Memaparkan catatan dengan label hormon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hormon. Papar semua catatan

Hormon pengaruhi emosi wanita

 


Kehidupan wanita pada hari ini bukan sahaja menggalas tanggungjawab di rumah tetapi juga sebagai wanita bekerjaya dan turut memegang peranan penting dalam institusi kemasyarakatan lantas mereka perlu berada dalam keadaan sihat, tenang, bertenaga dan gembira.

Namun, gangguan hormon merupakan musuh utama kepada wanita kerana ia mengganggu keseluruhan kehidupan baik dari segi emosi, kesejahteraan dan kesihatan.

Wanita mempunyai banyak suis hormon berbanding lelaki yang hanya satu sahaja gangguan hormon iaitu testosteron. Maka, wanita lebih kompleks tetapi unik dan istimewa dengan cara mereka tersendiri.

Menurut Doktor Hormon, Dr. Linda Mat Hassin, dalam tubuh manusia terdapat lebih 50 jenis hormon dan ia perlu dioptimumkan (tidak terlebih ataupun terkurang).


“Wanita lebih banyak terdedah kepada stres berbanding lelaki kerana gangguan hormon yang banyak.

“Oleh itu, hormon wanita perlu seimbang (optimum) supaya kesihatan mental, fizikal dan kesejahteraan secara keseluruhan berada dalam keadaan baik.

“Apabila hormon wanita seimbang, maka mereka boleh membuat keputusan yang penting dengan tenang tanpa rasa takut,” kata Pengasas Skyhill Clinic.

Tambahnya, wanita sekarang memegang peranan yang besar dalam bidang pekerjaan, maka gangguan hormon perlu diberi perhatian agar tidak mudah emosi, cepat marah dan menimbulkan pelbagai masalah kepada staf di bawahnya.

Terang beliau, wanita bekerjaya perlu optimumkan dua hormon iaitu estrogen dan progesterone supaya emosi stabil, tidak mudah stress dan lebih fokus dalam kerja.

“Sebagai contoh, progesteron membantu wanita untuk membuat keputusan yang bijak dan tenang sama ada urusan di pejabat mahupun di rumah.

“Hormon yang optimum juga membantu wanita tidak cepat letih meskipun melakukan pelbagai tugasan di rumah dan pejabat,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu

Lebih membimbangkan, apabila berumur 30 tahun ke atas hormon akan menurun (menjunam) dan wanita lebih cepat mengalami krisis hormon itu berbanding lelaki.

Sehubungan itu, Dr. Linda menyarankan wanita yang mengalami simptom gangguan hormon agar membuat pemeriksaan di klinik yang menyediakan perubatan hormon.

“Pesakit akan menjalani dua jenis ujian lazim iaitu pengambilan darah ataupun rambut bagi mengenal pasti gangguan hormon.

“Berdasarkan keputusan ujian darah itu, doktor akan memberikan pil dan krim yang diformulasikan khas untuk merawat gangguan hormon tersebut yang dikenali sebagai Bioidentical hormone therapy (BHRT) dan setiap orang tidak sama.

“Di Malaysia bidang ini masih baharu dan masyarakat belum membuka mata akan kepentingan rawatan hormon berbanding perubatan konvensional,” kata Ikon Wanita Pulau Pinang itu.

Dalam pada itu, Dr. Linda turut kongsikan lima tip untuk seimbangkan hormon wanita seperti berikut:

  1.   Diet

Amalkan pemakanan yang baik dan sihat kerana perut adalah rumah penyakit. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan adalah berkhasiat untuk tubuh badan.

Sebagai contoh, ambil makanan yang mengandungi lemak baik seperti santan, avokado dan omega-3. Ia sangat baik untuk membantu seimbangkan hormon wanita.

  1. Perhubungan

Jaga perhubungan yang baik sesama manusia dan juga pencipta. Perkara ini banyak disarankan oleh pakar motivasi dan para doktor kerana sudah ada kajian mengenainya.

  1. Senaman

Jangan abaikan senaman walaupun melakukan pergerakan ringan kerana ia sangat baik untuk kesihatan fizikal dan mental. Malah, ada kajian mendapati berjalan 10 minit boleh memanjangkan umur.

  1. Tidur

Pastikan anda mendapatkan tidur yang secukupnya dan paling lewat tidur ialah pada pukul 12 tengah malam.

Hormon awet muda  atau human growth hormone (HGH) dirembeskan pada pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi.

  1. Senyum dan syukur

Kawalan stres sangat penting untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Oleh itu, dikongsikan dua S yang boleh kita praktikkan iaitu senyum dan syukur.

Tahukah anda, ketika senyum kita merembeskan empat hormon gembira? Iaitu oxytocin, dopamine, serotonin dan endorphin.

Empat hormon gembira ini penting untuk memastikan wanita kekal sihat dan ceria.

Seterusnya, jangan lupa bersyukur. Kajian daripada Dr. Joe Dispenza mendapati apabila kita menghadirkan syukur akan menggantikan rasa takut dalam hidup.

Islam juga mengajar kita untuk sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan nikmat.


Sumber : RELEVAN