Memaparkan catatan dengan label si bulus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label si bulus. Papar semua catatan

Si bulus stres dan berisiko mati dipakaikan aksesori, baju berfesyen


Bagi sesetengah pemilik, memakaikan baju dan aksesori pada haiwan kesayangan mereka seperti kucing dan anjing menambahkan kecomelan haiwan itu, namun tindakan itu sebenarnya berisiko mengundang stres kepada haiwan berkenaan dan boleh membawa maut.

Berkongsi pengalaman, pemilik kucing baka yang tidak asing lagi dalam kalangan pengguna media sosial, Johan Eskandar Mohamad Najib berkata beliau sebelum ini gemar memakaikan "si bulus" kesayangannya pelbagai jenis baju dan aksesori, namun berhenti berbuat demikian selepas mengesan perubahan sikap haiwan terbabit.

Kesan peringkat awal

Johan, 31, yang pada masa ini memiliki 30 ekor kucing domestik dan baka seperti Scottish FoldBritish Short HairMaine Coon dan Munchkin sebelum ini pernah membuka studio Johan and His Cats yang diiktiraf sebagai studio kucing pertama di dunia pada 2016, bagi tujuan mendidik orang ramai tentang penjagaan kucing.

Sekalipun studio itu ditutup selepas beroperasi kira-kira lapan bulan, anak jati Shah Alam, Selangor itu aktif berkongsi panduan penjagaan si bulus menerusi sosial media dan menjadi tumpuan kebanyakan pemilik kucing baka di negara ini.

Bercerita lanjut, Johan berkata beliau bersyukur kerana cepat menyedari perubahan sikap haiwan kesayangannya selepas memakaikan aksesori, sekali gus menyelamatkan kucingnya daripada mengalami stres dan trauma.

"Malah, saya tutup studio pun demi kesejahteraan kucing-kucing saya, walaupun dapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Kehadiran terlalu ramai pengunjung dan ada antara mereka yang tidak mematuhi peraturan membuatkan kucing-kucing saya kelihatan tidak selesa," jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata ada antara kucingnya yang tidak kisah dipakaikan baju atau aksesori.

Beliau yang memelihara kucing sejak 2011, turut menasihati pemilik agar berhati-hati apabila memakaikan relang leher pada haiwan kesayangan mereka.

"Cat collar (relang leher) itupun sebenarnya agak bahaya dan ada cara untuk memakaikan. Jangan terlalu ketat, sebaliknya perlu ada ruang sebesar jari anda di antara relang dan leher kucing supaya tidak berlaku insiden terjerut.

"Ramai yang tidak sedar dan terlupa akan hal ini. Ada orang yang membiarkan kucing mereka di luar apabila dipakaikan cat collar. Tindakan itu sebenarnya berpotensi membahayakan haiwan itu seperti risiko tersangkut pada pagar, dahan pokok dan seterusnya mendatangkan kecederaan pada kucing," jelas beliau.

Personaliti terbuka, emosi

Doktor perubatan veterinar, Dr Muhammad Naim Md Kassim, berkata sebagai haiwan yang pada asalnya adalah binatang liar yang kemudian dijinakkan, kucing seharusnya dibenarkan hidup bebas dan melakukan perkara yang masih kekal dalam nalurinya seperti memburu dan mencakar pokok.

Berpengalaman hampir 10 tahun, berkata yang menimbulkan masalah ialah apabila pemilik mengaplikasikan cara hidup manusia pada haiwan kesayangan mereka termasuk memakaikan baju dan aksesori lain.

"Macam pakaikan sarung kaki, kita rasa comel, tapi kucing perlu asah kuku kerana itu adalah tingkah laku biasanya. Bila kita ganggu tingkah laku normalnya, haiwan itu akan stres.

"Stres manusia dan kucing amat berbeza kerana stres pada kucing boleh berlaku dengan drastik. Kalau orang stres, masih boleh berfungsi dengan normal seperti makan, minum dan sebagainya. Akan tetapi, kalau kucing stres, ia tidak mahu makan sekalipun berasa lapar.

"Selain itu, kucing juga akan jadi takut apabila berasa tertekan selain mengalami keguguran bulu yang banyak," katanya.

Menyifatkan kucing juga seperti manusia, mempunyai personaliti terbuka atau cenderung ke arah beremosi (moody), Dr Muhammad Naim berkata, kucing yang bersifat terbuka mudah menerima dan mengadaptasi suasana baharu, namun kucing yang selalu beremosi terdedah kepada risiko stres, sekali gus mengancam kesihatan haiwan itu.

Pelbagai faktor menyumbang kepada stres dalam kalangan kucing, seperti pemilik menukar makanan, jenis pasir kumbahan atau membawa masuk kucing baharu ke dalam persekitaran mereka.

"Misalnya, kita tukar pasir kumbahan mereka. Ada yang stres sampai tidak mahu buang air di dalam pasir kumbahan itu, sama ada ia tahan buang air atau buat 'kerja' di luar bekas kumbahan.

"Kekerapan kencing akan terganggu dan boleh membentuk batu karang di dalam saluran kencing mereka.

"Tekanan yang dialami boleh membawa kesan kepada fisiologi kucing dan seterusnya mengganggu sistem imun mereka. Jika sistem imun lemah, kucing akan mudah jatuh sakit termasuk mendedahkan haiwan ini kepada penyakit yang boleh membawa maut seperti jantung, tekanan darah, batu karang dan diabetes," jelas beliau.

Tenangkan kucing

Pemilik pusat perlindungan haiwan, S.I Shelter di Shah Alam, Nurul Ain Abd Hamid, berkata beliau sendiri sering berdepan dengan kes batu karang dalam kalangan kucing yang baru tiba di pusat perlindungannya.

"Kucing itu sebelum ini normal, tetapi bila tiba di tempat saya (pusat perlindungan haiwan) 'si comel' itu sanggup tahan daripada membuang air kecil di dalam pasir yang disediakan kerana tidak biasa, kemudian (selepas suatu tenpoh) jadi batu karang," katanya.

Beliau yang pada masa ini menjaga lebih 100 ekor kucing, berkata si bulus yang dalam keadaan stres lazimnya akan menunjukkan gejala bulu meremang atau gugur.

"Cara paling mudah nak tahu kucing berkemungkinan stres ialah bila kita tengok bulu dia meremang dan bila pegang akan banyak gugur… kalau kucing tak stres tidak berlaku begitu," katanya yang mengoperasikan pusat perlindungan itu sejak 12 tahun lalu.

Nurul Ain berkata, bagi memastikan kucing di pusat perlindungannya tidak mengalami stres, haiwan berkenaan dipastikan menerima layanan yang baik selain sentiasa dibelai.

Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya, kucing yang dikesan sebagai pembawa virus seperti parvo atau Feline infectious peritonitis (FIP) yang boleh mendatangkan maut, perlu berada dalam keadaan tenang bagi mengelakkan virus terbabit aktif.

"Stres boleh menyebabkan virus yang sebelum ini dormant menjadi aktif kerana ketika stres, sistem imun kucing menjadi lemah dan tidak mampu membendung virus terbabit," jelasnya.

Sumber dari BERNAMA