Memaparkan catatan dengan label penajja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penajja. Papar semua catatan

Kempen Agrobank Cashless kepada Penjaja

 


Agrobank menyasarkan seramai 10,000 penjaja di seluruh negara melaksanakan urus niaga tanpa tunai (cashless) bagi menyahut seruan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan kemudahan kewangan dan perbankan dapat ditawarkan kepada golongan itu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein berkata, jumlah itu merupakan sasaran awal pihaknya dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun seterusnya agar Malaysia mampu memiliki masyarakat tanpa tunai.

Menurut beliau, bagi memastikan sasaran itu tercapai, pihaknya menawarkan kanopi perniagaan bersaiz 10×10 kepada penjaja yang menepati kriteria-kriteria tertentu.

“Permohonan ini terbuka kepada semua pelanggan baharu atau sedia ada Agrobank yang berniaga makanan, minuman dan barangan halal mengikut terma dan syarat.

“Permohonan ini terbuka kepada semua pelanggan baharu atau sedia ada Agrobank yang berniaga makanan, minuman dan barangan halal mengikut terma dan syarat.

“Kempen Penjaja Cashless menerusi program Cashless Agrobank ini dibuka sejak 1 Ogos lalu dan akan diteruskan selagi mendapat permintaan dalam kalangan penjaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pelancaran Penjaja Cashless di Jalan Tengah, Kuala Lumpur.

Tengku Ahmad Badli memberitahu, matlamat Cashless Agrobank adalah membantu meringankan beban kos pengelua­ran penjaja kerana mereka tidak lagi perlu mengeluarkan belanja untuk membeli kanopi selain beberapa manfaat lain setelah berdaftar bersama Agrobank.

Katanya, sebagai sebuah badan perbankan tempatan, Agrobank komited membawa perubahan kepada amalan masyarakat yang dahulunya membeli menggunakan tunai dan kini beralih kepada DuitNow QR.

“Zaman semakin moden, kita mahu menggalakkan penjaja dan pembeli menggunakan sistem pembayaran yang lebih mudah, cepat dan pantas dengan hanya mengimbas kod QR yang terdapat di gerai penjaja.

“Saya yakin masyarakat sekarang kurang membawa wang tunai dalam poket dan kadang kala penjaja juga tidak mempunyai baki yang mencukupi.

“Sebab itu kami anjurkan program ini untuk membantu penjaja kecil dalam pengurusan kewangan sistematik selain kemudahan mod pembayaran yang cepat dan selamat,” jelasnya.

Ujar beliau, Agrobank memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi menjayakan program Cashless Agrobank dengan jumlah tempahan kanopi sebanyak 7,500 setakat ini.

“Pada peringkat pertama, kita menyediakan 1,500 kanopi dan menempah 5,000 lagi. Kita akan menambah bilangan kanopi secara berperingkat sehingga mendapat satu jumlah sasaran yang besar untuk program ini.

“Fasa pertama dan kedua kita peruntuk RM3 juta. Kita akan tambah peruntukan mengikut keperluan dan permintaan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Trak Makanan Jalan Tengah, Wan Mohd. Hamzani Harun me­nyambut baik penganjuran Cashless Agrobank kerana berupaya membantu memberi pendedahan yang jelas berkaitan urus niaga tanpa tunai kepada penjaja terutama di Lembah Klang.

“Di ibu negara, penduduknya ramai jadi apabila proses jual beli menggunakan tunai mengambil masa yang lama. Dengan adanya program seperti ini, penjaja lebih terdedah kepada bayaran menggunakan kod QR, dalam masa tiga minit sudah siap.

“Kita ada lebih 200 ahli dan kesemua mereka menyediakan kemudahan kod QR. Kadangkala ada pelanggan tiada wang RM2, jadi untuk melancarkan proses jual beli, kaedah ini (cashless) dilihat amat berkesan,” katanya.

Kenyataan itu disokong peniaga nasi berlauk, Mohd. Mustaza Khan Sekendar Khan, 62, yang memberitahu, dia sangat menggalakkan pelanggannya melaksanakan pembayaran menggunakan kod QR berbanding tunai.

“Kadangkala leceh apabila semua pelanggan beri duit not besar. Kita (peniaga) tiada baki yang mencukupi. Kalau 50 sen boleh halalkan. Ada pelanggan beri not RM100, sedangkan makanan yang dibeli cuma RM5, jenuh hendak cari baki.

“Bagi saya, kaedah pembayaran secara cashless adalah yang terbaik. Bayar guna DuitNow selesai masalah.

“Yang penting ada liputan internet. Kalau kerajaan dapat tingkatkan akses internet, kaedah pembayaran secara cashless dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut : https://www.agrobank.com.my/announcements/penjaja-cashless-2-0-inisiatif-pembayaran-tanpa-tunai-untuk-penjaja/