Memaparkan catatan dengan label influencer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label influencer. Papar semua catatan

Wanita Orang Asli bina rumah hasil jualan di Tiktok


 Tidak sampai setahun aktif berniaga, wanita Orang Asli dari Suku Jahut ini bakal memiliki rumah impiannya Mei ini yang dibina hasil jualan menerusi TikTok.

Walaupun hanya rumah kecil untuk berteduh seisi keluarga, namun sudah cukup memberikan kepuasan kepada Nur Rafidah Man, 26, dari Kampung Penderas, Kuala Krau di sini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Beliau yang mula berniaga sejak November lalu dengan menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali dan madu, tidak menyangka perkongsian rutin harian, adat resam Orang Asli serta pemandangan suasana di kampungnya di aplikasi itu telah membuka pintu rezeki.

Menggunakan akaun @Jungle Girl, ibu kepada anak perempuan berusia enam tahun itu kini menjana pendapatan yang memuaskan dengan hampir 60,000 pengikut di TikTok.

Nur Rafidah berkata keyakinan untuk berniaga melalui TikTok timbul selepas menjalani bengkel multimedia dan perniagaan digital anjuran guru pendidikan khas integrasi Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kuala Krau, sekitar Jun dan Ogos tahun lalu.

"Pada awalnya saya ragu-ragu boleh ke nak buat tapi selepas pertama kali buat dan melihat hasil komisen yang dapat, rasa semangat itu datang dan tanpa berfikir panjang saya buat secara konsisten.

"Selepas itu, saya mula berani pula berniaga secara 'affiliate' (menjadi ejen) dengan melibatkan aktiviti promosi dan jualan secara langsung produk lain seperti makanan dan penjagaan kulit untuk mendapatkan komisen sampingan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya antara yang dipelajari daripada bengkel tersebut ialah kaedah merakam video dan penyuntingan, pemilihan tajuk kandungan video yang menarik selain turut disediakan peralatan seperti mikrofon nirkawat, lampu dan tripod.

Bertitik tolak daripada itu, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin sekolah cuba menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan.

"Saya tidak menjangkakan percubaan saya itu berhasil dan tidak pernah terfikir mampu menjana pendapatan lebih banyak berbanding pekerjaan dahulu," katanya yang telah menjual 9,000 unit produknya seperti minyak herba, jamu dan madu.

Sementara itu, guru multimedia pendidikan khas integrasi SMK Kuala Krau Mohammad Hazeem Azemi berkata Rafidah adalah antara 43 orang daripada kumpulan pertama Orang Asli yang mendapat manfaat daripada kemudahan studio multimedia di sekolah berkenaan.

Beliau berkata walaupun studio tersebut khusus untuk pelajar pendidikan khas, namun kedudukan SMK Kuala Krau yang terletak di luar bandar iaitu kira-kira 35 kilometer dari bandar Temerloh, mendorong pihak sekolah membuka kemudahan itu kepada penduduk setempat termasuk Orang Asli.

"Saya percaya guru bukan sahaja mampu mengubah pemikiran murid tetapi juga mampu membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Pempengaruh adalah kerjaya atau hobi?

 

Anak muda lebih gemar memfokuskan kepada media sosial seperti TikTok, Instagram mahupun Twitter berbanding membelek buku atau sumber bacaan yang boleh dipercayai untuk merujuk sesuatu perkara yang sahih.

Tindakan tersebut menyebabkan ramai pempengaruh popular muncul dalam pelbagai peringkat umur untuk menjadi seorang individu yang mampu menjadi rujukan dalam apa jua perkara sehingga sanggup me­lakukan apa sahaja demi mendapatkan jumlah pengikut.

Bagaimanapun, selaras de­ngan situasi ekonomi yang semakin rancak, isu ini tidak seharusnya diambil enteng supaya Malaysia berada setanding de­ngan negara lain menjadi pengeluar utama.

Kekurangan tenaga profesio­nal dalam negara dilihat semakin serius lebih-lebih lagi apabila ramai yang mula menukar profesion menjadi pempe­ngaruh po­pular termasuk pelajar
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut perunding kerjaya, Nik Akmal Afif Nik Othman, anak muda seharusnya memilih profesion tenaga pakar dan tidak menjadikan ‘influencer’ sebagai satu kerjaya tetapi boleh dibuat hobi atau kerja separuh masa.

“Negara kita sememangnya ketandusan tenaga pakar yang boleh berfikiran luar kotak untuk mencipta sesuatu perkara baharu.

“Ia satu perkara yang sangat baik apabila anak muda Malaysia lebih terbuka untuk melihat profesion tenaga pakar adalah kerjaya jangka masa panjang untuk menyumbang kepada negara.

“Sebaiknya, anak muda sekarang pergi ke bidang profesional dan jadikan ‘influencer’ sebagai hobi atau kerja separuh masa,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, melihat kepada trend terkini anak muda sememangnya lebih tertarik untuk mengikuti atau meniru pempe­ngaruh popular kegemaran mereka sebagai satu batu lonca­tan dan berhasrat untuk berada di kedudukan yang sama.

Jelas Nik, generasi kini mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang terbaik dalam kerjaya berbanding zaman dahulu. Bagaimanapun, jika berminat untuk menjadi pempengaruh popular, jadilah seorang ‘influencer’ celik akal.

“Kita boleh ambil contoh se­perti Khairul Aming iaitu seorang pempengaruh paling po­pular yang pernah belajar dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat.

“Khairul Aming bukan lompat menjadi ‘influencer’ tetapi dia membina tapak terlebih dahulu sebelum menjadi pempengaruh popular yang boleh meraih pendapatan lebih daripada kerjaya sebelum ini.

“Itu bezanya ‘influencer’ berpendidikan yang mampu menghasilkan kandungan berkualiti dan matang serta tahu hala tuju kerjayanya,” tegasnya.

Pada akhirnya, populariti dan pengaruh yang dibawa oleh ‘influencer’ tidak akan berkekalan dalam jangka masa panjang ke­rana akan ada lambakan dalam kerjaya tersebut pada masa akan datang.

Ilmu dan pendidikan sahaja yang boleh membawa seseorang individu ke tahap yang lebih baik walaupun melalui apa jua peredaran zaman.

Tambah Nik, perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi apabila ramai anak muda memilih untuk tidak meneruskan pembelajaran untuk fokus ke arah menjadi ‘influen­cer’.

“Pendidikan boleh membekalkan skil bekerja dalam mana-mana negara. Jika ramai yang berhenti belajar bagaimana negara boleh melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi.

“Bukan sahaja dari segi akademik, malah anak muda juga boleh meneruskan pembelajaran dalam aliran TVET dan kuasai sesuatu bidang.

“Cuba untuk ambil kemahiran TVET dan cuba untuk selami ilmu tersebut supaya dapat memberikan hasil lumayan buat ekonomi negara,” tegasnya.

Sumber : Kosmo!