Memaparkan catatan dengan label mimpi ngeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mimpi ngeri. Papar semua catatan

Posisi tidur mengiring ke kiri mudah dapat mimpi buruk


 MACAM-MACAM gaya dan posisi seseorang ketika tidur, ada yang terlentang, mengiring ke kiri atau ke kanan atau meniarap. Itulah lumrahnya.

Bagi individu yang jenis tidur lasak pasti kerap bertukar posisi tanpa disedari.

Yang nyata, posisi tidur itu boleh memberi kesan kepada tempoh dan kualiti tidur seseorang. Silap cara tidur menjadikan badan sakit-sakit apabila bangun pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, tidur dalam kedudukan yang salah boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada mimpi ngeri, demikian menurut kajian seorang pakar mimpi.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal "Sleep and Hypnosis", sebagai contoh, mendapati orang yang tidur mengiring sebelah kiri berkemungkinan besar mengalami mimpi buruk.

Kajian itu mendapati, orang yang tidur di sebelah kiri mempunyai 41 peratus peluang untuk mengalami mimpi buruk, manakala hanya 15 peratus daripada mereka yang tidur mengiring sebelah kanan mengalaminya.

Tidur mengiring ke kiri dikaitkan mimpi ngeri

Seorang pentafsir mimpi, Theresa Cheung, memberitahu Tom's Guide, "tidur mengiring ke kiri boleh dikaitkan dengan mimpi ngeri atau yang menyeramkan kerana memberi lebih tekanan kepada jantung.

"Setiap kali ada tekanan, kualiti tidur adalah lemah dan mimpi ngeri pasti akan menyusul," katanya.

Sebagai contoh, satu kajian pada 2018, mendapati pesakit yang tidur mengiring ke kiri menunjukkan perubahan dalam aktiviti jantung mereka, yang dikatakan sebagai penunjuk tekanan. Ini disebabkan jantung lebih cenderung untuk beralih sedikit ke kiri dan kanan pada kedudukan itu, berbanding kedudukan lain.

Sementara itu, peserta kajian yang tidur mengiring ke kanan menunjukkan hampir tiada perubahan dalam aktiviti jantung.

Bagaimanapun, ia kemungkinan tidak menyebabkan sebarang masalah kesihatan jika anda tidak mempunyai masalah jantung sedia ada. Jika anda mempunyai penyakit jantung atau kegagalan jantung, perubahan dalam aktiviti jantung boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Tidur terlentang dapat mimpi tak menyenangkan

Theresa berkata, tidur terlentang juga boleh menyebabkan mimpi yang tidak menyenangkan.

"Orang yang mengalami masalah pernafasan pada waktu malam lebih cenderung untuk bertukar daripada tidur yang nyenyak kepada tidur ringan dan mengalami mimpi yang membimbangkan," katanya.

Ketua neurologi dan ubat tidur di Kaiser Permanente di Atlanta, Dr Lisa Billars, berkata ia adalah perkara biasa bagi mereka yang mengalami apnea tidur obstruktif (OSA).

"Bagi individu yang mempunyai OSA, yang diketahui atau tidak diketahui, adalah perkara biasa untuk tahap apnea menjadi lebih teruk semasa tidur terlentang, berbanding kedudukan tidur sisi atau meniarap.

"Bagi penghidap OSA, saluran udara mereka rosak atau hampir rosak dan ini mengakibatkan penurunan oksigen serta peningkatan paras karbon dioksida dalam badan," katanya kepada Everyday Health.

Dr Billars berkata, turun naik itu boleh mencetuskan tindak balas "lawan atau lari" (fight-or-flight) oleh badan.

"Tindak balas fisiologi ini boleh dialami sebagai tekanan atau apnea boleh menyebabkan rasa sesak nafas.

"Mana-mana senario ini boleh menyumbang kepada perkembangan mimpi atau mimpi ngeri yang mengganggu," katanya.

Tidur meniarap mimpi lebih 'memperkasa'

Theresa turut menunjukkan kajian pada 2016 dalam jurnal Sleep and Hypnosis, yang mendapati pelajar sekolah menengah yang tidur meniarap mempunyai mimpi yang lebih 'memperkasa'.

"Jika anda mengalami mimpi ngeri, menukar posisi tidur anda boleh mempengaruhi mimpi anda, jadi anda mungkin mahu mencuba.

"Pendekatan terbaik adalah tidur dalam kedudukan yang optimum untuk pernafasan yang sihat dan itu mungkin di sebelah kanan anda, yang berpotensi lebih baik untuk bermimpi," katanya.

Bagaimanapun katanya, mengelak daripada mimpi buruk bukan hanya berkaitan kedudukan tidur.

"Faktor penting yang sentiasa berkaitan dengan tidur adalah keselesaan anda.

"Sememangnya, cara terbaik untuk mempengaruhi kandungan mimpi buruk adalah dengan sentiasa bermula dengan kebersihan tidur anda," katanya. 

Sumber dari AGENSI