Memaparkan catatan dengan label k-komm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label k-komm. Papar semua catatan

Fasa pertama agihan PerantiSiswa awal Jun 2022

 


Fasa pertama pengagihan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan dilaksanakan seawal minggu pertama Jun 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, berkata tender perolehan berhubung perkara itu sudah dilaksanakan dan ditutup beberapa lalu dengan pihaknya kini sedang membuat penilaian serta pemilihan mengikut tatacara kewangan sedia ada.

"Apa yang penting kita mahu menyegerakan proses permohonan kepada mereka yang layak menerusi satu sistem yang diselaras dan oleh itu, K-KOMM akan membentuk satu unit yang akan mengendalikan pangkalan data dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Unit ini adalah untuk mendapatkan (maklumat) sejumlah mereka yang layak dan sudah berada di universiti serta untuk membolehkan satu kaedah membuka ruang kepada mereka yang bakal masuk ke universiti selepas mendapat tawaran kerana mereka juga layak untuk mendapat kemudahan ini.

"Jadi kita akan menyasarkan pertengahan April ini, dapat disiapkan satu permohonan secara dalam talian bagi memudahkan urusan logistik. Apabila permohonan dibuat dalam April sehingga Mei dapat ditapis, maka fasa pertama 'roll out' dapat dilaksanakan seawal minggu pertama Jun ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Annuar ketika menggulung perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya memaklumkan, permohonan bagi Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan golongan B40 akan dibuka mulai pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, seramai 400,000 pelajar seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada program itu meliputi pelajar IPT awam dan swasta, kolej komuniti serta kolej di bawah KPT, termasuk mereka yang bakal melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Golongan miskin dan B40 yang pendapatan ibu bapanya tidak melebihi RM4,850 sebulan boleh memohon mendapatkan peranti yang boleh mereka gunakan semasa belajar," katanya.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti serta akses internet pada kos yang berpatutan.

Sumber dari Berita Harian