Memaparkan catatan dengan label persekutuan tanah melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label persekutuan tanah melayu. Papar semua catatan

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963

 


Tanggal Penubuhan Malaysia 16 September 1963 adalah tarikh keramat bagi rakyat Malaysia berikutan termeterainya sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan catatan laman web Arkib Negara Malaysia, pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan ditandatangani wakil Kerajaan Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Bagaimanapun, tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia ditangguhkan daripada 1 Jun ke 31 Ogos 1963 kerana laporan daripada Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963.

Penubuhan Persekutuan Malaysia dirasmi dan diisytiharkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, yang menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara.

Perisytiharan itu disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor (kini Yang di-Pertua) Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak serta 30,000 rakyat.

INFO

27 MEI 1961 - Tunku Abdul Rahman mengumumkan pembentukan Malaysia pada Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura.

23 JULAI 1961 - Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephens (Fuad Stephens).

OGOS 1961 - Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah.

18-20 DISEMBER 1961 - Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching, Sarawak.

6-7 JANUARI 1962 - Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.

17 JANUARI 1962 -Jawatankuasa Cobbold ditubuhkan

3-4 FEBRUARI 1962 - Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia

21 JUN 1962 - Laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dikemukakan kepada Kerajaan Britain dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

JULAI 1962 - Kata sepakat dicapai Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain, Harold MacMilan untuk mengadakan rundingan.

9 JULAI 1963 - Perjanjian penting ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan ditandatangani oleh wakil Kerajaan Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 SEPTEMBER 1963 - Upacara perisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.