Memaparkan catatan dengan label isteri bersalin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isteri bersalin. Papar semua catatan

Isu aurat isteri bersalin disambut doktor lelaki

 


Seorang penceramah bebas, Siti Afifah Shahbudin yang lantang melabelkan golongan suami sebagai dayus kerana membenarkan doktor lelaki melihat kemaluan isteri ketika menyambut kelahiran bayi mengundang pelbagai reaksi.

Susulan itu, seorang individu tampil menjelaskan isu tersebut dari segi perubatan dan pendapat beliau sebagai seorang doktor.

Dikenali sebagai Dr. Wan Share, beliau turut mempersoal data yang diperoleh penceramah bebas itu berhubung doktor wanita lebih ramai berbanding lelaki untuk menyambut kelahiran bayi.

“Kalau ustazah ada data yang lengkap, ustazah boleh ‘tag’ saya dan buat video pencerahan tentang itu, saya nak tengok.

“Setahu saya, dalam kepakaran ‘Obstetrics & Gynaecology ‘ (O&G), kebanyakan pakar terdiri daripada doktor lelaki,” jelasnya.

Wan seterusnya menyatakan, menurut hukum Islam dan penerangan daripada Ustaz Azhar Idrus ,perkara ini dibolehkan jika keadaan ketika itu adalah darurat.

“Kita fikir secara logik, saya sebagai suami pastinya tidak mahu doktor lelaki melihat aurat isteri saya tetapi dalam keadaan darurat dan doktor perempuan tiada, macam mana? Maka logiklah kalau doktor lelaki yang sambut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan turut menemplak kenyataan ustazah mengenai perasaan cemburu seorang suami membiarkan kemaluan isterinya dilihat secara percuma oleh doktor lelaki.

“Bahagian kemaluan perempuan ketika bersalin dan ketika berada dalam keadaan normal adalah sangat berbeza, bukanlah mengaibkan tetapi itulah realitinya,” katanya.

Sumber dari Kosmo!

Teman isteri bersalin di hospital tertakluk syarat tertentu

 


Kebenaran bagi suami atau waris terdekat menemani isteri atau ibu hamil semasa proses kelahiran anak di wad bersalin hospital Kementerian Kesihatan (KKM) sudah berkuat kuasa sejak Oktober 2021.

Bagaimanapun, KKM menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya, memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada syarat tertentu dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut KKM, polisi serta garis panduan itu bersifat dinamik bergantung kepada situasi COVID-19 semasa dan pelaksanaannya di hospital tertakluk kepada situasi serta kapasiti atau kekangan tertentu bagi memastikan aspek penjagaan rawatan pesakit, keselamatan pesakit serta petugas kesihatan diutamakan.

"KKM sangat prihatin dan teliti dalam pelaksanaan polisi ini bagi memastikan wanita hamil serta bayi baru lahir terjaga kerana mereka golongan yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19," menurut perkongsian itu.

Orang ramai dinasihati agar menyemak dengan hospital terdekat mengenai polisi kebenaran menemani isteri di wad bersalin.

Bagi suami atau ahli keluarga yang ingin menemani ibu hamil bersalin di hospital, mereka perlu melengkapkan vaksinasi COVID-19 iaitu 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin Pfizer, Sinovac serta Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 72 jam dan membawa keputusan ujian ke hospital atau membeli kit ujian kendiri dan menjalani ujian pengesanan di tempat saringan yang disediakan di hospital.

Sumber dari BERNAMA