Memaparkan catatan dengan label padu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label padu. Papar semua catatan

Sistem PADU kini dibuka

 


Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka secara langsung hari ini selepas hampir enam bulan sistem itu dibangunkan dan melalui beberapa pengujian.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, berkata sistem itu akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.

Beliau berkata, pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

Katanya, pembangunan PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar bagi membina kepakaran dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

"Pangkalan data bersepadu ini akan menjadi sumber rujukan berpusat yang mengandungi profil individu yang menyeluruh merangkumi maklumat demografi dan pelbagai maklumat seperti pendidikan, kesihatan, bantuan sosial yang diterima dan pendapatan isi rumah," katanya pada majlis sempena peluncuran PADU.

Nor Azmie mengakui terdapat beberapa cabaran utama membangunkan PADU dari segi teknikal dan birokrasi yang perlu ditangani.

Beliau berkata, setiap pangkalan data tertakluk kepada peraturan dan akta yang berkaitan menyebabkan kesukaran dalam perkongsian data antara agensi.

Katanya, sebahagian pangkalan data yang sedia ada pula lebih bersifat 'in silo' dan 'non-interoperable' (saling tidak beroperasi) antara satu sama lain.

Justeru, jelasnya, keadaan itu menyulitkan perkongsian dan pengintegrasian data sehingga menyebabkan proses penyelarasan data PADU mengambil masa yang panjang.

"Bagi menangani cabaran itu, sesi libat urus yang berterusan pada pelbagai peringkat. Memorandum persefahaman turut diadakan bersama agensi berkaitan bagi membolehkan perkongsian data," katanya.

Selain itu, Nor Azmie berkata, pelaksanaan integrasi data dari setiap agensi kerajaan perlu disokong melalui punca kuasa perundangan perkongsian data yang kukuh dan mampan.

Justeru, beliau berkata, Akta Omnibus yang dijangka digubal pada tahun ini akan menjadi akta yang membenarkan perkongsian data dan cloud storage dalam kalangan agensi kerajaan.

Katanya, risiko keselamatan dan kebocoran maklumat terperingkat juga sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

"Oleh itu, aspek keselamatan data dan siber turut diberi perhatian serius melalui pengukuhan pembangunan sistem serta kerjasama strategik dengan semua pihak yang berkaitan," katanya.

Sistem PADU boleh diakses di : https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu

‘Padu’ ganti klasifikasi pendapatan kepada belanja bersih


Rakyat negara ini tidak lagi dilihat mengikut tiga kumpulan pendapatan iaitu B40, M40 dan T20 tetapi akan dinilai kepada pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Perkara itu antara beberapa langkah penstrukturan ekonomi akan dibuat tidak lama lagi apabila Pangkalan Data Utama (Padu) beroperasi seawal-awalnya Januari tahun depan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, segala maklumat perihal corak dan trend semasa perbelanjaan bersih isi rumah akan menentukan pendekatan kerajaan dalam isu subsidi.

“Sebelum ini ramai tidak puas hati apabila misalnya T20 atau M40 boleh isi petrol RON 95, namun kita mungkin tidak tahu dia ada tanggungan ramai dan komitmen hutangnya besar.

“Justeru, saya jangka pelaksanaan Padu mulai awal tahun depan membolehkan kerajaan membina program dan skim inisiatif subsidi yang lebih adil,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pengelasan mengikut gaji dipertikaikan banyak pihak kerana ia tidak menggambarkan secara adil gaya kehidupan seseorang yang tidak tetap.

“Sehubungan itu, kerajaan akan beralih dasar sosio ekonomi yang tidak lagi berasaskan amaun pendapatan dan data Padu bakal menentukan polisi subsidi lebih jelas.

“Selain itu, sistem maklumat bersepadu itu akan menentukan hala tuju adil penstrukturan subsidi sektor tenaga serta bahan bakar diesel dan RON 95,” katanya.

 – Sumber dari KOSMO!