Memaparkan catatan dengan label bumi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bumi. Papar semua catatan

Mengapa bumi dan planet lain berbentuk bulat?


Tidak kiralah sejauh mana atau betapa uniknya planet-planet ini, satu perkara yang pasti dan sah ialah kebanyakan planet berbentuk sfera, terutamanya bumi kita. 

Namun, persoalan seterusnya ialah mengapa dan apakah yang membuatkan planet-planet ini berbentuk sfera? Jawapannya ialah graviti.

“Agak menakjubkan bahawa hasil daripada penemuan kami, kebanyakan perkara di angkasa berbentuk bulat,” kata ahli astrofizik di Program Eksplorasi Eksoplanet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Anjali Tripathi.

Graviti kendiri membentuk planet menjadi sfera

Menurut Live Science, kesan pembulatan graviti adalah hasil daripada graviti kendiri (self-gravity) iaitu graviti badan angkasa ke atas dirinya sendiri. Sebaik sahaja sebuah planet atau mungkin bulan terkumpul jisim yang mencukupi, graviti kendiri akan membentuknya seperti sfera. 

Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan di hadapan anda ada beberapa cebisan kertas yang dikoyakkan dan berselerak. Kemudian, kertas-kertas tersebut berkumpul dan menindih antara satu sama lain sehingga menjadi bentuk bola. 

Komponen dalam alam semesta terbentuk selepas letupan Big Bang kira-kira 13.8 bilion tahun yang lalu. Zarah-zarah habuk kecil yang beredar dalam awan debu berbentuk donat gergasi mula berlanggar. 
Menurut NASA, jika perlanggaran itu tidak terlalu kuat, zarah-zarah habuk berpotensi untuk mula bercantum. 

Perlanggaran demi perlanggaran pula akan mencipta kesan bola salji. Semakin banyak jisim planet terkumpul, semakin besar gravitinya dan semakin banyak jirim yang tertarik.

“Itu menunjukkan bahawa graviti menarik semua perkara (bahan membentuk planet) ke arah pusat graviti planet. Setiap bahan atau jirim akan cuba mendekati pusat graviti sedekat mungkin.

“Ia seperti sinki di dapur. Semua air akan turun melalui lubang sinki dan terus ke saluran paip,” jelas ahli astronomi dan ketua Pusat Data Sains di Pusat Astronomi Angkasa Eropah (ESAC), Bruno Merín. 

Tambah Merín, badan planet akan terus mengalihkan jirim ke sekeliling sehingga mereka menemui keseimbangan iaitu keadaan di mana setiap titik sedekat mungkin dengan pusat. Satu-satunya bentuk yang mencapai keseimbangan seperti ini di angkasa adalah sfera.

Planet-planet lain yang berbentuk sfera

Utarid dan Zuhrah adalah planet berbentuk sfera hampir sempurna kerana ia adalah planet batu yang berputar lebih perlahan. Planet ais juga cenderung untuk mencapai sfera hampir sempurna.

Tetapi, bulat tidak bermakna bahawa setiap planet adalah sfera yang sempurna. Planet gergasi seperti Musytari dan Zuhal membonjol di bahagian kutub atas dan kutub bawah kerana kedua-duanya berputar sangat laju.

Zuhal pula kelihatan seperti bola keranjang yang diduduki seseorang. Malah, bumi juga mempunyai benjolan kecil kurang daripada satu peratus disebabkan daya emparan. Jadi, bumi adalah oblate atau sfera yang sedikit rata.

Walaupun alam semesta dipenuhi dengan planet berbentuk sfera, terdapat banyak lagi bahan di angkasa yang bukan sfera. Asteroid dan komet boleh datang dalam sebarang bentuk, bergantung kepada pelanggaran dan putaran. 

Marikh mempunyai bulan berbentuk kentang yang dipanggil Phobos. Sebenarnya, hanya kira-kira 20 daripada hampir 300 bulan yang diketahui dalam sistem suria adalah bentuk bulat. Bulan yang selebihnya pula bentuknya tidak teratur. 

Jelas Tripathi lagi, planet, bulan atau apa-apa bahan lain di angkasa tidak berbentuk sfera kerana ia tidak mempunyai graviti yang mencukupi untuk meratakan bentuknya menjadi sfera. 

Sumber dari RELEVAN