Memaparkan catatan dengan label perceraian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perceraian. Papar semua catatan

Perceraian pasangan bawah 30 tahun beri kesan kadar kelahiran penduduk

 

Seramai 21,368 pasangan berusia 30 tahun ke bawah didaftarkan bercerai pada usia perkahwinan kurang lima tahun pada 2020 berbanding 26,245 pasangan pada 2019.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, berkata jumlah itu masih membimbangkan bagi pasangan usia berkenaan yang mana ia memberi kesan kepada pengurangan penduduk di negara ini.

Katanya, untuk statistik keseluruhan membabitkan usia pasangan antara 20 hingga lebih 65 tahun pula, sejumlah 37,853 pasangan didaftarkan bercerai pada 2020 berbanding sejumlah 45,502 pasangan pada 2019.

Situasi ini amat membimbangkan untuk LPPKN kerana ia akan memberi kesan pada masa hadapan dari segi sumber tenaga kerja dan ekonomi negara, di mana pada tahun 2100, negara menyasarkan seramai 70 juta penduduk.

Tetapi ketika kini, kita hanya ada 32.7 juta penduduk dan dijangka pada tahun 2100, hanya 42 juta penduduk saja berjaya dicapai.

"Jadi apabila perkahwinan gagal diselamatkan, maka penambahan penduduk negara juga akan terkesan," katanya ketika merasmikan Seminar Smart Start Second Honeymoon, anjuran LPPKN.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Seminar dihadiri kira-kira 50 pasangan itu bertujuan menyemarakkan rasa cinta antara pasangan suami isteri supaya hubungan perkahwinan itu dapat dimantapkan lagi.

Katanya, pandemik juga menjadi antara punca peningkatan perceraian di negara ini memandangkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada kursus perkahwinan dan majlis juga dijalankan secara dalam talian.

"Jadi LPPKN merasakan perlu ada kursus pemantapan untuk pasangan baru berkahwin dalam tempoh lima tahun pertama untuk memberi nilai tambah dalam membantu memantapkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Shukur berkata, kadar perceraian yang tinggi turut memberi kesan kepada kadar kelahiran baharu di negara ini di mana kadar purata kelahiran dicatatkan hanya 1.7 untuk satu keluarga saja berbanding empat sebelum ini.

"Sepatutnya bagi wanita dalam umur reproduktif antara 15 hingga 49 tahun, paras penggantian sepatutnya 2.1 yang mana jika ibu bapa meninggal, cukup untuk menggantikan penduduk negara.

"Menjadi satu isu besar kepada negara sebab kadar kelahiran baharu terlalu pesat menurun.

"Kalau memilih untuk mempunyai seorang anak saja, pastikan anak itu berkualiti yang mampu menyumbang kepada negara," katanya.

Bagi pasangan, Noor Saidatul Akmar Hamdan, 36 dan Abd Hafiz Abd Malek, 37, mengakui usia lima tahun perkahwinan terlalu mencabar daripada segi membina kewangan yang kukuh.

"Di awal perkahwinan memang ada pergaduhan sebab kami baru bekerja, semua perlu dibayar dan dalam masa yang sama kewangan belum kukuh, tapi kami berjaya atasi bersama-sama.

"Selepas tempoh 10 tahun pula, cabaran lain pula timbul untuk mengurus anak yang semakin membesar pula," katanya yang sudah berkahwin 11 tahun dan mempunyai dua anak perempuan.

Bagi pasangan Piyaman Abd Hadi, 39, dan Muhammad Izhar Yahya, 44, mereka akan memastikan setiap tahun diperuntukkan masa untuk bulan madu.

Katanya, setiap tahun mereka akan memilih untuk bulan madu tanpa kehadiran anak-anak dalam usaha menyegarkan kembali hubungan suami isteri.

"Suami isteri perlu ada masa bersama-sama dan dari situ, hubungan akan bertambah erat, anak-anak pula sangat memahami dan akan tinggal di rumah nenek sekejap.

"Jika tidak mampu untuk bercuti pun, luangkan masa berdua sekejap pun sudah memadai seperti tengok wayang bersama-sama dan sebagainya," katanya.

Sumber dari Berita Harian