Memaparkan catatan dengan label sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sekolah. Papar semua catatan

Jumaat, April 29, 2022

Keputusan rayuan kemasukan sekolah khusus pada 29 April 2022

 


Keputusan rayuan kemasukan ke sekolah khas bagi pelajar tingkatan 1 dan 4 akan diumumkan pada 29 April 2022.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi sidang akhbar khas.

Menurut Dr. Radzi, ibu bapa serta pelajar yang bakal memasuki tingkatan 1 dan 4 boleh membuat semakan permohonan rayuan mereka ke sekolah khas bermula tarikh tersebut. 

Warga sekolah boleh makan di kantin mulai 1 Mei 2022

 



Kesemua guru, murid dan warga sekolah dibenarkan makan di kantin bermula 1 Mei 2022.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi sidang akhbar khas.

Jelasnya, sekiranya keluasan kantin di sebuah sekolah agak sempit dan tidak besar, pihak sekolah dibenarkan untuk membuat penggiliran waktu rehat kepada murid-murid.

Pihak sekolah boleh buat sistem penggiliran waktu rehat agar semua murid dapat makan di kantin.

Sumber : Kosmo!

Guru tidak perlu pakai pelitup muka ketika mengajar mulai 1 Mei 2022

 


Golongan pendidik, khususnya para guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika sedang mengajar di dalam kelas bermula 1 Mei 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, guru-guru dibenarkan untuk menanggalkan pelitup muka ketika sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Bagaimanapun, murid-murid masih perlu memakai pelitup muka sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang masih mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam bangunan. 

Sumber : Kosmo!

Murid-murid wajib pakai pakaian seragam sekolah mulai 12 Jun 2022

 


Murid-murid diwajibkan memakai pakaian seragam sekolah bermula penggal kedua sesi persekolahan pada 12 Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peraturan itu sepertimana yang pernah dilaksanakan ketika sebelum negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Jika sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) menggalak murid-murid untuk pakai pakaian seragam, tetapi bermula 12 Jun 2022, murid-murid diwajibkan.

Ia temasuklah murid-murud perlu memastikan potongan rambut juga mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya ketika sidang akhbar.

Sumber dari Kosmo!

Ahad, Januari 23, 2022

Ibu bapa perlu bantu anak sebelum ke Tahun Satu

 

Ditulis oleh Dr Mohd Nazri Abdul Rahman

Penggal tiga sesi persekolahan kali ini dibuat tanpa penggiliran untuk murid Tahun Satu dan Dua. Ia tentu saja memberi kelegaan kepada ibu bapa, apatah lagi jika anak mereka masih belum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Sebenarnya, penguasaan 3M adalah isu paling utama yang perlu diberikan perhatian sebelum anak melangkah ke Tahun Satu. Ia bagi memastikan kanak-kanak ini mampu mengikut pembelajaran dengan lebih mudah dan tidak berlakunya keciciran pembelajaran.

Isu keciciran dan kegagalan penguasaan 3M ini biasa didengari sebelum berlakunya pandemik COVID-19 lagi. Bagaimanapun ia semakin diperkatakan apabila sistem persekolahan dibuat secara dalam talian. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, memperlihatkan kepada umum terdapatnya sebahagian besar kanak-kanak tercicir pembelajaran khususnya penguasaan kemahiran 3M.

Justeru, pembukaan sekolah bagi penggal tiga sesi 2021/2022 adalah alternatif terbaik dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak. Dalam konteks ini, pihak sekolah dan guru berupaya mengumpul data serta mengesan kepincangan pembelajaran khususnya keciciran 3M dalam kalangan kanak-kanak yang terbabit. 

Seterusnya, guru mempunyai ruang dan peluang untuk merancang program keterlibatan (intervensi) 3M kepada kanak-kanak ini sebelum bermulanya persekolahan penggal pertama sesi 2022/2023.

Sungguhpun kini tiada lagi program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) di sekolah, namun menerusi pentaksiran bilik darjah, rekod perkembangan prestasi murid-murid didokumentasikan dan diterjemahkan dalam bentuk program intervensi serta pengayaan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid-murid.

Selain itu, dengan maklumat pengesanan keciciran pembelajaran kanak-kanak ini, pihak sekolah serta guru dapat merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran, menguruskan sumber pembelajaran serta bimbingan individu kepada setiap kanak-kanak mengikut tahap penguasaannya. Ini peranan yang dapat guru serta pihak sekolah mainkan semasa bermulanya pengoperasian sekolah bagi penggal ketiga sesi 2021/2022.

Dalam persekitaran pembelajaran hari ini, langkah terbaik untuk menangani impak COVID-19 terhadap keciciran pembelajaran dan penguasaan 3M, tidak hanya terhad kepada guru dan pihak sekolah.

Sebaliknya, menerusi permuafakatan juga kerjasama pihak sekolah-guru dan ibu bapa adalah paling utama dalam memastikan program intervensi juga intensif yang dirancang dapat memberi impak yang besar.

Persoalannya, bagaimana ibu bapa dapat membantu pihak sekolah-guru memahirkan anak-anak dengan kemahiran 3M sebelum mereka menjejak kaki ke sekolah?

