Mandikan anak ketika demam untuk elak sawan

 

Apabila demam, suhu anak meningkat mereka perlu dimandi atau badan perlu disejukkan badan dengan tuala basah.

Tindakan memandikan dan mengelap bertujuan menyederhanakan suhu badan yang ketika itu berada pada paras tinggi dan tidak normal.

Usaha menurunkan suhu badan anak penting bagi mengelak daripada berlaku demam sawan yang dikhuatiri meningkatkan risiko kesihatan serius.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, berkata demam sawan berlaku apabila suhu badan terlalu tinggi, bermula 38 darjah celsius dan ke atas, berbanding bacaan biasa antara 36 hingga 37 celsius.

Beliau berkata, bacaan melebihi 38 darjah celsius hampir mencapai bacaan serius meningkatkan risiko diserang sawan demam.

Hampir tiga hingga empat peratus kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun berisiko diserang sawan disebabkan suhu badan yang tinggi ketika demam.

Bagi kategori berkenaan, mereka yang paling mudah diserang ialah bayi berusia 14 hingga 18 bulan hingga menyebabkan berlaku kesan kekejangan pada kaki dan tangan selain mata terbeliak ke atas hingga mulut berbuih.

Biasanya kanak-kanak yang mengalami masalah ini mempunyai sejarah ahli keluarga pernah diserang sawan, namun serangan biasanya hanya berlaku sekali sahaja.

"Bagaimanapun, 30 peratus kanak-kanak yang pernah diserang sekali, mereka kemungkinan berisiko mengalami sawan demam secara berulang," katanya BH.

"Letak anak dalam keadaan mengiring, jangan sesekali meletakkan sebarang objek dalam mulut mereka. Dalam keadaan ini, suhu badan seharusnya turun dengan segera.

"Jika sebaliknya, basahkan badan anak menggunakan suhu air paip dan jangan gunakan air sejuk atau ais. Gunakan ubat demam yang dimasukkan ke dalam lubang dubur, bertujuan merendahkan suhu badan," katanya.

Sekiranya masih sawan antara 10 hingga 15 minit, beliau menyarankan bawa anak ke hospital dengan segera kerana dibimbangi anak berisiko berhadapan komplikasi kesihatan.

Dr Roliza berkata, biasanya apabila kanak-kanak diserang demam, kebanyakan ibu bapa cenderung merasai suhu badan dengan telapak tangan di bahagian dahi dan leher. Kaedah ini tidak tepat berikutan suhu setiap individu berbeza.

"Saya cadangkan setiap rumah mempunyai jangka suhu supaya apabila berlaku kecemasan seperti ini, ibu bapa mengetahui bacaan sebenar memandangkan hanya jangka suhu memberikan maklumat tepat keadaan suhu badan.

"Begitu juga dengan ubat demam. Seharusnya diberikan secara teratur supaya suhu badan tidak naik terlalu tinggi. Pastikan juga dos ubat bersesuaian dengan umur dan berat badan anak. Justeru perlu rekod berat anak bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan," katanya.

Info:

  • Pakaikan anak pakaian nipis
  • Pakaian tebal seperti baju sejuk atau selimut tidak digalakkan ketika suhu tinggi
  • Pastikan sistem pengudaraan bilik dalam keadaan baik.
  • Kipas atau penghawa dingin dipasang bagi membantu menurunkan suhu badan.

Sumber dari Berita Harian


Saringan suhu badan yang betul

 

Hanya yang bacaan suhu badan memenuhi SOP akan mendapat lampu hijau untuk masuk daripada pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk membuat pemeriksaan. Langkah ini amat penting untuk memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

Namun begitu, adakah pengambilan suhu itu benar-benar mengikut SOP yang ditetapkan? Persoalan paling penting, adakah anda yakin bahawa bacaan suhu itu adalah tepat mahupun sebaliknya?

Ini yang dipersoalkan oleh Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu ciapan di Twitter baru-baru ini, selepas mengunjungi sebuah restoran di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Beliau yang ketika itu sedang menunggu giliran untuk diperiksa suhu badan oleh pekerja restoran berkenaan terkejut sebaik melihat segala rekod suhu badan pelanggan sebelum ini yang dicatatkan mereka di sebuah buku.

Agak luar biasa menurut Dr Helmy kerana semua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah celsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah celsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Ini kerana suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah celsius sehingga 37.5 darjah selsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.

Seperti diketahui, gejala utama COVID-19 adalah demam dan saringan paling mudah untuk memastikan pelanggan sesebuah restoran, pekerja ke pejabat atau sesiapa sahaja untuk melangkah ke dalam bangunan seorang yang sihat adalah melalui bacaan suhu badan menggunakan termometer.

