Memaparkan catatan dengan label jalan pintasan kt. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jalan pintasan kt. Papar semua catatan

Jalan Pintasan Kuala Terengganu (KT Bypass)

 


Jalan Pintasan Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) sudah siap dan akan dibuka tidak lama lagi.
KT Bypass menghubungkan Jalan Kelantan dan Jalan Kuala Terengganu - Kuantan (Jalan Pantai) di Kuala Ibai. Tujuannya untuk memberi alternatif kepada pengguna dari Terengganu Utara / Kota Bharu yang ingin ke Terengganu Selatan / Kuantan, sudah tak perlu masuk ke Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (sebelah kiri).
Di laluan baru ini, jika anda dari Jalan Kelantan (Durian Burung, Manir, Batu 6 & Gong Badak), ambil dua lorong sebelah kiri untuk ke Pusat Bandaraya dan jika ingin naik ke KT Bypass (Tok Molor, Tok Adis & Kuala Ibai), sila ambil dua lorong sebelah kanan.
Ada yang bertanya kenapa Stesen ECRL Kuala Terengganu tidak dibina bersama dengan Terminal Bersepadu Kuala Terengganu yang akan dibina di Bandar Baharu Bukit Besar - BBBB (sebelah atas kanan gambar). Ini kerana kawasan Kuala Terengganu ini sudah terlalu padat dengan rumah. Harga tanah untuk setiap lot juga mahal, sekitar RM100,000 - RM150,000 satu lot, belum masuk pampasan untuk rumah kediaman lagi. Jadi, pengambilalihan tanah penduduk sangatlah mahal dan sangat rumit sebagaimana yang berlaku kepada projek KT Bypass yang telah tertangguh agak lama.
Foto : Discovery Terengganu




Grafik KT Bypass oleh JKR

Projek Kuala Terengganu Bypass siap April 2022

 

Projek Kuala Terengganu Bypass yang menelan kos RM220 juta dijangka siap dalam tempoh lima bulan lebih awal iaitu pada April ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek yang sebelum ini dijadual siap pada September tahun ini sudah mencapai kemajuan hampir 92 peratus.

Beliau berkata, projek yang bermula pada 2016 itu sebelum ini tertangguh disebabkan beberapa isu teknikal.

"Ia berkait dengan pengambilan tanah yang mengambil masa untuk diselesaikan, reka bentuk yang perlu disesuaikan dengan keadaan tapak dan beberapa perkara yang perlu ditambah baik, di samping penularan COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setakat ini, projek itu sudah mencapai hampir 92 peratus dan dijangka siap pada September tahun ini. Tetapi, selepas mendengar taklimat daripada pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor mereka memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini lebih awal iaitu pada April tahun ini," katanya ketika melakukan tinjauan projek Kuala Terengganu Bypass di sini, hari ini.

Fadillah berkata, projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik seterusnya menjimatkan jarak dan tempoh perjalanan pengguna sebanyak 30 minit dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya.

Katanya, pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan membawa koridor baharu pembangunan di daerah Kuala Terengganu.

Untuk rekod, jajaran projek berkenaan membabitkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Turut dibina, lima jejambat serta membabitkan skop menaik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.

Sumber dari Berita Harian