Memaparkan catatan dengan label pengutip hutang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengutip hutang. Papar semua catatan

Bagaimana Untuk Menghadapi Pengutip Hutang?

 


Adakah anda mempunyai hutang yang tertunggak dan sering dibelengu oleh ejen pengutip hutang. #JomBeringat kali ini membawa netizen untuk mengetahui apakah hak anda dan tips untuk menghadapi ejen pengutip hutang. 

Siapakah pengutip hutang?

Pengutip hutang, atau ejen pemungut hutang, adalah agensi yang biasanya diupah oleh bank, syarikat telekomunikasi, atau syarikat utiliti. Agensi ini menawarkan perkhidmatan untuk memungut hutang dari individu, perniagaan, atau syarikat jika penghutang gagal membuat bayaran.

Namun, oleh kerana pelaksanaan undang-undang agak longgar dalam bidang ini pengutip hutang, masalah timbul apabila pengutip hutang bersikap melampaui batas sewaktu menjalankan perkhidmatan mereka. Perkhidmatan kutipan hutang sebenarnya sah disisi undang-undang jika ianya dilaksanakan oleh pengutip hutang yang berlesen di Malaysia.

Seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia, bank dibenarkan untuk menggunakan servis pengutip hutang, dengan beberapa terma dan syarat yang perlu dilaksanakan untuk memastikan agensi pengutip hutang menjalankan perkhidmatan mereka dengan beretika.


Apa Hak Anda?

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)

Akta ini memainkan peranan penting untuk melindungi hak individu bagi mengelakkan syarikat menjual, berkongsi, atau menggunakan maklumat anda bagi kepentingan pihak ketiga. Jika anda dapati ejen pengutip hutang telah menggunakan maklumat anda untuk memalukan atau memaksa anda membayar hutang (seperti mendedahkannya kepada rakan-rakan), mereka telah melanggar peraturan dibawah akta ini.

Apakah hak anda sebagai penghutang?

Bank Negara Malaysia telah menggariskan beberapa panduan untuk diamalkan oleh pengutip hutang. Proses pemungutan hutang perlu dilakukan dengan tindakan yang adil kepada penghutang, termasuk melindungi privasi sewaktu mengutip hutang. Dibawah garis panduan yang disediakan, pihak bank yang menggunakan ejen pengutip hutang perlu pastikan:

  • Memupuk standard professionalisme yang tinggi sewaktu mengutip hutang.
  • Memastikan ejen menggunakan tindakan yang beretika dalam mengutip hutang.
  • Tidak menggunakan kekerasan.
  • Memberikan notis pemberitahuan terlebih dahulu kepada penghutang.
  • Menunjukkan kad kuasa.
  • Memastikan maklumat penghutang tepat dan jelas.
  • Mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan maklumat dan privasi.


1. Hak anda kepada maklumat

Jika anda dihubungi oleh pengutip hutang, anda boleh meminta mereka untuk menunjukkan kad kuasa, nama syarikat pemungut hutang, dan notis makluman hutang anda.

2. Ada had masa terhadap hutang anda

Di Malaysia, di bawah Akta Had Masa 1953, wujud had masa yang diperuntukkan untuk pemiutang  mengambil tindakan keatas penghutang. Pemiutang perlu mengambil tindakan undang-undang dalam tempoh masa tersebut. Dalam kes ini, tempoh masa yang dikenakan ialah 6 tahun. Selepas tempoh tersebut, institut kewangan tidak boleh mengambil tindakan terhadap penghutang yang tidak membayar hutang.

Sebagai contoh, katakan anda memohon pinjaman peribadi dari bank pada tahun 2017, dengan tempoh bayaran semula selama 7 tahun. Jadi, anda sepatutnya telah melangsaikan bayaran pinjaman tersebut pada tahun 2024. Sekiranya anda masih belum berbuat sedemikian, bank diberikan tempoh masa sehingga 2030 untuk mengambil tindakan undang-undang.