Itu yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi sektor ekonomi kerana kegagalan mematuhi SOP akan membuatkan mereka berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers - we don't want false assurances! " kata beliau dalam ciapannya di akaun @dochelmy. 

Keadaan itu jelas membuktikan pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam restoran berkenaan tidak disaring sebetulnya dan sudah tentu ia membimbangkan.

Ini kerana kemungkinan besar ada antara mereka mempunyai suhu badan lebih daripada 37.5, mempunyai gejala COVID-19 seperti demam tetapi dibenarkan masuk apabila bacaan suhu rendah kerana tidak disaring sebetulnya oleh pihak premis.

Hal ini menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini adalah pesakit COVID-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.

"Kalau tengok catatan buku itu ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah celsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat. Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah celsius sehingga 37.5 darjah celsius.

"Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah celsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah celsius.

"Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.

"Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan COVID-19 terlepas masuk," katanya.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan pembacaan suhu itu tidak tepat antaranya disebabkan kesilapan pengendalian alat berkenaan kerana tidak memahami sebetulnya tatacara penggunaan, kualiti mahupun aspek menyelaraskan fungsi tentukur termometer tidak diambil perhatian.

Walhal, amat penting sebenarnya alat itu diselaraskan fungsinya (menentukur) sebelum digunakan buat kali pertama dan juga sekiranya ia terjatuh mahupun apabila diguna berulang kali bagi memastikan bacaan yang akan diambil nanti adalah tepat.

Selain perlu juga memahami termometer mempunyai pelbagai jenis dan setiap alat pengimbas suhu ini adalah berbeza cara pengendaliannya.

Paling popular digunakan ketika ini oleh kebanyakan syarikat, restoran adalah termometer temporal artery atau juga dipanggil termometer dahi yang menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi kerana agak mudah mengendalikannya serta tidak berlakunya sentuhan.

"Sebenarnya, pemeriksaan suhu paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri di mana perlu meletakkannya di bawah lidah selama beberapa minit. Ia susah sikit berbanding dengan yang dipakai pada dahi," jelas Dr Helmy.

Fungsi termometer Berbeza

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kecemasan KKM, Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kepentingan untuk mengetahui fungsi setiap termometer ini penting bukan sahaja untuk memastikan bacaan suhu yang diambil tepat bahkan juga disebabkan cara bacaan suhu alat pengimbas itu adalah berbeza antara satu sama lain.

Berkongsi maklumat berkenaan di Facebook selepas berhadapan insiden hampir serupa dengan Dr Helmy, beliau terkejut apabila ada penjaga pintu di satu premis yang dikunjunginya tidak tahu suhu yang betul untuk dibenarkan masuk.

"Tak semua orang tahu kan. Oleh itu, kita perlu memberi sedikit penerangan tentang tatacara penggunaan termometer untuk saringan awal.

"Suhu badan normal adalah sekitar 36 darjah celsius hingga 37.4 darjah celsius. Maka suhu 37.5 darjah selsius atau lebih sudah dikira anda demam. Ini hanya untuk bacaan 'thermoscan infrared'.

"Bacaan suhu dengan termometer jenis lain dikira demam adalah berbeza; ketiak >37.2 darjah celsius, mulut >37.8 darjah celsius dan rektum (punggung) atau telinga >38 darjah celsius.

Menurut beliau, cara mengambil suhu tujuan saringan pintu masuk, mestilah dengan menggunakan termometer jenis infrared gun demi mengekalkan penjarakan satu meter.

"Jarak menggunakan termo gun ini tidaklah terlalu jauh kerana ia akan memberi ralat dan tidak tepat pada bacaan. Perlu lihat tatacara penggunaan termo gun mengikut pengeluar.

"Penyaring perlu memakai PPE sekurang-kurangnya topeng muka. Penjarakan satu meter adalah diwajibkan. Bateri termometer ini kena sentiasa diperiksa secara berkala juga," katanya.

Golongan berisiko

Sememangnya, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, media sebelum ini ada melaporkan terdapat ramai individu membawa golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lalu.

Justeru, bayangkanlah apabila golongan berisiko tinggi ini berada di tempat awam yang tidak disaring betul suhu bacaannya dan berkemungkinan besar terdedah kepada jangkitan COVID-19 tanpa disedari. Bukankah ini membahayakan mereka?

Kerana itulah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah sebaiknya setiap daripada kita mengelak untuk berada di tempat awam sekiranya tidak ada keperluan penting biarpun sesuatu aktiviti itu dibenarkan mahupun premis itu lengkap dengan SOP ditetapkan.

