Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan

Sabtu, November 11, 2023

Rahsia 'long COVID'

 



Sekumpulan saintis China menemui petunjuk yang boleh menjelaskan petunjuk 'biomarker' pesakit 'long COVID' selepas memantau pesakit coronavirus yang pulih selama lebih dua tahun.

Saintis berkenaan menemui punca utama yang boleh membantu mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi dan membangunkan rawatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pesakit 'long COVID' akan mengalami gejala berlarutan seperti keletihan, sesak nafas dan lain-lain.

Menerusi kajian yang diterbitkan oleh jurnal eBioMedicine, sepasukan penyelidik China mengkaji seramai 181 pesakit COVID-19 yang dibenarkan keluar dari hospital di Wuhan antara Januari dan Mei 2020.

Pasukan penyelidik mengumpul sampel plasma dalam tiga lawatan susulan dalam tempoh dua tahun akan datang dan menganalisis struktur dan fungsi protein darah.

Naib Presiden Hospital Persahabatan China-Jepun, Dr Cao Bin dan pasukan penyelidiknya mengenal pasti empat mod pemulihan proses biologi yang berbeza dalam kalangan pesakit COVID-19 yang terselamat dalam tempoh dua tahun selepas jangkitan.

Sumber : AGENSI

Selasa, November 29, 2022

Inara perlu RM120,000 rawat saluran jantung terbalik


Seorang bayi berusia tiga bulan yang mengalami Transposisi Arteri Besar (TGA) memerlukan bantuan sejumlah RM120,000 untuk pembedahan di Hospital Gleneagles.

Che Nur Ayesha Inara Che Muhamad Azri dari Banting, Selangor itu memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan Suis Arteri untuk meletakkan saluran darah utama di dalam ruang pam yang sesuai selepas mengalami saluran jantung terbalik.

Ibunya, Syafiqah Walmasri, 23, berkata anaknya yang dilahirkan secara normal dan sihat pada awal kelahiran itu hanya menunjukkan masalah jaundis berpanjangan sepanjang tempoh dia berpantang.

Katanya, perubahan anak sulungnya itu mula disedarinya apabila nafas kelihatan laju dan ada tanda kebiruan pada tangan serta kuku Che Nur Ayesha Inara.

Kami terus dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan Inara (panggilan anak) dirujuk ke Hospital Banting.

"Dalam waktu begitu pantas, oksigen Inara terus menurun sehingga 1 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.

Suri rumah itu berkata, besar harapan dia dan suami yang bekerja sebagai juruteknik kilang untuk melihat Inara dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Katanya, dia yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan suaminya, Che Muhammad Azri Che Noordin, berharap komplikasi saluran jantung yang dihadapi anaknya selepas kematian anak pra matang sebelum ini dapat membesar dengan sihat.

"Paling saya tidak dapat lupa apabila pegawai perubatan memaklumkan nadi jantung Inara terhenti 10 minit sewaktu dalam perjalanan ke HTAR dan menyebabkan ambulans terpaksa patah balik ke Hospital Banting untuk tujuan menstabilkan Inara.

"Selepas keadaan Inara stabil, barulah dia dihantar semula ke HTAR dan dimasukkan ke ICU.

"Doktor memaklumkan Inara perlu menjalankan pembedahan Suis Arteri dengan segera. Kami dirujuk ke Hospital Gleneagles untuk pembedahan ini bagi menyelamatkan nyawanya," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Sementara itu, Che Muhammad Azri, 26, berharap untuk melihat anaknya kembali sihat dan membesar bayi lain.

"Inara cukup senang dijaga. Sewaktu di rumah, dia tidak merengek atau kerap terjaga malam. Namun melihat pernafasannya agak laju dan mula ada tanda kebiruan, kami tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan rawatan untuknya.

"Sebaik sahaja dimaklumkan keadaan kesihatan Inara, ibu bapa mana yang tidak sedih tetapi kami reda dan perlu kuat untuk anak," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP layak mendapat pelepasan cukai.

