Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melanjutkan insentif pengurangan kompaun di bawah Akta Syarikat 1965 bermula hari ini sehingga 31 Oktober depan.
SSM dalam satu kenyataan memaklumkan, di bawah insentif itu, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kompaun yang ditawarkan di bawah Akta Syarikat 1965.
Sebelum ini, insentif berkenaan dilaksanakan selama empat bulan bermula 1 Mac lalu dan tamat 30 Jun 2022.
"Semakan status kompaun boleh dilakukan melalui emel ke ar_compliance@ssm.com.my atau hadir ke mana-mana pejabat SSM di seluruh negara," katanya.
SSM menyediakan enam inisiatif dalam membantu ke arah Pemulihan ekonomi negara tahun 2022 antaranya meneruskan pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang memberikan pendaftaran percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa.
Selain itu, inisiatif lain adalah meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S101P), pengurangan kompaun di bawah Akta Syarikat 1965; mencadangkan pindaan menambah baik peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim atau perkiraan selain memperkenalkan inisiatif sama di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2021.