Memaparkan catatan dengan label hidung berdarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hidung berdarah. Papar semua catatan

Gejala Hidung Berdarah

 



Hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak berlaku secara tiba-tiba membimbangkan. Lazim menganggap mungkin disebabkan kecederaan dalaman yang teruk atau menghidap penyakit kronik.

Kekerapan hidung berdarah adalah normal dan biasanya disebabkan trauma luka pada bahagian dalam hidung sensitif, memandangkan tempat itu menjadi pusat pembentukan salur darah.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, berkata situasi ini disebabkan tabiat kanak-kanak yang gemar mengorek hidung.

Ini menyebabkan kecederaan pada salur darah dan lapisan mukosa hidung.

“Hidung terhantuk juga boleh menyebabkan perdarahan, disebabkan luka dan sangat jarang berlaku seperti patah batang hidung,” katanya.

Jika kanak-kanak menghembus hidung terlalu kuat atau termasuk benda asing juga boleh menyebabkan kecederaan pada salur darah pada bahagian berkenaan.

Bagi kanak-kanak mengalami alahan dan tidak boleh berada dalam keadaan terlalu sejuk, tabiat suka memicit atau menggosok hidung menyebabkan lapisan mukosa atau salur hidung mengalami kesan luka.

“Apabila cuaca sejuk, hidung menjadi jadi kering dan cepat terluka. Hidung yang selalu berair juga senang berdarah. Ini berlaku apabila rembesan hidung kering, menjadi tahi hidung, kemudian mengeras, luka dan seterusnya menyebabkan pendarahan,” katanya.

Dr Roliza berkata, ada kejadian darah tidak keluar daripada hidung tetapi menerusi tekak dan mulut, namun jangan khuatir kerana ini adalah gejala sama berlaku pada hidung terluka.

“Darah dari hidung mungkin ditelan dan menyebabkan mereka muntah keluar darah. Kesan luka dari salur darah mengalir ke belakang dan memasuki salur tekak,” katanya.

Walaupun hidung berdarah, status kebanyakan kanak-kanak ini adalah normal, namun begitu, perdarahan hidung boleh menjadi petanda masalah lain walaupun sangat jarang berlaku.

Antara faktor lain adalah dinding tengah hidung serget dan tidak normal, ketumbuhan dalam hidung seperti polip atau penyakit lain yang mungkin menyebabkan masalah perdarahan sebagai antara komplikasinya.

“Misalnya, kanak-kanak yang mengalami masalah pembekuan darah seperti penyakit buah pinggang kronik, hemophilia (penyakit disebabkan faktor pembekuan darah tidak normal) dan thrombocytopenia ( ini adalah bilangan platelet rendah yang disebabkan penyakit tertentu).

Dr Roliza berkata, ada beberapa teknik kecemasan boleh dilakukan ibu bapa jika anak mengalami pendarahan hidung.

“Kanak kanak perlu duduk tegak dan kepala ditundukkan selain badan membongkok sedikit ke hadapan. Arahkan kanak-kanak bernafas dengan mulut, picit hidung selama lima hingga 10 minit.

“Jika perdarahan masih belum berhenti, picit hidung lagi untuk lima hingga 10 minit.

“Letak kiub ais pada batang hidung kerana suhu sejuk mengecutkan salur darah dan ini menghentikan perdarahan,” katanya.

Sekiranya hidung masih berdarah selepas 30 minit, ibu bapa perlu bawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ujian untuk memastikan tiada penyakit atau masalah lain.

Beliau berkata, bagi kanak kanak yang mengalami alahan, ubat mungkin diperlukan untuk memastikan hidung bebas dari hingus dan rembesan hidung.

“Anak boleh menggunakan semburan air garam, bertujuan memastikan hidung sentiasa bersih, elakkan mengorek hidung, ubah tabiat suka menghembus hidung terlalu kuat.

“Mereka perlu mengelak terkena bahan kimia seperti cecair pencuci tandas, kesan bau yang kuat bahan kimia tadi juga boleh menyebabkan berlaku pendarahan pada hidung,” katanya.

Sumber dari Berita Harian