Jumaat, April 29, 2022

Wanita lebih berisiko mati akibat asma berbanding lelaki

 


Golongan wanita mempunyai risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia akibat serangan asma berbanding lelaki, lapor akhbar The Sun.

Sebuah badan kebajikan Britain, Asthma + Lung UK mendedahkan punca peningkatan risiko itu adalah disebabkan oleh hormon seksual wanita iaitu estrogen yang menyebabkan serangan pernafasan menjadi lebih serius.

Ketua Pegawai Eksekutif Asthma + Lung UK, Sarah Woolnough berkata, kebanyakan lelaki yang menghidap asma ketika kecil berjaya mengatasi keadaan itu apabila meningkat dewasa.

“Berbeza dengan wanita, hormon seksual lelaki iaitu testosterone membantu menguatkan saluran pernafasan yang sempit apabila serangan asma berlaku.

“Hormon estrogen dan progesterone wanita pula menjadikan simptom asma semakin memburuk,” jelas Woolnough.

Wanita dewasa adalah 2.5 kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital akibat serangan asma berbanding lelaki dan lebih berkemungkinan sukar mengawal keadaan itu.

Sementara itu, pakar-pakar menyeru agar lebih banyak penyelidikan dijalankan untuk lebih memahami mengapa wanita terjejas teruk jika mendapat serangan asma.

“Dengan memahami peranan hormon seks dalam penyakit asma, kita boleh mengubah kehidupan berjuta-juta wanita di seluruh dunia,” kata Woolnough.

Sumber berita Agensi

Sabtu, Mac 05, 2022

Sindrom air mata buaya punca lelaki China ‘menangis’ setiap kali makan

 

Seorang lelaki China baru-baru ini disahkan menghidap ‘sindrom air mata buaya’ iaitu keadaan jarang berlaku yang menyebabkan seseorang mengalirkan air mata setiap kali makan, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Tahun lalu, seorang lelaki tua yang dikenali hanya sebagai Zhang oleh media China dilaporkan menitiskan air mata apabila dia makan.

‘Tangisan’ itu menjadi lebih teruk apabila Zhang perlu mengunyah makanan dengan lebih lama. Perkara itu mengganggu kehidupan sosialnya apabila dia mengelak daripada makan di khalayak ramai kerana takut dipulaukan.

Setelah menjalani pemeriksaan di hospital di Wuhan, Zhang disahkan menghidap penyakit yang jarang dikesan iaitu ‘sindrom air mata buaya’. 

Ketua Jabatan Oftalmologi di hospital berkenaan, Dr. Cheng Mian Chinh menjelaskan bahawa keadaan itu berkait rapat dengan kelumpuhan pada muka yang dialami Zhang sebelum ini.

Proses memulihkan muka Zhang yang lumpuh telah menjejaskan aktiviti kelenjar lakrimal (kelenjar yang mengeluarkan air mata) terutamanya pada mata kirinya. 

Semasa rawatan, urat saraf mukanya menjadi tersasar dan saluran air liur telah menyelubungi kelenjar lakrimal dan bukannya submandibular (kelenjar air liur). Kesannya, rangsangan bau atau rasa terhadap makanan telah menghasilkan air mata dan bukannya air liur.

Kebanyakan kes ringan akan diatasi dengan kaunseling dan pemantauan berkala. Dalam kes yang lebih teruk, rawatan paling kerap dilakukan adalah dengan suntikan toksin botulium yang dijangka bertahan selama enam bulan.

Pembedahan juga boleh dilakukan dan ia menjadi pilihan lelaki China itu. Dalam kes Zhang, keadaanya bertambah baik dan sumber tidak mendedahkan jika rawatan itu kekal atau tidak. 

Sumber dari Berita Agensi

 
 

Selasa, April 09, 2019

Gejala Hidung Berdarah

 

Hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak berlaku secara tiba-tiba membimbangkan. Lazim menganggap mungkin disebabkan kecederaan dalaman yang teruk atau menghidap penyakit kronik.

