Memaparkan catatan dengan label permohonan guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label permohonan guru. Papar semua catatan

Pengambilan khas guru


Proses tapisan sedang dilakukan untuk pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,431 kekosongan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, permohonan yang dibuka pada bulan lalu telah ditutup, baru-baru ini.

“Kita iklankan kepada semua iaitu terbuka kepada pemohon daripada bidang pendidikan dan juga daripada mereka yang bukan daripada bidang pendidikan.

“Jadi, permohonan telah diterima dan dalam proses untuk tapisan,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, di Alor Setar, Kedah.

Permohonan pengambilan PPP Gred DG41 itu dibuka pada 7 April dan ditutup pada 21 April lalu dengan hanya pemohon yang melepasi tapisan serta memenuhi syarat akan dipertimbangkan untuk panggilan temu duga.

Menurut Hui Ying, proses permohonan itu dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan sambutan diterima sangat menggalakkan.

Kosmo! pada 1 April lalu melaporkan KPM akan mengadakan pengambilan khas guru-guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru bagi beberapa subjek teras di negara ini.

Kekurangan guru itu melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Jumlah kekurangan guru KPM setakat 31 Januari lalu adalah sebanyak 19,431 kekosongan iaitu kira-kira 4.49 peratus.

Kekosongan berlaku disebabkan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia. 

Sumber dari Kosmo!

Pengambilan khas lebih 18,000 guru baru mulai 7 Julai 2021

 

Kementerian Pendidikan akan melaksanakan pengambilan khas guru secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai pengambilan khas itu hari ini.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Radzi berkata, pengambilan khas dibuat hasil perbincangan secara menyeluruh dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (​JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Menurut Radzi, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baru untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Radzi berkata kerjasama KPM, JPA dan SPP, antaranya mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran untuk menyusun kelayakan dan kelulusan bakal guru, bagi memastikan sumber bekalan lebih luas dan membolehkan pemilihan calon guru yang berkelayakan, untuk opsyen yang diperlukan.

“Kepelbagaian kaedah lantikan juga akan diaplikasikan iaitu pelantikan dibuat berdasarkan pendekatan holistik mengikut keperluan semasa, bagi atasi masalah kekurangan guru yang berlarutan sejak lama,” katanya.

Radzi berkata, kerjasama itu juga akan meliputi urusan panel penemuduga, logistik dan keurusetiaan.

Ditanya jika pengambilan khas itu mengutamakan calon yang mempunyai latar belakang ikhtisas pendidikan sahaja, Radzi berkata calon yang mempunyai kelulusan lain juga akan dipertimbangkan menggunakan pendekatan holistik.

Sumber dari Bernama