Memaparkan catatan dengan label gabungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gabungan. Papar semua catatan

Apa maksud Kerajaan Perpaduan?

 


Kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik yang berseteru sebelumnya.


Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan pembentukan kerajaan perpaduan. Ini termasuk keadaan darurat akibat peperangan, bencana alam atau krisis ekonomi; parti yang memerintah tidak mempunyai sokongan majoriti dan keperluan untuk menangguhkan pilihan raya.


Dalam kerajaan perpaduan, dua atau lebih parti yang tidak sehaluan akan membentuk kerjasama dan menganggotai kerajaan secara bersama. 


Contoh kerajaan perpaduan di seluruh dunia 

  • Greece

Pada November 2011, Lucas Papademos, seorang pakar ekonomi dilantik sebagai Perdana Menteri Greece bagi mengeluarkan negara itu dari krisis ekonomi. Antara syarat yang diletakkan Papademos ialah pembentukan kerajaan yang terdiri daripada pemimpin kedua-dua parti politik utama Greece, iaitu New Democracy dan Panhellenic Socialist Movement (PASOK).

  • Afghanistan

Pilihan raya Presiden Afghanistan pada 2014 berhadapan kebuntuan apabila dakwaan penipuan menyelubungi kemenangan Ashraf Ghani ke atas Abdullah Abdullah. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang akhirnya dipersetujui kedua-dua calon. Asyraf dilantik sebagai Presiden manakala jawatan baharu, Ketua Eksekutif diwujudkan dan diberikan kepada Abdullah.

  • Israel

Israel antara negara yang kerap menubuhkan kerajaan perpaduan. Sejak 1967, negara itu telah mempunyai 10 kerajaan perpaduan yang dibentuk. Kerajaannya ketika ini, iaitu kerajaan ke-36 atau turut dikenali sebagai Kerajaan Bennet-Lapid dikatakan sebagai kerajaan perpaduan paling rencam yang pernah ditubuhkan di Israel dengan penyertaan parti berhaluan kanan, tengah, kiri dan juga satu parti Islam. 

  • Itali

Kabinet ke-67 Itali yang dikenali sebagai Kabinet Draghi ditubuhkan bagi menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan sosial akibat penularan wabak Covid-19. Kabinet itu diketuai bekas Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi selepas peletakan jawatan Giuseppe Conte. Kabinet ini disifatkan sebagai Kabinet teknokrat dengan penyertaan ramai teknokrat bebas selain pemimpin dari pelbagai parti politik berbeza haluan.

  • Kenya

Pada 2008 hingga 2013, Kenya diperintah kerajaan perpaduan kebangsaan yang disertai dua parti seteru, Gerakan Demokratik Oren (ODM) dan Parti Perpaduan Kebangsaan (PNU). Rundingan antara kedua-dua parti berlaku bagi menamatkan krisis politik akibat Pilihan Raya Presiden pada 2007.


Kerajaan perpaduan di Malaysia


Ini bukanlah kali pertama isu kerajaan perpaduan dibangkitkan di Malaysia. Pada 2009, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR).


Kerajaan perpaduan yang dicadangkan adalah bermodelkan kerajaan perpaduan Indonesia semasa pentadbiran Presiden B.J. Habibie. 


Menurut Wafdi Auni Mohamed (2019) , model kerajaan perpaduan tanpa pembangkang itu didasari empat perkara, iaitu:

  • BN yang merupakan gabungan parti politik pemerintah berkongsi kuasa dengan gabungan parti politik pembangkang iaitu PR di peringkat persekutuan.

  • Setiap kementerian mesti dikuasai bersama dan dasar perlu ditentukan secara politik permuafakatan.

  • Kedudukan PR dalam kerajaan perpaduan bukan bermaksud berada di bawah penguasaan BN tetapi setaraf dengannya sebagai rakan kongsi.

  • Parti kerajaan dan parti pembangkang akan membentuk pasukan pemerintahan dalam mengurus pentadbiran negara tanpa perlu mengorbankan ideologi parti masing-masing.

Walau bagaimanapun, cadangan kerajaan perpaduan tersebut ditolak, terutamanya oleh rakan PAS dalam PR, iaitu PKR dan DAP.


Pada 2020, disebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri interim ketika itu turut mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan.


Ia bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara akibat peristiwa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton. Cadangan itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan ahli-ahli Parlimen lain.


Pada November tahun sama, Dr. Mahathir sekali lagi mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi menghadapi pandemik Covid-19. Sekali lagi, cadangan itu tidak mendapat sambutan.


Kali ini, disebabkan tiada gabungan atau parti yang meraih majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sekali lagi diutarakan. 


Sumber : RELEVAN