Kekerapan hidung berdarah adalah normal dan biasanya disebabkan trauma luka pada bahagian dalam hidung sensitif, memandangkan tempat itu menjadi pusat pembentukan salur darah.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, berkata situasi ini disebabkan tabiat kanak-kanak yang gemar mengorek hidung.

Ini menyebabkan kecederaan pada salur darah dan lapisan mukosa hidung.

“Hidung terhantuk juga boleh menyebabkan perdarahan, disebabkan luka dan sangat jarang berlaku seperti patah batang hidung,” katanya.

Jika kanak-kanak menghembus hidung terlalu kuat atau termasuk benda asing juga boleh menyebabkan kecederaan pada salur darah pada bahagian berkenaan.

Bagi kanak-kanak mengalami alahan dan tidak boleh berada dalam keadaan terlalu sejuk, tabiat suka memicit atau menggosok hidung menyebabkan lapisan mukosa atau salur hidung mengalami kesan luka.

“Apabila cuaca sejuk, hidung menjadi jadi kering dan cepat terluka. Hidung yang selalu berair juga senang berdarah. Ini berlaku apabila rembesan hidung kering, menjadi tahi hidung, kemudian mengeras, luka dan seterusnya menyebabkan pendarahan,” katanya.

Dr Roliza berkata, ada kejadian darah tidak keluar daripada hidung tetapi menerusi tekak dan mulut, namun jangan khuatir kerana ini adalah gejala sama berlaku pada hidung terluka.

“Darah dari hidung mungkin ditelan dan menyebabkan mereka muntah keluar darah. Kesan luka dari salur darah mengalir ke belakang dan memasuki salur tekak,” katanya.

Walaupun hidung berdarah, status kebanyakan kanak-kanak ini adalah normal, namun begitu, perdarahan hidung boleh menjadi petanda masalah lain walaupun sangat jarang berlaku.

Antara faktor lain adalah dinding tengah hidung serget dan tidak normal, ketumbuhan dalam hidung seperti polip atau penyakit lain yang mungkin menyebabkan masalah perdarahan sebagai antara komplikasinya.

“Misalnya, kanak-kanak yang mengalami masalah pembekuan darah seperti penyakit buah pinggang kronik, hemophilia (penyakit disebabkan faktor pembekuan darah tidak normal) dan thrombocytopenia ( ini adalah bilangan platelet rendah yang disebabkan penyakit tertentu).

Dr Roliza berkata, ada beberapa teknik kecemasan boleh dilakukan ibu bapa jika anak mengalami pendarahan hidung.

“Kanak kanak perlu duduk tegak dan kepala ditundukkan selain badan membongkok sedikit ke hadapan. Arahkan kanak-kanak bernafas dengan mulut, picit hidung selama lima hingga 10 minit.

“Jika perdarahan masih belum berhenti, picit hidung lagi untuk lima hingga 10 minit.

“Letak kiub ais pada batang hidung kerana suhu sejuk mengecutkan salur darah dan ini menghentikan perdarahan,” katanya.

Sekiranya hidung masih berdarah selepas 30 minit, ibu bapa perlu bawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ujian untuk memastikan tiada penyakit atau masalah lain.

Beliau berkata, bagi kanak kanak yang mengalami alahan, ubat mungkin diperlukan untuk memastikan hidung bebas dari hingus dan rembesan hidung.

“Anak boleh menggunakan semburan air garam, bertujuan memastikan hidung sentiasa bersih, elakkan mengorek hidung, ubah tabiat suka menghembus hidung terlalu kuat.

“Mereka perlu mengelak terkena bahan kimia seperti cecair pencuci tandas, kesan bau yang kuat bahan kimia tadi juga boleh menyebabkan berlaku pendarahan pada hidung,” katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

 

 

 

Sabtu, Julai 15, 2017

Waspada demam berpanjangan

 

Serangan meningitis atau jangkitan kuman pada lapisan otak boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk sawan berterusan serta koma sekiranya tidak dirawat segera.

