Memaparkan catatan dengan label rnr perasing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rnr perasing. Papar semua catatan

Dakwaan hantu jejas periuk nasi peniaga R&R Perasing

 


Dakwaan bahawa kawasan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhantu, yang dibuat seorang pemandu lori sejak dua minggu lalu, mula menjejas perniagaan peniaga makanan di situ, 

Perkongsian kononnya pengalaman seram pemandu lori terbabit ketika berada di kawasan hentian berkenaan, menyebabkan peniaga di situ terjejas sehingga 50 hingga 80 peratus perniagaan masing-masing.

"Kami berharap orang ramai tidak terpengaruh dan percaya dengan dakwaan itu," kata peniaga terjejas, Zuraida Mohd Ali.

Zuraida, 45, berkata dakwaan pemandu lori terbabit tular di media sosial sejak dua minggu lalu itu menyebabkan dia serta 20 peniaga di situ mengalami kerugian kerana orang ramai mengambil keputusan tidak berhenti di hentian itu.

"Memang berbeza dari kebiasaan kerana pengunjung tidak lagi berani untuk singgah di sini, terutamanya waktu malam.

"Kesan daripada dakwaan itu perniagaan kami merudum di antara 50 hingga 80 peratus sehingga ada di antara kami terpaksa membuang makanan kerana tidak habis dijual," katanya.

Beliau mendakwa, biasanya pendapatan hasil jualannya sekitar RM400 hingga RM500 sehari tetapi sejak kisah hantu yang diviralkan itu, pendapatannya kini merosot separuh.

Pekerja Kedai makan, Shazliana Mamat, 22, mengakui majikannya sering merungut kekurangan hasil jualan dan terpaksa menggunakan wang yang lain untuk membayar gaji pekerja.

"Kita sebagai pekerja turut bersimpati dengan majikan kami dan berharap pelanggan kembali singgah ke sini

"Ada peniaga dapat sekitar RM50 sehari dan ada yang mengambil keputusan menutup perniagaannya dengan lebih awal," katanya.

Beliau berharap cerita berkenaan hantu itu dapat dinoktahkan kerana sepanjang empat tahun berkerja, tidak pernah ada apa perkara yang menakutkan berlaku di situ.

"Majikan dan peniaga lain sangat bimbang berkemungkinan akan gulung tikar sekiranya keadaan itu berlarutan.

"Saya dimaklumkan majikan, dulu sembilan tahun lepas sudah berlaku dakwaan yang sama sehingga R&R ini sepi tanpa pengunjung dan kami sangat bimbang dan berharap supaya cerita hantu ini segera berakhir," katanya.

Sementara itu peniaga, Zarawi Mamat, 53, yang tinggal di Dungun, berkata sepanjang 10 tahun berulang alik ke Kuala Lumpur, R&R Perasing menjadi lokasi persinggahannya.

"Banyak kawasan R&R saya singgah. Tak kira siang atau tengah malam saya akan singgah di sini dan setakat ini tidak pernah saya bertemu atau diganggu makhluk halus.

"Kita tak nafi dengan makhluk halus ini ada tetapi sebaiknya perkara itu tidak diperbesarkan demi untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Sebelum ini, seorang pemandu lori berkongsi pengalaman diganggu makhluk halus ketika memandu sendirian menerusi satu video dimuat naik di aplikasi TikTok sehingga meraih 1.6 juta tontonan.

Pemandu itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu di sebuah kawasan berhampiran R&R Perasing Kemaman.

Sumber : Berita Harian