Memaparkan catatan dengan label kahwin lambat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kahwin lambat. Papar semua catatan

Tiada calon sesuai punca utama wanita kahwin lambat

 


Trend kahwin lewat dan hidup bersendirian dalam kalangan wanita Malaysia semakin membimbangkan sekali gus memberi implikasi terhadap tahap kesuburan serta sukar mendapatkan zuriat.

Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan wanita dalam kumpulan usia 25 hingga 29 tahun yang belum berkahwin meningkat 37.8 peratus pada 2010 berbanding 29.8 peratus pada tahun 2000.

Kajian diterbitkan dalam jurnal 'Institutions and Economies', pada Oktober 2021 bertajuk 'Correlates and Consequences of Delayed Marriage in Malaysia' hasil kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan Universiti Malaya, pula mendedahkan wanita cenderung berkahwin kali pertama pada umur lewat 20-an.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata data itu berdasarkan penemuan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) dijalankan mereka pada 2014.

Katanya, wanita secara purata berkahwin pada usia 26.2 tahun dan trend, iaitu dilihat berdasarkan statistik umur perkahwinan pertama dari 1970 hingga 2014.

"Berdasarkan laporan KPKM-5, wanita cenderung berkahwin awal pada 1970, iaitu umur berkahwin adalah 22.1 tahun.

"Bagaimanapun, ia terus meningkat tahun demi tahun, di mana pada 1980, purata umur wanita berkahwin adalah 23.5, kemudian 1991 (24.8), 2000 (25.1) dan 2010 (25.7)," katanya.

Dalam kajian itu, secara puratanya, lelaki bujang berpendapat mereka ingin berkahwin pada umur 32 tahun, manakala perempuan bujang memilih usia 30 tahun.

Punca lewat kahwin

Katanya, tiga sebab utama wanita memilih untuk lewat berkahwin.

"Tiada calon sesuai menjadi faktor tertinggi, iaitu satu pertiga atau 35.7 peratus, diikuti masalah kewangan ( 26 peratus) dan ingin menumpukan kepada kemajuan kerjaya ( 18.1 peratus).

"Wanita lebih berpendidikan dan berkemahiran tinggi, berada dalam pasaran pekerjaan serta membantu dalam proses pembangunan negara juga antara punca mereka sukar mencari pasangan sesuai sekali gus menyebabkan lewat berkahwin," katanya.

Berikutan trend kahwin lewat ini berlanjutan ia akan memberi implikasi terhadap tahap kesuburan, menjejas dan menjadikan tempoh reproduktif wanita berkurangan.

"Usia reproduktif wanita selama 34 tahun. Mereka dianggap masih subur dan berkemampuan melahirkan anak antara usia 15 hingga 49 tahun, namun tahap kesuburan akan menurun (fungsi kilang telur menurun) sejajar dengan peningkatan umur.

"Bagaimanapun, statistik melalui kajian LPPKN (KPKM-5, 2014) mendapati wanita secara puratanya berkahwin pada umur 26.2 tahun dan ini menjadikan tempoh reproduktif wanita berkurang daripada 27 tahun pada 1970 kepada 23 tahun (2014)," katanya.

Beliau menegaskan, tempoh reproduktif yang semakin singkat berupaya mempengaruhi bilangan kelahiran anak.

Wanita yang berkahwin lewat cenderung mempunyai bilangan anak sedikit berbanding berkahwin lebih awal.

Menurutnya, kajian sama melaporkan wanita berkahwin dalam lingkungan umur 20 hingga 22 tahun akan memperoleh secara puratanya 3.52 orang anak.

Sebaliknya, mereka berkahwin pada umur 26 tahun secara puratanya hanya memiliki 2.21 orang anak.

Memperincikan implikasi apabila lebih ramai masyarakat khususnya wanita lambat berkahwin, ia jelasnya turut memberi tempias kepada perubahan sosioekonomi, struktur berkeluarga, kependudukan dan negara.

"Disebabkan itu, LPPKN giat menjalankan program advokasi berhubung pentingnya perkahwinan. Kita tak mahu ada yang tak nak berkahwin kerana bimbang angka perceraian tinggi, isu kos hidup tinggi seperti perbelanjaan menghantar anak ke pusat asuhan harian.

"LPPKN tiada program khusus bagi menggalakkan sesebuah perkahwinan berlaku dalam kalangan masyarakat kerana ia membabitkan penyertaan pelbagai pihak.

"Namun, LPPKN ada program pemerkasaan perkahwinan yang dikenali sebagai SMARTSTART 2.0 dan terbuka kepada semua pasangan.

"Ia membabitkan tiga kategori, iaitu fasa PraPerkahwinan untuk yang belum berkahwin, Fasa Romantika untuk usia perkahwinan satu ke lima tahun dan fasa 'Second Honeymoon' untuk usia perkahwinan lima tahun ke atas," katanya.

Sumber dari Berita Harian.