Memaparkan catatan dengan label cerita seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerita seram. Papar semua catatan

Dakwaan hantu jejas periuk nasi peniaga R&R Perasing

 


Dakwaan bahawa kawasan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhantu, yang dibuat seorang pemandu lori sejak dua minggu lalu, mula menjejas perniagaan peniaga makanan di situ, 

Perkongsian kononnya pengalaman seram pemandu lori terbabit ketika berada di kawasan hentian berkenaan, menyebabkan peniaga di situ terjejas sehingga 50 hingga 80 peratus perniagaan masing-masing.

"Kami berharap orang ramai tidak terpengaruh dan percaya dengan dakwaan itu," kata peniaga terjejas, Zuraida Mohd Ali.

Zuraida, 45, berkata dakwaan pemandu lori terbabit tular di media sosial sejak dua minggu lalu itu menyebabkan dia serta 20 peniaga di situ mengalami kerugian kerana orang ramai mengambil keputusan tidak berhenti di hentian itu.

"Memang berbeza dari kebiasaan kerana pengunjung tidak lagi berani untuk singgah di sini, terutamanya waktu malam.

"Kesan daripada dakwaan itu perniagaan kami merudum di antara 50 hingga 80 peratus sehingga ada di antara kami terpaksa membuang makanan kerana tidak habis dijual," katanya.

Beliau mendakwa, biasanya pendapatan hasil jualannya sekitar RM400 hingga RM500 sehari tetapi sejak kisah hantu yang diviralkan itu, pendapatannya kini merosot separuh.

Pekerja Kedai makan, Shazliana Mamat, 22, mengakui majikannya sering merungut kekurangan hasil jualan dan terpaksa menggunakan wang yang lain untuk membayar gaji pekerja.

"Kita sebagai pekerja turut bersimpati dengan majikan kami dan berharap pelanggan kembali singgah ke sini

"Ada peniaga dapat sekitar RM50 sehari dan ada yang mengambil keputusan menutup perniagaannya dengan lebih awal," katanya.

Beliau berharap cerita berkenaan hantu itu dapat dinoktahkan kerana sepanjang empat tahun berkerja, tidak pernah ada apa perkara yang menakutkan berlaku di situ.

"Majikan dan peniaga lain sangat bimbang berkemungkinan akan gulung tikar sekiranya keadaan itu berlarutan.

"Saya dimaklumkan majikan, dulu sembilan tahun lepas sudah berlaku dakwaan yang sama sehingga R&R ini sepi tanpa pengunjung dan kami sangat bimbang dan berharap supaya cerita hantu ini segera berakhir," katanya.

Sementara itu peniaga, Zarawi Mamat, 53, yang tinggal di Dungun, berkata sepanjang 10 tahun berulang alik ke Kuala Lumpur, R&R Perasing menjadi lokasi persinggahannya.

"Banyak kawasan R&R saya singgah. Tak kira siang atau tengah malam saya akan singgah di sini dan setakat ini tidak pernah saya bertemu atau diganggu makhluk halus.

"Kita tak nafi dengan makhluk halus ini ada tetapi sebaiknya perkara itu tidak diperbesarkan demi untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Sebelum ini, seorang pemandu lori berkongsi pengalaman diganggu makhluk halus ketika memandu sendirian menerusi satu video dimuat naik di aplikasi TikTok sehingga meraih 1.6 juta tontonan.

Pemandu itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu di sebuah kawasan berhampiran R&R Perasing Kemaman.

Sumber : Berita Harian

Abang lori ‘diganggu’ dekat Perasing

 


Cerit ini disiarkan oleh akhbar KOSMO!

"Tidak sampai satu minit, pak cik tadi terus lesap. Lampu motor pun hilang, padahal jalan lurus”.

Begitulah perkongsian seorang pemandu lori yang dikenali sebagai Afiq di laman TikToknya @mohdafiq973 berkenaan satu peristiwa mistik yang dialaminya ketika sedang memandu lori dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Menurut Afiq, gangguan tersebut bermula selepas dia bertemu dengan seorang lelaki berusia sekitar 50 tahun yang menegurnya ketika dia berhenti di tepi jalan.

“Kebetulan pada waktu itu, keadaan lori tidak berapa baik. Jadi saya tidak boleh pandu laju, sekitar 50 hingga 60 kilometer sejam sahaja.

“Saya bertolak dari pukul 8.30 malam dari Kuala Terengganu dan kemudiannya berhenti tepi jalan. Tidak lama kemudian, ada seorang pak cik berhenti dan tegur saya,” katanya.

Tambah Afiq, lelaki yang menegurnya itu merupakan seorang yang peramah dan selepas berbual-bual beberapa minit, pak cik tersebut menceritakan berkenaan beberapa insiden kemalangan melibatkan kanak-kanak yang pernah berlaku di kawasan tersebut.

“Pak cik itu kata, ada budak meninggal dunia tidak jauh daripada kawasan lori saya berhenti. Beberapa bulan lepas, ada tiga orang budak meninggal dunia di (jalan) depan.

“Tiba-tiba dia (pak cik) tanya saya, awak tak takut ke duduk seorang diri,” ceritanya.

Kata Afiq, dia tidak pelik sekiranya ada sebarang peristiwa mistik yang berlaku kepadanya. Namun, dia bersedia untuk melindungi diri sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Selepas saya cakap begitu, raut wajah pak cik itu terus berubah jadi marah. Tiba-tiba dia hidupkan enjin motosikal dan terus berlalu pergi.

“Pada waktu itu, enjin lori saya masih hidup. Jadi saya ikut pak cik tersebut. Tetapi alangkah terkejutnya saya, tidak sampai satu minit lebih, motosikal pak cik tadi terus hilang,” katanya.

Lebih mengejutkan, sewaktu Afiq memandu menghampiri kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, dia mula mengalami gangguan demi gangguan.

“Saya buka tingkap semasa memandu sebab bau hanyir. Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi cakaran pada bahagian atas lori.

“Saya rasa dia nak uji saya hari ini. Ketika hampir sampai Kuantan, tiba-tiba tempat duduk saya bagai disentak-sentak. Badan pula mula rasa bahang,” ceritanya.

Afiq juga sempat berpesan agar pemandu yang melalui jalan sama agar sentiasa berhati-hati dan pasang ayat-ayat suci al-Quran untuk mengelakkan perkara sama daripada berlaku.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 53,200 tanda suka dan 1,632 komen. 

Sumber yang dipetik dari KOSMO!