Memaparkan catatan dengan label peluang kerjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label peluang kerjaya. Papar semua catatan

Majikan Malaysia kurang beri peluang pekerja berkembang



Kebanyakan pekerja berpengetahuan di Malaysia tidak mendapat peluang pengembangan kerjaya daripada majikan masing-masing, demikian menurut agensi pekerjaan dan latihan, Aisling Group.

Pengarah Urusan Aisling Group, Melissa Norman, berkata pekerja di Malaysia kurang mendapat pendedahan dan peluang pembelajaran untuk membangun dan meningkatkan kemahiran mereka.

Beliau berkata, kajian Aisling Group mendapati ramai pekerja berpengetahuan kecewa dengan kekurangan peluang kemajuan ini."Mungkin terdapat kekurangan pelaburan oleh majikan untuk masa depan pekerja. 60 peratus syarikat Malaysia kurang memberi program latihan dan pembangunan," katanya.

Melissa berkata, jika diperhatikan, kadar pengekalan pekerja adalah tinggi dalam syarikat yang menyediakan latihan dan pembangunan berbanding syarikat yang tidak menyediakan sebarang pengembangan pekerja.

Beliau berkata, program pembelajaran dan pembangunan yang berstruktur memberi peluang besar kepada majikan untuk mengekalkan tenaga kerja berkemahiran.

Katanya, kekurangan menyediakan program sedemikian adalah antara faktor kepada peningkatan pekerja berpengetahuan terpaksa mempunyai sumber pendapatan kedua selain isu berkaitan tekanan kewangan.

Sementara itu, beliau berkata peluang kerjaya untuk pekerja yang bekerja di syarikat yang sama selama beberapa tahun juga adalah sangat terhad.

"Ini adalah perkara biasa dalam syarikat Malaysia, terutamanya dalam kalangan pekerja pengurusan pertengahan. Beberapa faktor boleh menyumbang kepada kekurangan peluang pertumbuhan, antaranya kurangnya kepimpinan dan visi daripada pihak pengurusan.

"Selain itu, pekerja tidak dapat mengembangkan kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk bergerak dalam organisasi.

"Kekurangan kecekapan yang ditunjukkan dalam kalangan pekerja, terutamanya apabila ramai calon yang layak bersaing untuk jawatan yang sama juga menjadi faktor penyumbang selain ketidakupayaan untuk pekerja membina hubungan baik dengan pengurusan kanan," katanya.

Melissa berkata, kurangnya kepercayaan majikan terhadap pekerja juga menyebabkan suasana pekerjaan tidak menarik.

Beliau berkata, 60 peratus pekerja mengatakan mereka mempunyai sedikit kawalan ke atas tugasan kerja mereka, malah gaya pengurusan mungkin mengakibatkan kekurangan kawalan pekerja atas tugasan mereka.

Akibatnya, pekerja mempunyai sedikit peluang untuk berdemonstrasi pengetahuan dan kemahiran, menyebabkan mereka merasakan kerja itu tidak penting, katanya.

"Kesimpulannya, majikan Malaysia mesti belajar menghargai dan melabur terhadap pengembangan pekerja mereka. Ini bagi memastikan majikan dapat mengekalkan pekerja yang terbaik.

"Majikan juga perlu menyediakan pekerja dengan alat dan sumber yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kemajuan," katanya.

Sumber dari Berita Harian