Memaparkan catatan dengan label orang hilang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label orang hilang. Papar semua catatan

Peranti canggih GPR diguna kesan mangsa hilang

 


Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan peranti canggih, Ground Penetrating Radar (GPR), hari ini, untuk mengesan baki sembilan mangsa masih hilang dalam tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Gohtong Jaya.

Pengarah Bahagian Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata ini adalah kali pertama alat mudah alih terbabit digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di Malaysia, dan ia boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.

"Ia adalah peranti canggih mudah alih dan yang pertama di negara ini digunakan dalam insiden bencana.

"Bagaimanapun, banyak negara jiran sudah menggunakan peranti ini untuk operasi bencana. Kami berharap peranti ini dapat memudahkan operasi SAR," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Khairi memaklumkan, alat berkenaan ditaja oleh syarikat Geoventure Solution melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada NADMA.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat hasil penggunaan sama ada ia membantu operasi SAR dan mempercepatkan proses penemuan mayat.

Operasi SAR memasuki hari ketiga bagi mengesan sembilan lagi mangsa belum ditemui. Setakat ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan 61 berjaya diselamatkan dalam insiden berkenaan.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, dilaporkan berkata harapan menemui mangsa terselamat dalam tragedi itu semakin tipis berikutan keadaan runtuhan tanah yang tebal, berlumpur dan berbatu.

Norazam berkata, operasi SAR juga kian mencabar disebabkan keadaan tanah yang basah, lembut, berselut serta kewujudan aliran air bawah tanah.

Sumber : Berita Harian