Memaparkan catatan dengan label darjah 1. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label darjah 1. Papar semua catatan

Ibu bapa perlu bantu anak sebelum ke Tahun Satu

 

Ditulis oleh Dr Mohd Nazri Abdul Rahman

Penggal tiga sesi persekolahan kali ini dibuat tanpa penggiliran untuk murid Tahun Satu dan Dua. Ia tentu saja memberi kelegaan kepada ibu bapa, apatah lagi jika anak mereka masih belum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Sebenarnya, penguasaan 3M adalah isu paling utama yang perlu diberikan perhatian sebelum anak melangkah ke Tahun Satu. Ia bagi memastikan kanak-kanak ini mampu mengikut pembelajaran dengan lebih mudah dan tidak berlakunya keciciran pembelajaran.

Isu keciciran dan kegagalan penguasaan 3M ini biasa didengari sebelum berlakunya pandemik COVID-19 lagi. Bagaimanapun ia semakin diperkatakan apabila sistem persekolahan dibuat secara dalam talian. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, memperlihatkan kepada umum terdapatnya sebahagian besar kanak-kanak tercicir pembelajaran khususnya penguasaan kemahiran 3M.

Justeru, pembukaan sekolah bagi penggal tiga sesi 2021/2022 adalah alternatif terbaik dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak. Dalam konteks ini, pihak sekolah dan guru berupaya mengumpul data serta mengesan kepincangan pembelajaran khususnya keciciran 3M dalam kalangan kanak-kanak yang terbabit. 

Seterusnya, guru mempunyai ruang dan peluang untuk merancang program keterlibatan (intervensi) 3M kepada kanak-kanak ini sebelum bermulanya persekolahan penggal pertama sesi 2022/2023.

Sungguhpun kini tiada lagi program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) di sekolah, namun menerusi pentaksiran bilik darjah, rekod perkembangan prestasi murid-murid didokumentasikan dan diterjemahkan dalam bentuk program intervensi serta pengayaan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid-murid.

Selain itu, dengan maklumat pengesanan keciciran pembelajaran kanak-kanak ini, pihak sekolah serta guru dapat merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran, menguruskan sumber pembelajaran serta bimbingan individu kepada setiap kanak-kanak mengikut tahap penguasaannya. Ini peranan yang dapat guru serta pihak sekolah mainkan semasa bermulanya pengoperasian sekolah bagi penggal ketiga sesi 2021/2022.

Dalam persekitaran pembelajaran hari ini, langkah terbaik untuk menangani impak COVID-19 terhadap keciciran pembelajaran dan penguasaan 3M, tidak hanya terhad kepada guru dan pihak sekolah.

Sebaliknya, menerusi permuafakatan juga kerjasama pihak sekolah-guru dan ibu bapa adalah paling utama dalam memastikan program intervensi juga intensif yang dirancang dapat memberi impak yang besar.

Persoalannya, bagaimana ibu bapa dapat membantu pihak sekolah-guru memahirkan anak-anak dengan kemahiran 3M sebelum mereka menjejak kaki ke sekolah?

Berikut adalah peranan yang dapat ibu bapa lakukan bagi membantu anak-anak menguasai 3M sebelum memasuki Tahun Satu:

1. Bimbingan Prabaca

Dalam memastikan anak-anak dapat menguasai asas prabaca, proses bimbingan prabacaan sewajarnya bermula dari rumah. Malah sebenarnya, asas pendidikan anak-anak bermula di rumah dengan ibu bapa berperanan untuk membimbing, memberi sokongan serta bantuan kepada anak-anak untuk menguasai kemahiran 3M. Pembelajaran di prasekolah atau sekolah kemudiannya perlu disambut atau disokong dengan pembelajaran di rumah oleh ibu bapa.

2. Tunjuk teladan

Dalam usaha meningkatkan minat dan semangat untuk anak-anak terus belajar dan menguasai kemahiran 3M, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik. Maka, jadikan amalan membaca bersamasama anak-anak sebahagian daripada rutin. Luangkan masa untuk bersama mereka membaca buku dan bercerita. Ini secara tidak langsung menjadi ikutan kepada anak-anak untuk terus berminat menguasai kemahiran membaca.

3. Kaedah bacaan kuat

Bacaan kuat bersama anak-anak adalah teknik terbaik yang dapat dijalankan oleh ibu bapa dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran 3M. Sebahagian besar guru-guru menggunakan teknik ini di sekolah untuk prabacaan. Ia bagi memastikan sebutan anak-anak adalah tepat. Maka, kesinambungan pembelajaran sebegini perlu diteruskan oleh ibu bapa di rumah. Sesi bacaan secara kuat bersama anak-anak dapat membantu mereka lebih yakin dan seterusnya memahami apa yang dibaca.

4. Sumber bacaan

Kerjasama guru untuk membekalkan dan berkongsi bahan-bahan bacaan seperti kad bacaan, lembaran kerja dan buku yang bersesuaian dapat membantu ibu bapa meneruskan pembelajaran di rumah. Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan proses penguasaan kemahiran 3M dalam kalangan kanak-kanak. Inisiatif guru untuk sama-sama memberi panduan serta bimbingan kepada ibu bapa untuk mengaplikasikan beberapa teknik mengajar prabacaan adalah mustahak dalam memastikan kesinambungan pembelajaran anak-anak di rumah.

Tidak dinafikan, guru adalah orang yang terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanakkanak khususnya kemahiran 3M. Ini kerana guru mempunyai kemahiran pengajaran dan pembelajaran, pendekatan pedagogi yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid dan asas psikologi pembelajaran yang dapat menarik minat kanakkanak untuk menguasai kemahiran 3M.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kanakkanak, mereka memerlukan sokongan ibu bapa di rumah untuk meneruskan pembelajaran di rumah. Oleh yang demikian, dalam mengecilkan impak COVID-19 terhadap keciciran pembelajaran kanak-kanak, perkongsian pintar guru-guru bersama ibu bapa amat penting.

Pembukaan sekolah bagi penggal tiga semester 2021/2022 adalah alternatif terbaik untuk guru dan ibu bapa membantu anak-anak yang keciciran pembelajaran. Pemuafakatan ibu bapa dan sekolah perlu digerakkan khususnya kepada anakanak yang mengalami masalah penguasaan 3M. Ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran.

- Berita Harian