Memaparkan catatan dengan label pasar besar kedai payang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pasar besar kedai payang. Papar semua catatan

Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu

 


PASAR BESAR KEDAI PAYANG atau PASAR KEDAI PAYANG di Kuala Terengganu versi baharu hampir siap. Saya tidak galakkan anda panggil 'Pasar Payang' dengan alasan ia nama ringkas kerana itu bukanlah nama sebetulnya. Orang lama biasanya panggil 'Kedai Payang'.


Blok baharu ini dibina di atas tapak asal pasar lama. Pasar lama diroboh kerana sebahagian daripada lantai pasar yang berada di atas air sungai telah reput dan berbahaya. Jalan baru yang ditambak dibina dari Kampung Cina (Chinatown) ke Dataran Shahbandar di belakang pasar ini telah menjadikan Pasar Kedai Payang tidak lagi berada di atas air sungai seperti dulu.

Sejak sebelum merdeka, Pasar Kedai Payang telah diubahsuai beberapa kali. Jadi, ini bukanlah bentuk asal pasar ini. Semasa pembinaan pasar baru, bangunan pasar sementara dibina (digunakan sekarang) yang terletak di hadapan Bukit Puteri. Selepas siapnya bangunan pasar baru ini, ia akan dinamakan Pasar Kedai Payang 1 sementara bangunan pasar sementara yang digunakan sekarang akan dijadikan Pasar Kedai Payang 2.

Di tahun 1970-80an dahulu, kami yang tinggal di Kuala Terengganu Utara (sekarang Kuala Nerus), kalau nak ke Pasar Kedai Payang, kami akan naik motor, kereta atau bas dan pergi ke Jeti Penambang Seberang Takir. Kami akan naik Bot Penambang untuk menyeberangi Sungai Terengganu dan turun di Jeti Pasar Kedai Payang. Tambang di waktu itu hanya 50 sen seorang. Motor dan basikal juga boleh kita bawa naik bot penambang dengan tambang masing-masing RM1 dan 50 sen.

Waktu itu belum ada Jambatan Sultan Mahmud, jadi perjalanan melalui Jambatan Manir tersangatlah jauh. Sebab itu di waktu itu Bot Penambang Seberang Takir - Pasar Kedai Payang sangat meriah sehinggakan jika hari minggu, kita terpaksa menunggu giliran untuk naik Bot Penambang. Kini, Jeti Bot Penambang Pasar Kedai Payang hanya tinggal kenangan.

Foto : Zulfikran Mohd Salleh
Group Pembangunan Negeri Terengganu