Operasi penuh Hospital UniSZA Tahun 2024

Ogos 07, 2023


 

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) akan menjalankan operasi sepenuhnya tahun 2024.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hospital terbabit sudah memulakan operasi membabitkan klinik pakar dan perkhidmatan sokongan kepada orang awam pada awal Ogos lalu.

Beliau berkata, hospital itu menyediakan Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi, Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan dan Klinik Psikiatri.

"Kita jangka tahun depan hospital ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Kita menerima 100 orang pesakit yang terdiri daripada komuniti sekitar.

"Kita berharap dengan operasinya hospital ini sedikit sebanyak mampu membantu menangani cabaran yang berlaku di hospital yang ada dan kita bersedia bekerjasama menanganinya bersama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar HPUniSZA.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Che Khalib Mohamad Nod dan Pengarah HPUniSZA, Prof Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan kardiologi (pediatrik) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) juga dibuka kepada orang awam melalui kes-kes rujukan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau berkata, setakat ini, hospital terbabit sudah menerima tujuh kes membabitkan pesakit kanak-kanak.

"Kerjasama ini memberi manfaat kepada pesakit sekitar Terengganu dan Kelantan kerana mereka tidak lagi menempuhi perjalanan yang jauh bagi mendapatkan pemeriksaan dan konsultasi pakar Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.

Sumber : Berita Harian

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.