Memaparkan catatan dengan label hospital unisza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hospital unisza. Papar semua catatan

Operasi penuh Hospital UniSZA Tahun 2024


 

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) akan menjalankan operasi sepenuhnya tahun 2024.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hospital terbabit sudah memulakan operasi membabitkan klinik pakar dan perkhidmatan sokongan kepada orang awam pada awal Ogos lalu.

Beliau berkata, hospital itu menyediakan Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi, Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan dan Klinik Psikiatri.

"Kita jangka tahun depan hospital ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Kita menerima 100 orang pesakit yang terdiri daripada komuniti sekitar.

"Kita berharap dengan operasinya hospital ini sedikit sebanyak mampu membantu menangani cabaran yang berlaku di hospital yang ada dan kita bersedia bekerjasama menanganinya bersama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar HPUniSZA.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Che Khalib Mohamad Nod dan Pengarah HPUniSZA, Prof Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan kardiologi (pediatrik) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) juga dibuka kepada orang awam melalui kes-kes rujukan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau berkata, setakat ini, hospital terbabit sudah menerima tujuh kes membabitkan pesakit kanak-kanak.

"Kerjasama ini memberi manfaat kepada pesakit sekitar Terengganu dan Kelantan kerana mereka tidak lagi menempuhi perjalanan yang jauh bagi mendapatkan pemeriksaan dan konsultasi pakar Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.

Sumber : Berita Harian

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin dibuka Julai 2023

 


Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) dijangka beroperasi secara berperingkat pada Julai 2023 depan.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam, berkata hospital itu dibuka pada Jun tahun untuk kakitangan dan pelajar UniSZA sahaja.
Selepas dibuka kepada umum, beliau berkata, hospital itu hanya menawarkan perkhidmatan kesihatan am sebelum diperluas kepada rawatab di wad dan pembedahan hujung tahun ini.
"HPUniSZA mempunyai sembilan klinik dan 20 wad. Kita mampu menerima pesakit dalaman seramai 100 orang, manakala klinik pakar boleh menerima rawatan di antara 30 hingga 50 pesakit sehari," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Institut Jantung Negara (IJN) Ride For Your Heart 3.0 in Terengganu di HPUniSZA.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan perlumbaan.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif.
Seramai 600 peserta seluruh negara menyertai acara berbasikal itu.
Sumber : Berita Harian

Hospital Pengajar Unisza operasi secara berperingkat mulai April 2022

 

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Nerus yang dibangunkan dengan kos bernilai RM281 juta bakal memulakan operasinya pada April depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengoperasian hospital berkenaan dibuat secara berperingkat selepas kelengkapan perubatan selesai dipasang di wad-wad.

Katanya, hospital setinggi enam tingkat yang dilengkapi 200 katil itu siap sepenuhnya pada 11 Disember 2021.

“Hospital Pengajar Unisza sudah siap dan cuma menunggu tarikh untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Rata-rata warga Unisza turut gembira dengan projek pembinaan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau projek laluan pintasan Kuala Terengganu.

Fadillah berkata, selain blok utama, antara kemudahan lain di Hospital Pengajar Unisza ialah blok kejuruteraan di samping pengurusan jenazah dan hyperbaric. 

– UTUSAN