Memaparkan catatan dengan label kes zayn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kes zayn. Papar semua catatan

Polis periksa unit rumah blok lain berdekatan Zayn Rayyan ditemukan


Beberapa unit kediaman di blok di Apartment Idaman, Damansara Damai diperiksa polis malam ini dipercayai bagi mencari petunjuk yang dapat membantu mengesan pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, proses pemeriksaan unit kediaman itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama-sama unit forensik, Bukit Aman.

“Setakat ini, proses mengesan petunjuk baharu berkenaan sedang giat dilakukan ketika ini dan masih belum mana-mana suspek ditahan ketika ini,” katanya secara ringkas di sini hari ini.

Terdahulu, polis mengesyaki berkemungkinan hanya seorang individu terlibat kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan ditemukan di tubuh mangsa berusia enam tahun itu.

Hussein berkata, beliau tidak mahu proses siasatan melibatkan sebarang spekulasi dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menumpukan pelaksanaan tugas berdasarkan fakta kes. 

Sumber : Utusan Malaysia

Zayn Rayyan disahkan dibunuh

 


Kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia malam tadi di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini disahkan mati dibunuh.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan bunuh selepas proses bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.

Hussein berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak terbabit mendapati ada unsur jenayah.

"Terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

"Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

"Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.

"Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada," katanya.

Mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula jam 9 malam tadi.

Sumber dari Harian Metro