Memaparkan catatan dengan label malu bertanya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label malu bertanya. Papar semua catatan

Bagaimana mengatasi murid malu bertanya dan jawab soalan

 

Penulis: Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

"Ada sesiapa nak tanya ?" Soalan ini sering diajukan oleh guru kepada pelajar di dalam kelas. Namun, tidak ramai pelajar yang berani bertanyakan soalan walaupun mereka masih tidak faham dengan arahan atau kandungan subjek yang dipelajari. Begitu juga jika guru menanyakan soalan. Tidak ramai pelajar yang tampil mengangkat tangan dan menjawab soalan walaupun mereka tahu jawapan yang sebenar.

Umumnya, berbanding pelajar Asia, murid dari negara Barat lebih berani bertanya dan menjawab soalan walaupun mereka tidak pasti jawapan yang diberikan adalah betul atau salah.

Budaya mengangkat tangan dan bertanyakan soalan bukanlah satu kebiasaan dalam masyarakat kita. Perasaan malu dan 'takut salah' menyebabkan pelajar tidak berani untuk bertanya walaupun mereka masih keliru dengan penerangan yang diberikan oleh guru. Malah, pelajar lebih selesa bertanya pada rakan di sebelah sekiranya tidak faham apa yang dipelajari.

Sikap malu bertanya ini satu daripadanya disebabkan rasa kurang keyakinan diri yang tinggi. Mereka bimbang diejek oleh rakan-rakan kerana masih tidak faham dengan topik yang dibincangkan atau dianggap seperti menunjuk-nunjuk jika mereka mampu menjawab soalan yang ditanyakan oleh guru. Selain itu, mereka juga takut jawapan diberikan itu nanti salah. 

Hal ini juga berlaku disebabkan budaya bertanya selalu dilihat dalam konteks yang negatif. Dalam kehidupan dan pembentukan diri kebanyakan kanak-kanak di negara ini, sudut pandang begitu sudah menjadi tabiat dan kebiasaan. Ia sekali gus menjadikan murid segan untuk bertanya.

Situasi malu dan takut bertanya ini bukan hanya berlaku di peringkat sekolah malah hingga ke peringkat universiti. Pelajar lebih selesa mencari jawapan sendiri di internet atau terus mendiamkan diri walaupun tidak mendapat jawapan yang diinginkan. Bagaimana hal ini boleh diatasi?

1. Tingkatkan kemahiran interpersonal

Pelajar perlu dipupuk dengan sifat keyakinan diri untuk lebih berani bertanyakan soalan. Keyakinan diri dalam kalangan pelajar kita masih lemah mungkin disebabkan oleh kurangnya aktiviti yang menggalakkan pelajar untuk berkongsi pendapat mereka.

Kemahiran komunikasi adalah sebahagian kemahiran interpersonal yang penting untuk meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar. Interaksi yang kerap antara pelajar dengan guru dapat membina keyakinan diri mereka untuk bercakap di dalam kelas. Aktiviti seperti pembentangan, perbincangan dan debat adalah antara aktiviti pembelajaran yang dapat mengukuhkan kemahiran interpersonal pelajar.

2. Sokongan kawan sekelas

Amalan mengejek dan merendahkan motivasi rakan-rakan untuk bertanyakan soalan juga perlu dihentikan. Sebaliknya pelajar perlu sama-sama memberikan galakan kepada rakan-rakan untuk bertanya dan menjawab soalan di dalam kelas. Sokongan daripada rakan sekelas dapat meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk terbabit aktif dalam aktiviti pembelajaran. Selain itu rasa minat terhadap subjek yang dipelajari juga membantu pemahaman murid. Malah, minat yang mendalam terhadap sesuatu subjek dapat mencungkil rasa ingin tahu dan menyebabkan pelajar berani untuk bertanyakan soalan yang berkaitan dengan subjek berkenaan. Rasa ingin tahu ini menyebabkan pelajar dapat memberikan perhatian penuh terhadap kandungan subjek yang dipelajari.

3. Ubah kaedah pengajaran

Keadaan pandemik yang masih belum nampak surutnya ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran masih berjalan secara hibrid iaitu gabungan bersemuka dan dalam talian. Ramai guru mengeluh dengan senario pelajar yang tidak aktif di dalam kelas terutamanya yang berlangsung secara dalam talian. Pelajar tidak menjawab soalan apabila ditanya dengan alasan sambungan internet lemah, walaupun realitinya kebanyakan pelajar sebenarnya tidak memberikan perhatian terhadap pengajaran yang diberikan. Keadaan persekolahan norma baharu juga menyebabkan terdapat pelajar yang tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas sehingga menyebabkan aktiviti pembelajaran tidak berjalan dengan aktif dan berkesan. Oleh itu, cara pengajaran yang lebih cekap dan bervariasi dapat menarik minat pelajar untuk turut serta dalam aktiviti pembelajaran.

Kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar adalah lebih fleksibel berbanding cara pengajaran dan pembelajaran tradisional. Menerusi kaedah pembelajaran ini, tumpuan diberikan kepada keperluan, kebolehan, minat dan gaya pembelajaran pelajar. Hal ini menyebabkan pelajar menjadi lebih aktif dan bertanggungjawab dalam pembelajaran mereka.

Aktiviti yang menarik seperti pembelajaran berasaskan projek atau kuiz bukan sahaja dapat meningkatkan peluang kepada pelajar untuk saling berinteraksi, malah dapat memantapkan kemahiran berkomunikasi dan skil interpersonal lain yang penting dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Berikan juga murid dorongan untuk menggalakkan mereka untuk lebih aktif dalam kelas dan pelajaran. Dorongan itu mungkin dalam bentuk markah tambahan atau hadiah seperti pelekat atau anugerah. Pemberian itu mungkin kecil tetapi memberi makna yang besar kepada murid dan mendorong mereka untuk lebih aktif dalam pembelajaran.

 

INFO: Apakah kemahiran interpersonal

Cara membina kemahiran interpersonal

  • Kemahiran interpersonal merujuk kepada komunikasi kita dengan orang lain dari segi bertukar idea mahupun berkongsi emosi.
  • Ia boleh dizahirkan dalam bentuk verbal atau non-verbal.
  • Kemahiran ini juga tidak hanya membabitkan apa yang kita katakan tetapi juga bagaimana bahasa badan atau riak wajah.
  • Beri pujian/hadiah kecil untuk murid lebih aktif dalam kelas
  • Buat kuiz
  • Bersikap terbuka, jangan marah jika tiada soalan
  • Beri galakan untuk murid bertanya
  • Beri dorongan untuk murid bina keyakinan diri.
  •  Sumber : Berita Harian