Memaparkan catatan dengan label ili. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ili. Papar semua catatan

ILI boleh bawa kematian pesakit lemah antibodi

 


Jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) boleh mengakibatkan kematian sekiranya seseorang yang dijangkiti itu mempunyai antibodi lemah.

Perunding Pediatrik dan Kardiologis Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata ia berikutan virus itu berupaya menyerang paru-paru mereka yang lemah.

Justeru, beliau berkata, seseorang yang batuk, selesema dan demam tidak boleh beranggapan ia hanya penyakit biasa, sebaliknya perlu segera mendapatkan rawatan doktor.

"Walaupun keadaan mereka yang mengalami gejala demam, batuk dan selesema itu tidak teruk, virus itu berisiko menjangkiti kanak-kanak yang tiada antibodi, selain warga emas terdiri daripada golongan rentan.

"Oleh itu, sebaik-baiknya dapatkan rawatan segera, jangan bercampur dengan orang ramai, elakkan ke tempat yang sesak dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis kesedaran mengenai penyakit dengan cegahan vaksin anjuran GSK Malaysia, di sini, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan Jabatan Kesihatan Selangor mengesan peningkatan jangkitan ILI di institusi pendidikan, dengan antara faktornya ialah kurang penekanan aktiviti saringan di sekolah, selain pertambahan aktiviti dijalankan secara berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri.

Mengulas lanjut, Dr Yong Junina berkata, disarankan vaksin influenza diambil setiap tahun sejak bayi berusia enam bulan ke atas hingga dewasa, kerana setiap tahun ciri vaksin itu berubah.

"Ini memandangkan virus influenza itu sendiri akan mengalami perubahan ciri kerana ia juga bermutasi.

"Rata-rata masyarakat beranggapan jangkitan influenza ini mudah tersebar di negara bermusim sejuk, namun harus diingatkan bahawa penduduk kita juga sudah boleh melancong ke luar negara.

"Justeru, kesedaran itu perlu tinggi kerana bimbang kita membawa virus. Ibu bapa pula jangan terlalu bergantung pada maklumat dalam sosial media, sebaliknya dapatkan nasihat doktor.

"Jika kurang yakin dengan vaksin, dapatkan bukti bahan yang terkandung dalam vaksin berkenaan," katanya.

Sementara itu Pengarah Perubatan Vaksin GSK Malaysia, Dr Thanabalan Fonseka, berkata vaksinasi memberi banyak manfaat kepada individu dan masyarakat.

"Bagaimanapun, perubahan dalam demografik dan peralihan dalam beban penyakit pada orang dewasa terhadap sesetengah penyakit, menuntut strategi vaksinasi baharu.

"Oleh itu, GSK sentiasa bekerjasama dengan badan profesional penjagaan kesihatan dan institusi perubatan di seluruh negara supaya masyarakat mengetahui betapa pentingnya vaksinasi kepada setiap orang," katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit dengan cegahan vaksin, orang ramai boleh melayari www.theprotectors.my.

Sumber : Berita Harian