Kementerian
Pendidikan akan melaksanakan pengambilan khas guru secara 'one-off' seramai
18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah
negeri, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau
berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik
ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober
depan.
“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini
bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain
menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika
pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai
pengambilan khas itu hari ini.
Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.
Radzi berkata, pengambilan khas dibuat hasil perbincangan secara
menyeluruh dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya
Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Menurut Radzi, cabaran utama dalam
pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan
Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
“KPM perlukan
sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang
ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata
pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.
“Dan
disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM
mengambil guru baru untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.
Antara
subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah
Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam
serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Radzi berkata kerjasama KPM, JPA
dan SPP, antaranya mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran untuk
menyusun kelayakan dan kelulusan bakal guru, bagi memastikan sumber
bekalan lebih luas dan membolehkan pemilihan calon guru yang
berkelayakan, untuk opsyen yang diperlukan.
“Kepelbagaian kaedah
lantikan juga akan diaplikasikan iaitu pelantikan dibuat berdasarkan
pendekatan holistik mengikut keperluan semasa, bagi atasi masalah
kekurangan guru yang berlarutan sejak lama,” katanya.
Radzi berkata, kerjasama itu juga akan meliputi urusan panel penemuduga, logistik dan keurusetiaan.
Ditanya
jika pengambilan khas itu mengutamakan calon yang mempunyai latar
belakang ikhtisas pendidikan sahaja, Radzi berkata calon yang mempunyai
kelulusan lain juga akan dipertimbangkan menggunakan pendekatan
holistik.
Sumber dari Bernama