Memaparkan catatan dengan label sultan nazrin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sultan nazrin. Papar semua catatan

Biodata Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah

 


Berikut ialah biodata Sultan Nazrin Shah yang mengangkat sumpah jawatan untuk kali ketiga sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Nazrin Shah diputerakan pada 27 November 1956, di Georgetown, Pulau Pinang.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada pada 15 April 1987. Susulan kemangkatan ayahandanya, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak mencapai kata sepakat memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selain melaksanakan tanggungjawab perlembagaan di Malaysia, Sultan Nazrin Shah turut mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015-2016.

Baginda juga pernah memainkan peranan sebagai Duta Khas Malaysia ke Dialog Antara Agama dan Antara Kebudayaan di persidangan Perikatan Tamadun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC).

Dalam negara, baginda adalah Canselor Universiti Malaya. Baginda juga adalah Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Sultan Nazrin Shah juga Felo Kehormat Worcester College, Universiti Oxford serta Magdalene College dan St Edmund's College, Universiti Cambridge.

Baginda juga adalah Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia; dan Penaung Diraja Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri Malaysia; Penaung Diraja (sebelum ini Duta Kewangan) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sebelum baginda menyambung pendidikan di Sekolah St. John, Kuala Lumpur, dan seterusnya berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.

Sultan Nazrin Shah kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan seorang puteri Raja Nazira Safya. 

- BERNAMA