Memaparkan catatan dengan label setahun madani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label setahun madani. Papar semua catatan

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI


 

Lebih 100 perkhidmatan akan ditawarkan secara langsung kepada pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember 2023 ini.

Pengarah Seksyen Daya Saing Negara, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Wan Fazlin Nadia Wan Osman, berkata antara yang menjadi tarikan pada program itu nanti ialah tawaran pertukaran topi keledar secara percuma, pendaftaran program Cuti-Cuti Cikgu dan Jom Exchange al-Quran.

"Sebanyak 3,000 topi keledar ditawarkan untuk program pertukaran di bawah Kementerian Pengangkutan dan sesiapa sahaja pengunjung boleh datang, bawa topi keledar serta tukar kepada yang baharu.

"Kementerian Pendidikan juga sebelum ini pernah menguar-uarkan mengenai Program Cuti-Cuti Cikgu, jadi pendaftaran akan dibuka pada sesi kali ini. Semua cikgu dijemput untuk hadir.

"Yang ketiga bagi Jom Exchange al-Quran, orang ramai boleh membawa al-Quran lama yang tiada cap perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ditukarkan dengan yang baharu dengan perakuan KDN," katanya ketika menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Beliau berkata, Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI juga akan menampilkan watak dalam bidang eksekutif negara kepada masyarakat umum untuk memberikan pendedahan dan penerangan mengenai perancangan serta pencapaian negara.

"Antaranya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan berkongsi mengenai advokasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

"Ada juga sesi bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang akan berkongsi hala tuju pendidikan negara, selain Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam sesi sembang santai ekonomi," katanya.

Wan Fazlin menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam untuk hadir memeriahkan program berkenaan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma juga akan disediakan di Endah Parade, Pavillion Bukit Jalil, MRANTI Technology Park dan kawasan letak kereta pelawat Astro, seawal jam 7 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital, Nik Kamaruzaman Nik Husin, berkata pengunjung yang hadir tidak akan pulang dengan tangan kosong dengan adanya pelbagai perkhidmatan dan program yang disediakan.

"Semua rakyat Malaysia diajak datang beramai-ramai kerana anda pasti memperolehi manfaat dan membawa pulang sesuatu yang berharga dalam bentuk maklumat, peluang pekerjaan atau hadiah," katanya.

Program berkenaan dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan MPC selaku urus setia bersama. Ia turut melibatkan kerjasama, antaranya pelbagai kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Majlis perasmian penutupan program bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember dan dijadual turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan. 

Sumber dari BERNAMA