Memaparkan catatan dengan label tips memandu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tips memandu. Papar semua catatan

Petua elak tertekan dan panas baran ketika memandu di hari perayaan

 



Memandu ketika cuti perayaan membuatkan kita rasa tertekan disebabkan kesesakan jalan raya yang teruk akibat peningkatan jumlah kenderaan.

Jadi, elakkan kemarahan dan kurangkan tekanan dengan merancang perjalanan supaya lancar ke destinasi ditujui.

Memandu dalam keadaan tenang dan berhemah, memastikan kita dan penumpang berada dalam keadaan selamat. Ikuti beberapa panduan berikut:

Periksa kondisi kenderaan

Pastikan tekanan angin dan corak bunga tayar, lampu, sistem brek, sistem penyejuk dan komponen kereta dalam keadaan baik.

Penyimpanan barangan

Pastikan semua barangan disimpan di ruang bagasi kereta, jangan biarkan bersepah kerana objek kecil boleh menjadi berbahaya jika terjadi kemalangan.

Memandu berhati-hati

Sentiasa memandu dengan berhati-hati. Beri laluan kepada kereta di hadapan atau di belakang.

Sentiasa nyalakan lampu isyarat jika ingin beralih lorong atau membelok masuk ke simpang. Anda perlu berada di lorong sebelah kiri jika tidak memotong kenderaan lain.

Beri laluan pada kereta lebih laju. Sentiasa bersabar dan jangan lakukan provokasi kepada pemandu lain dengan sebarang tindakan agresif.

Sentiasa perhatikan dan peka dengan pemandu yang baru belajar memandu. Cuti perayaan masa popular untuk mereka belajar memandu.

Pakai tali pinggang keledar

Terlalu banyak kemalangan maut berlaku di negara ini kerana aspek keselamatan dipandang remeh.

Menjadi tanggungjawab pemandu memastikan semua penumpang dalam kereta sentiasa memakai tali pinggang keledar.

Pastikan jarak selamat antara kereta anda dengan kereta di hadapan bagi memberi masa untuk kita membrek dan berhenti jika berlaku kecemasan.

Lebuh raya untuk dikongsi

Jumlah pengguna lebuh raya meningkat menjelang setiap perayaan menjadikan perjalanan pasti boleh melebihi 10 jam untuk destinasi tertentu.

Jadi lebih bertolak ansur dan bertimbang rasa ketika memandu.

Memandu pada cuti perayaan bermakna anda akan menghabiskan banyak waktu dalam kereta kerana lalu lintas sesak tambahan pula jika berpuasa.

Perjalanan jauh memang letih dan memenatkan. Kemalangan boleh berlaku disebabkan faktor itu. Justeru, ambil langkah wajar bagi mengelak keletihan.

1. Pastikan tidur

Perkara penting tidur secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan dinasihatkan melakukan perjalanan jauh pada hari siang supaya membolehkan anda sentiasa berada dalam keadaan jaga.

2. Rancang waktu perjalanan

Merancang perjalanan dan berhenti rehat jika penat. Keluar dari kereta dan berjalan atau lakukan sedikit senaman di tempat selamat. Lakukan ini jika sangat letih dan tidur sebentar.

3. Memandu bergilir

Jika dalam kereta ada lebih daripada seorang pemandu, pandu bergilir-gilir dapat supaya pemandu utama dapat berehat selepas memandu jauh.

4. Elak mengantuk ketika memandu

Jangan memandu dalam keadaan mengantuk dan memandu laju kerana kebanyakan kemalangan maut diakibatkan dua faktor itu.

5. Kawal panas baran

Kawal sikap panas baran kerana kadangkala memandu boleh menjadikan sesiapa saja kecewa dan mudah marah.

Dengan kesibukan lalu lintas dan keadaan cuaca panas ditambah pula berpuasa, tahap kesabaran sebagai manusia sentiasa diduga. Demi keselamatan bersama, janganlah bersikap panas baran ketika memandu.