Meningitis adalah istilah perubatan berasal daripada dua perkataan latin iaitu pertama "meninges" iaitu lapisan yang menyaluti otak dan kedua "itis" yang bermakna keradangan pada lapisan atas otak akibat jangkitan pelbagai jenis kuman.

Kanak-kanak berusia bawah lima tahun paling mudah terkena jangkitan meningitis berbanding dengan kanak-kanak lain atau remaja.

Ini disebabkan faktor sistem ketahanan badan yang masih belum matang dan mudah terdedah.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata meningitis jarang berlaku tetapi apabila menyerang berpotensi menyebabkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, bagi orang dewasa atau kanak-kanak berusia lebih lima tahun, biasanya mengadu demam, sakit kepala yang teruk, muntah-muntah, sakit pada tengkuk dan sekiranya kritikal boleh terkena sawan dan koma.

"Masalah dengan kanak-kanak yang belum pandai bercakap, gejalanya sukar dilihat kecuali demam, menangis tanpa henti, meragam berlebihan, sawan, letih tidak bermaya, kurang responsif, banyak tidur dan muntah berpanjangan," katanya.

Meningitis menyebabkan demam tinggi dengan suhu antara 39 sehingga 40 darjah Celsius disertai dengan sawan berulang-ulang.

Dalam keadaan sedemikian, katanya ubun kepala (anterior fontanelle) anak biasanya akan bengkak atau kelihatan benjol. Anak tadi kelihatan lemah dan tidak bermaya apabila mengalami meningitis.

Kanak-kanak terbabit juga boleh menjadi lemah sebelah badan dan tengkuk menjadi keras menyebabkan mereka menangis apabila menggerakkannya.

"Terdapat beberapa bakteria yang menjadi punca jangkitan iaitu bakteria pneumokokal, E coli, Haemophilus Influenza B dan meningokokal.

"Virus denggi, enterovirus dan Japanese Encephalitis (JE) serta kuman Tuberkulosis (TB) juga boleh menyebabkan serangan meningitis dan yang terkini adalah Virus Rabies di Sarawak " katanya.

Jangkitan kuman boleh dikesan melalui pemeriksaan darah dan seterusnya disahkan dengan prosedur pengambilan air tulang belakang (lumbar puncture).

Sekiranya pesakit disahkan mengalami meningitis, mereka perlu dirawat segera.

Rawatan termasuk memberikan pesakit antibiotik intravenous secepat mungkin kerana lebih lama kuman terdapat di dalam otak, lebih cepat ia merebak dan menyebabkan banyak komplikasi serta penyakit lebih kritikal.

Antara komplikasi berkenaan adalah tekanan otak yang tinggi dan boleh menyebabkan sawan berulang, koma, nanah di dalam kepala dan strok.

Serangan jangkitan meningitis boleh dicegah dengan vaksin yang termasuk di dalam program imunisasi kebangsaan seperti Haemophilus Influenza B (HiB).

Vaksin pneumokokal juga berkesan dan digalakkan diambil walaupun tidak tersenarai dalam program ini bagi melindungi anak daripada meningitis.

INFO

Jenis vaksin mencegah meningitis:

  • 1. Haemophilus Influenza B (Sesuai untuk bayi berusia dua bulan, tiga bulan dan empat bulan).
  • 2. Pneumokokal (Bayi dua bulan ke atas).
  • 3. Meningokokal (untuk warga yang ingin mengerjakan umrah atau haji).
  • 4. Japanese Encephalitis ( untuk kanak-kanak yang tinggal di negeri Sarawak)

Cara mencegah meningitis:

  • Mengambil vaksin yang disarankan.
  • Mendapat rawatan segera jika bayi kecil didapati tidak sihat.
  • Kuatkan sistem imun anak dengan memberi susu ibu, makanan seimbang dan berzat.
  • Memastikan saiz badan anak dan tumbesaran fizikalnya adalah normal.
  • Sekiranya ada ahli keluarga mengalami meningitis, ahli keluarga lain perlu dikuarantin dan mendapatkan antibiotik tertentu. 

Sumber daripada Berita Harian

 

 

 

 

 

Recent Posts