Jadi, jika ejen pengutip hutang berjumpa dengan anda untuk hutang yang anda pinjam lebih dari 6 tahun yang lalu, mereka tidak berhak untuk mengambil tindakan undang-undang disebabkan had tempoh tersebut. Tempoh masa ini biasanya sama untuk semua produk dari bank, dari kad kredit hingga ke pinjaman.

3. Pengutip hutang tidak boleh menggunakan kekerasan

Menurut “Garis Panduan Pungutan Hutang” yang  dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, ejen pemungut hutang tidak boleh menggunakan kekerasan sewaktu memungut hutang. Ini bermakna sewaktu berjumpa pemiutang, ejen tidak boleh mengugut, memukul, ataupun menggunakan bahasa kesat semasa memungut hutang.

4. Pengutip hutang tidak boleh menghubungi pemiutang lebih dari 3 kali

Jika ejen pengutip hutang sering kali menghubungi anda serta datang ke tempat kerja atau rumah, anda boleh memfailkan aduan ke Bank Negara Malaysia. Ini kerana, syarikat pemungut hutang tidak boleh menghubungi pemiutang lebih dari 3 kali seminggu. Jika mereka melanggar arahan ini, anda boleh membuat aduan.

5. Pengutip hutang tidak boleh mengancam anda

Pengutip hutang tidak boleh mengancam anda dan juga menggunakan tindakan yang luar dari undang-undang untuk memaksa anda membayar hutang tersebut. Ini termasuklah menceroboh ataupun membuat kerosakan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengikuti anda dari tempat kerja, dan juga mengintip lokasi anda.

6. Maklumat Anda Tidak Boleh Dikongsi

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)  memainkan peranan penting untuk melindungi hak individu bagi mengelakkan syarikat menjual, berkongsi, atau menggunakan maklumat anda bagi kepentingan pihak ketiga. Akta ini mengandungi pelbagai garis panduan yang meliputi pengumpulan, penggunaan, pendedahan serta perlindungan maklumat yang diberikan individu untuk tujuan komersial.

Jika anda dapati ejen pengutip hutang telah menggunakan maklumat anda untuk memalukan atau memaksa anda membayar hutang (seperti mendedahkannya kepada rakan-rakan), mereka telah melanggar peraturan dibawah akta ini.


Bagaimana Cara untuk Membuat Aduan?

Anda boleh memfailkan aduan dengan bank berkenaan jika ejen pengutip hutang melanggar etika di atas. Jika anda tidak berpuas hati dengan cara bank menangani aduan anda, anda boleh failkan aduan anda terus ke 
Bank Negara Malaysia di:

BNMTELELINK (Pusat Hubungan Pelanggan)
1-300-88-5465
bnmtelelink@bnm.gov.my
Waktu operasi: 9:00 am – 5:00 pm (Isnin – Jumaat)
BNMTELELINK (Pejabat Pusat Khidmat Pelanggan)

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel:1-300-88-5465
Faks:03-21741515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my 
SMS: 15888

BNMLINK atau Bank Negara Malaysia Laman Informasi Nasihat dan Khidmat membantu orang ramai dan ahli perniagaan mengenai isu dan aduan berkaitan dengan produk dan perkhidmatan kewangan. Ini termasuk khidmat nasihat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan dengan akses kepada pembiayaan, pengesahan status dan laporan kredit (CCRIS), prosedur pentadbiran pertukaran asing, serta pertanyaan tentang skim kewangan secara haram.

Pihak bank akan menghantar notis pemberitahuan kepada anda untuk membayar hutang terlebih dahulu, jangan abaikan panggilan telefon, surat, atau notis emel dari bank berkenaan dengan pembayaran pinjaman anda. Hubungi pihak bank sekiranya anda mengalami masalah membuat bayaran semula. Bank boleh menawarkan penstrukturan semula bayaran bagi membantu anda kerana pihak bank juga ingin mengurangkan jumlah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans).

Segera hubungi pihak berkuasa sekiranya wujud kekerasan yang digunakan oleh ejen pengutip hutang.

Sumber dari PDRM dan BNM