Jangan mudah selesa dengan angka semasa COVID-19 yang ketika ini berlegar sekitar dua digit. Kecuaian dan kelekaannya memungkinkan Malaysia berdepan peningkatan penularan COVID-19 secara mendadak pada pertengahan Jun berdasarkan pemodelan dan ramalan COVID-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH).

"Janganlah kita sesekali sia-siakan pencapaian agak cemerlang yang gigih lagi tekun kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 sehingga dikitiraf di peringkat dunia!

"(Apa yang kita lalui hari ini adalah) "norma baharu yang bersifat sementara sahaja" sehingga pandemik ini dapat diperangi dengan jayanya tidak lama lagi," katanya.

Sumber dari Bernama

 

Elak kanak-kanak murung menyendiri

 

Di negara maju bertemu kaunselor atau ahli psikologi adalah perkara lumrah untuk mendapatkan khidmat perundingan apabila berhadapan masalah psikososial, namun agak berbeza di negara ini kerana masih ada yang melihatnya dengan pandangan sinis.

Masalah kemurungan melampau dialami kanak-kanak atau orang dewasa sepatutnya perlu mendapatkan rawatan bagi mengelak ia semakin parah.

Pakar Psikologi Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azizah Othman, berkata Klinik Psikologi hospital itu menerima antara empat hingga lima pesakit setiap hari dalam kalangan kanak-kanak yang menunjukkan gejala kemurungan.

"Bagi kanak-kanak mengalami kemurungan, mereka akan menunjukkan perubahan melalui tingkah laku seperti memberontak, marah, atau sentiasa mengadu sakit yang tidak dapat dikesan puncanya, bermasalah di sekolah, atau hilang minat kepada apa-apa aktiviti dan selalu keletihan.

Orang dewasa sebaliknya pula menunjukkan tanda seperti berasa sedih, kurang selera makan, hilang berat badan dan menganggap hidup mereka tidak lagi berguna.

Bagaimanapun, kemurungan dalam kalangan kanak-kanak perlu dirawat kerana jika dibiarkan mereka akan menjadi lebih senyap, menyendiri, menjauhkan diri dari keluarga dan masyarakat, selain prestasi pelajaran terganggu.

Perasaan risau, sedih atau takut adalah normal, contohnya anak rasa takut apabila ditegur guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Namun, sekiranya mereka menunjukkan tanda terlebih takut dan risau itu mungkin gejala awal gangguan keresahan sekali gus menyebabkan tekanan trauma serta fobia yang boleh mengganggu aktiviti harian.

Selain itu, kanak-kanak yang sukar untuk memberikan tumpuan berpotensi menghidap gangguan mental.

"Dalam hal ini penting ibu bapa mengetahui kesan atau tanda ini agar anak mereka boleh dirawat dengan segera.

"Di sebalik perubahan tingkah laku kanak-kanak yang mengalami kemurungan ada dalam kalangan mereka tidak bernasib baik seperti datang dari keluarga bermasalah, ibu bapa bercerai, berlaku konflik keluarga, kurang tumpuan kasih sayang dan perhatian ibu bapa, bapa mengabaikan tanggungjawab dan berlaku penderaan fizikal atau seksual", katanya.

Beliau berkata, bagi membantu pesakit kanak-kanak, model terapi seni seperti lukisan dan mainan dapat membantu meneroka permasalahan mereka.

"Ini kerana tidak semua kanak-kanak pandai menceritakan masalah berlaku pada diri, malah mungkin tidak tahu bagaimana untuk menceritakannya.

"Jadi, melalui kaedah terapi seni atau lukisan secara tidak langsung dapat membantu semasa proses penceritaan seterusnya memudahkan lagi sesi merawat pesakit," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Nombor Akaun Amanah Bencana

 

Sumbangan boleh dibuat ke dalam Akaun Amanah Bencana melalui akaun Maybank Islamic Berhad dengan nombor 5660 1065 0930

Akaun itu ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana, mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Individu dan syarikat korporat yang menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana layak mendapat potongan cukai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, potongan cukai itu diberikan dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi kerajaan (Kew. 38) atau dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran sistem perbankan rasmi.

"Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah Kerajaan," menurut kenyataan itu.

 

 

 

Tips Jimat Elektrik

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna memantau dan mengurus penggunaan elektrik di rumah bagi mengelak pembaziran tenaga terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kadar penggunaan elektrik domestik dijangka meningkat dalam tempoh tersebut kerana lebih banyak masa dihabiskan rakyat di tempat kediaman masing-masing.

“Namun pelanggan mempunyai pilihan berhubung perkara ini termasuk menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tip cekap tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan banyak tenaga seperti alat pemanas air, penyaman udara, mesin basuh dan lampu.

