Memaparkan catatan dengan label pengerusi glc. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengerusi glc. Papar semua catatan

Pengerusi baharu PTPTN tekad pastikan pelajar B40 tidak tercicir ke universiti

 


Memastikan tiada pelajar, khususnya B40, tercicir ke universiti akibat kemiskinan - itulah tekad Apli Yusoff yang dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Apli, 52, yang berazam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan itu dengan sebaik mungkin, menjelaskan bahawa bukan hanya pelajar B40 berdepan masalah kewangan untuk membayar yuran pengajian dan kos lain, malah golongan M40 turut terkesan sehingga ada yang terpaksa membatalkan hasrat melanjutkan pelajaran walaupun memperoleh tawaran memasuki universiti awam (UA).

"Kita akan berusaha memastikan semua pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke UA, tidak tercicir disebabkan keluarga menghadapi masalah kewangan," katanya ketika dihubungi.

Apli yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, dilantik sebagai Pengerusi baharu PTPTN berkuat kuasa 18 Julai bagi menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tamat kontrak pada 17 Jun lalu.

Apli yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menerima surat pelantikan jawatan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994, juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia serta Mara Incorporated Sdn Bhd.

Mengulas lanjut pelantikannya itu, Apli mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas kepercayaan mencalonkan namanya sebagai Pengerusi baharu PTPTN.

"Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said, atas kepercayaan mencadangkan nama saya untuk jawatan itu.

"Saya akan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, terutama memastikan tiada pelajar terpaksa menangguhkan pengajian ke UA kerana menghadapi masalah kewangan," katanya sambil memaklumkan akan memulakan tugas baharu itu secara rasmi pada Isnin depan.

Apli turut memaklumkan beliau sudah diberi taklimat mengenai persiapan, termasuk pelancaran logo baharu sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, yang akan dirasmikan Ismail Sabri pada Rabu depan.

Sumber : Berita Harian