Berikut adalah peranan yang dapat ibu bapa lakukan bagi membantu anak-anak menguasai 3M sebelum memasuki Tahun Satu:

1. Bimbingan Prabaca

Dalam memastikan anak-anak dapat menguasai asas prabaca, proses bimbingan prabacaan sewajarnya bermula dari rumah. Malah sebenarnya, asas pendidikan anak-anak bermula di rumah dengan ibu bapa berperanan untuk membimbing, memberi sokongan serta bantuan kepada anak-anak untuk menguasai kemahiran 3M. Pembelajaran di prasekolah atau sekolah kemudiannya perlu disambut atau disokong dengan pembelajaran di rumah oleh ibu bapa.

2. Tunjuk teladan

Dalam usaha meningkatkan minat dan semangat untuk anak-anak terus belajar dan menguasai kemahiran 3M, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik. Maka, jadikan amalan membaca bersamasama anak-anak sebahagian daripada rutin. Luangkan masa untuk bersama mereka membaca buku dan bercerita. Ini secara tidak langsung menjadi ikutan kepada anak-anak untuk terus berminat menguasai kemahiran membaca.

3. Kaedah bacaan kuat

Bacaan kuat bersama anak-anak adalah teknik terbaik yang dapat dijalankan oleh ibu bapa dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran 3M. Sebahagian besar guru-guru menggunakan teknik ini di sekolah untuk prabacaan. Ia bagi memastikan sebutan anak-anak adalah tepat. Maka, kesinambungan pembelajaran sebegini perlu diteruskan oleh ibu bapa di rumah. Sesi bacaan secara kuat bersama anak-anak dapat membantu mereka lebih yakin dan seterusnya memahami apa yang dibaca.

4. Sumber bacaan

Kerjasama guru untuk membekalkan dan berkongsi bahan-bahan bacaan seperti kad bacaan, lembaran kerja dan buku yang bersesuaian dapat membantu ibu bapa meneruskan pembelajaran di rumah. Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan proses penguasaan kemahiran 3M dalam kalangan kanak-kanak. Inisiatif guru untuk sama-sama memberi panduan serta bimbingan kepada ibu bapa untuk mengaplikasikan beberapa teknik mengajar prabacaan adalah mustahak dalam memastikan kesinambungan pembelajaran anak-anak di rumah.

Tidak dinafikan, guru adalah orang yang terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanakkanak khususnya kemahiran 3M. Ini kerana guru mempunyai kemahiran pengajaran dan pembelajaran, pendekatan pedagogi yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid dan asas psikologi pembelajaran yang dapat menarik minat kanakkanak untuk menguasai kemahiran 3M.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kanakkanak, mereka memerlukan sokongan ibu bapa di rumah untuk meneruskan pembelajaran di rumah. Oleh yang demikian, dalam mengecilkan impak COVID-19 terhadap keciciran pembelajaran kanak-kanak, perkongsian pintar guru-guru bersama ibu bapa amat penting.

Pembukaan sekolah bagi penggal tiga semester 2021/2022 adalah alternatif terbaik untuk guru dan ibu bapa membantu anak-anak yang keciciran pembelajaran. Pemuafakatan ibu bapa dan sekolah perlu digerakkan khususnya kepada anakanak yang mengalami masalah penguasaan 3M. Ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran.

- Berita Harian

 

 

Jumaat, Januari 14, 2022

Bantuan Persekolahan RM150 diagih kepada 3 juta pelajar

 


 Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang, akan diagihkan bermula Isnin ini kepada murid yang akan memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima daripada kalangan keluarga isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya, berkata seramai tiga juta murid di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

"Murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan berkenaan.

"Sementara itu, bagi murid Tahun Satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai," katanya.

KPM berkata, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

"Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

"KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan BAP dinaikkan sebanyak RM150 berbanding RM100 yang diterima pelajar sebelum ini.

Jelasnya, bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM450 juta.

Sumber Berita Harian

Isnin, Oktober 12, 2020

Sekolah dibenar tutup jika ada kes positif Covid-19

 

Pentadbiran sekolah seluruh negara diberikan kuasa untuk menutup operasi persekolahan jika terdapat kes positif kes Covid-19 membabitkan penghuninya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tutup sekolah untuk tempoh tujuh hari boleh dilakukan tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh KKM.

"Ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Dalam hal ini, sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlulah mematuhi garis panduan yang akan dikeluarkan oleh KPM," katanya.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu diambil selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan SriMuhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, keputusan adalah susulan trend peningkatan kes di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Sumber : Harian Metro

Selasa, September 29, 2020

Di mana guru selepas waktu sekolah?

 

SOP selepas tamat waktu persekolahan juga harus dipantau bagi memastikan penularan Covid-19 tidak merebak dalam kalangan pelajar.

 

Surat dari pembaca ini disiarkan di akhbar Utusan pada 28 September 2020.

SAUDARA PENGARANG,

Penularan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, malah angka jangkitan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus amat merisaukan.

Walaupun tiada tanda untuk pulih, orang ramai tetap mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negara.

Ya, ia amat bagus dalam membantu ekonomi untuk pulih, namun apa yang dirisaukan adalah kemungkinan virus itu berjangkit amat tinggi terutama melibatkan kanak-kanak.

Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.

Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain.

Bukan hendak menyalahkan guru yang terbeban dengan tanggungjawab mengajar, namun sekiranya ada pemantauan daripada pihak sekolah, kemungkinan pelajar akan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi.
Justeru, amat penting untuk pihak sekolah sentiasa berwaspada dan meningkatkan peraturan terutama ketika wabak ini masih berada pada tahap merisaukan.

 

XXXXX XXXXXXX XXXXXXX 

Ampang, Selangor

Recent Posts