“Manakala untuk lebih 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar, mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah penggunaan tenaga yang cekap turut boleh diamalkan antaranya mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas penuh selain menutup suis selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas.

Pengguna juga perlu memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutup sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa di samping menggunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat penyaman udara boleh dilaraskan lebih tinggi antara 24 hingga 26 darjah Celsius.

Selain itu, tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa sebelum tidur dengan menetapkannya ditutup selepas penggunaan dan bersihkan penapis pendingin hawa kerana habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan peralatan tersebut.

TNB turut mengingatkan, penggunaan air panas semasa mencuci pakaian dengan muatan penuh menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan selain pengguna dinasihati memanfaatkan cahaya semula jadi untuk mengurangkan penggunaan lampu elektrik.

Dalam pada itu, TNB berkata, masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air turut menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.

“Apabila menggunakan ketuhar elektrik tindakan membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan tempoh hidangan dimasak sebaliknya ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar.

“Pengguna juga perlu mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan kerana televisyen, kotak dekoder dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Maklumat lanjut berkaitan cara penggunaan elektrik yang berhemah boleh didapati di portal myTNB melalui www.mytnb.com.my dan pengguna boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman mereka dengan melayari www.maevi.my.

Pelanggan turut boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 bagi pertanyaan bil atau kunjungi Facebook TNB CareLine dan laman Twitter @Tenaga_Nasional. 

 

 

Panduan Permohonan Syarikat Untuk Beroperasi Semasa PKP

 


Pastikan anda membuat pendaftaran terlebih dahulu di laman sesawang yang telah dinyatakan dibawah dan berikan butiran-butiran seperti berikut:-

  1. Butiran Pendaftaran Syarikat
  2. Alamat surat menyurat dan Operasi
  3. Anggaran Pendapatan
  4. Jumla Pekerja
  5. Nyatakan Aktiviti ekonomi yang terlibat
  6. Hantar Pengistiharan
  • Setelah mengisi segala maklumat yang diminta seperti langkah dua anda boleh hantarkan permohonan anda
  • Semua permohonan akan diproses dan akan mengambil masa sehingga 5 hari
  • Semua keputusan permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan dan kriteria yang telah ditetapkan.

Rujuk keputusan permohonan anda di CIMS 2.0 dan mereka yang lulus dan gagal hendaklah membuat tindakan seperti berikut.

Jika Permohonan diluluskan

  • CIMS 2.0 akan menjana surat kelulusan yang mengandungi Kod QR secara automatik.
  • Pastikan semuak pekerja berdaftar membawa salinan surat kelulusan ini.
  • Pihak berkuasa mungkin akan meminta dokumen pengenalan seperti ID pekerja atau surat perlantikan,sebagai tambahan kepada surat kelulusan.

Jika Permohonan Gagal

  • Anda boleh mengemukakan rayuan melalui sistem yang sama

Permohonan boleh dibuat di: https://notification.miti.gov.my/login

 

 

 

Semak alamat di aplikasi MySejahtera

 

Individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 melalui MySejahtera dinasihatkan membuat semakan alamat di aplikasi berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebelum ini timbul isu individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui MySejahtera di berikan janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri lain.

Katanya, apabila semakan dilakukan, pihaknya mendapati ia berlaku ketika pendaftaran dibuat individu terbabit menggunakan Google Maps API untuk menetapkan lokasi masing-masing dengan menaip nama taman perumahan atau lokasi mereka.

Beliau berkata, apabila carian Google Maps API kemudian membuat padanan terhadap nama taman perumahan atau lokaliti yang mempunyai nama yang sama di seluruh negara. 

"Sebagai contoh, ada seseorang menetap di Taman Bahagia di Kuala Lumpur dan menaip 'Taman Bahagia' dan semua Taman Bahagian di Malaysia akan disenaraikan sebagai cadangan Google Maps API.

"Mereka kemudian 'klik' pada 'Taman Bahagia' yang pertama menyebabkan penetapan itu dibuat ke Taman Bahagia di Sandakan, Sabah.

"Berikutan itu, kami letakkan ciri tambahan dalam MySejahtera untuk anda mengesahkan alamat sebenarnya termasuk negeri dan poskod.

Mesej saya kepada pengguna MySejahtera, sila kemas kini alamat anda supaya insiden itu dapat dikurangkan dan dihentikan," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya

Pada masa sama Khairy berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan 'help desk' interaktif untuk membantu kes yang dihantar ke PPV di negeri lain atau jauh daripada alamat masing-masing kerana isu Google Maps API itu.