sayur di dalam pasu (seperti salad, sawi, kangkung dan bayam) di mana pelajar boleh kaitkan aktiviti ini melalui penggabungan beberapa topik lain seperti proses hidup tumbuhan, fotosintesis dan pengkelasan tumbuhan.

5) Sains dan media sosial

Sains tidak hanya tertumpu kepada teori dan eksperimen. Sebaliknya, ia juga membabitkan hubungan antara manusia, alam sekitar, tumbuhan dan haiwan. Pembelajaran Sains boleh diharmonikan melalui penggunaan teknologi media sosial selari dengan minat generasi muda yang boleh dikatakan setiap pelajar terdedah dengan teknologi maklumat dan gajet. Perkongsian rakaman video di media sosial secara tidak langsung juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan alam sekitar dan hidupan liar terhadap ekosistem. Galakan seperti ini juga dapat menerapkan nilai cinta generasi muda terhadap bumi dan hidupan lain. Perkongsian itu mungkin aktiviti berkaitan alam sekitar dan hidupan liar misalnya kempen cintai alam sekitar, sayangi sungai kita atau konsep semula.

Oleh Dr Hasmahzaiti Omar

Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya

Sumber dari Berita Harian