Memaparkan catatan dengan label lazada. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lazada. Papar semua catatan

Kempen 'Shop Malaysia Online', 'Go-eCommerce' bermula

 

Kempen 'Shop Malaysia Online' dan 'Go-eCommerce' bagi memacu pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi usaha mendorong perniagaan beralih ke arah digital serta menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian bermula sejak 1 Julai lalu.

Kempen bermula serentak sehingga 31 Disember itu adalah antara inisiatif di bawah pemulihan negara yang menyaksikan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sektor swasta.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam, berkata kempen 'Shop Malaysia Online' memainkan peranan penting dalam mempromosi perniagaan dan produk tempatan.

Beliau berkata, sempena kempen itu juga, Lazada akan memberikan diskaun 50 peratus dan 'Crazy Flash Sale', bersama penghantaran percuma setiap hari.

"Bagi kempen 'Go-eCommerce' pula, Lazada akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terbabit dalam e-dagang.

"Pelbagai insentif diberikan kepada PKS. Perniagaan baharu juga boleh memanfaatkan pakej rangsangan Pintar Niaga Lazada bernilai RM1,500, komisen dan kos permulaan sifar untuk mengambil kesempatan daripada manfaat besar e-dagang di Lazada," katanya dalam satu kenyataan.

Darren berkata, peneraju platform e-dagang Asia Tenggara itu juga menyedari penyebaran pandemik COVID-19 di peringkat global menjejaskan ekonomi termasuk Malaysia.

Beliau berkata, Lazada mendapati pengguna memainkan peranan aktif merangsang pemulihan ekonomi menerusi pembelian dalam talian dengan jualan hampir RM130 juta ketika kempen sama tahun lalu.

Lazada juga, katanya, menumpukan perhatian membantu perniagaan tempatan dalam usaha pendigitalan ketika ini.

"Sepanjang negara berdepan dengan krisis kesihatan kewangan ini, Lazada sudah melaksanakan pelaburan sebanyak RM50 juta bagi rangsangan Pakej Kedai Pintar.

"Lazada juga akan terus melabur dan menyokong komuniti PKS mikro sepanjang tempoh ini menerusi pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan MDEC serta kerajaan tempatan.

"Usaha ini semakin menunjukkan peningkatan dengan lonjakan penyertaan sebanyak lebih 300 peratus PKS mikro sekaligus membolehkan PKS mikro tempatan menyesuaikan diri dan beralih kepada fasa pemulihan dan pertumbuhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, berkata sebagai agensi yang memegang amanah pendigitalan perniagaan, pihaknya akan terus melengkapkan dan membantu syarikat di Malaysia menghadapi cabaran sekali gus mengukuhkan operasi.

Beliau berkata, dengan sokongan penuh daripada kerajaan dan kerjasama awam swasta yang berkesan, MDEC komited untuk terus memperkukuhkan proses pertumbuhan e-dagang di Malaysia.

"Pada masa sama, kita dapat melindungi punca pencarian dan pekerjaan dalam proses itu. Kita boleh mencapai matlamat MyDIGITAL dan meletakkan negara di jalan yang betul ke arah mencapai Malaysia 5.0.

"Ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara digital yang berdaya saing di peringkat global, berteraskan keterangkuman, kelestarian dan kemakmuran bersama serta menjadi nadi digital ASEAN," katanya.

Sumber dari Berita Harian