Memaparkan catatan dengan label falak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label falak. Papar semua catatan

Rukyah, hisab tentukan Aidiladha

 


Islam menggunakan kiraan peredaran bulan atau 'qamariah' bagi menetapkan permulaan hari baharu pada setiap bulan.

Ia berbeza dengan kaedah antarabangsa yang menggunakan peredaran matahari bagi menentukan permulaan hari baharu bagi setiap bulan Gregorian.

Justeru, timbul polemik dalam kalangan umat Islam dan mempersoalkan mengapa tidak diseragamkan sahaja penetapan hari baharu setiap bulan bagi kalendar Hijriah seperti diguna pakai kalendar Gregorian.

Tahun ini, Aidiladha atau Hari Raya Korban di Makkah disambut pada 28 Jun manakala di Malaysia disambut pada 29 Jun.

Persoalan tentukan tarikh

Menurut pakar falak yang juga bekas Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Dr Azhari Mohamed, berkata pendapat yang menyokong kepada keperluan menyambut Aidiladha secara serentak bersama-sama jemaah haji di Makkah tidak mempunyai asas kukuh.

Malah, asas itu juga tidak kuat kerana perayaan itu mula disambut bermula tahun 1 Hijrah, manakala ibadat haji pula difardukan dalam tahun 6 Hijrah.

Ibadat haji terikat pada tempat dan masa, iaitu di sekitar Makkah, sedangkan Aidiladha pula boleh disambut di mana-mana saja dan tidak terikat dengan satu tempat.

"Sekiranya kita kembali semula kepada zaman 1,400 tahun dahulu, keadaan ketika itu tidak memungkinkan umat Islam bertukar apa juga maklumat dengan pantas seperti hari ini.

"Oleh itu, persoalan timbul, bagaimana pengetahuan mengenai tarikh hari wukuf boleh disampaikan kepada semua umat Islam di segenap pelosok dunia untuk merayakan Aidiladha sekiranya itu adalah tuntutan syarak.

"Malaysia berada di timur Makkah dan terpisah dengan lima zon waktu, bermakna waktu kita mendahului di Makkah kira-kira lima jam. Sekiranya kita berpegang kepada kaedah penetapan sehari selepas wukuf, maka ibadat seperti laungan takbir, solat sunat Aidiladha serta ibadat korban di sini sebenarnya mendahului ibadat sama di Makkah," katanya.

Oleh itu, penetapan tarikh raya Aidiladha bagi umat Islam di luar Arab Saudi tidak seharusnya bergantung kepada pengisytiharan hari wukuf.

"Disebabkan itu, Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban dan bukannya Hari Raya Haji bagi kita," katanya.

Jelas beliau, isu tarikh sambutan Aidiladha sebenarnya dibincang serta dibahas dengan panjang lebar dengan mengambil kira pandangan syariah dan teknikal termasuk menerusi resolusi Islamic Fiqh Academy, pada 11 hingga 16 Oktober 1986 di Jordan.

"Resolusi membuat ketetapan dan memutuskan semua negara Islam menentukan permulaan bulan Hijriah termasuk Zulhijjah menggunakan asas yang sama bagi Aidilfitri dan Aidiladha," katanya.

Justeru, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167, bersidang pada 16 Jun 1994 berkenan supaya tarikh Aidiladha di Malaysia pada 10 Zulhijah ditentukan melalui rukyah dan hisab, dan tidak lagi sehari selepas wukuf di Padang Arafah.

Azhari juga Penasihat Persatuan Falak Syari' Malaysia menyatakan, sistem negara sangat kemas dan prosedur yang sistematik di dalam menentukan tarikh awal bulan Hijriah dan tarikh penting dalam Islam, menjadikan negara ini sangat unik.

Kaedah hisab berdasarkan konsep Imkanur Rukyah dengan kriteria tertentu digunakan untuk semua 12 bulan Hijriah, yang bermula pada 1996.

Beliau menjelaskan, untuk menetapkan permulaan tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah, kaedah hisab ini ditambah dengan merukyah hilal, menerusi langkah disebut sebagai kaedah rukyah dan hisab.

"Kaedah rukyah menggunakan mata kasar dan dibenarkan juga menggunakan peralatan optik moden seperti teleskop dan tiodolit manakala.

"Kaedah hisab berdasarkan konsep kriteria Imkanur Rukyah (KIR) MABIMS 1991, diasaskan daripada Resolusi Istanbul 1978.

"Ia diikuti kriteria Imkanur Rukyah (KIR) MABIMS 2021, menetapkan selepas ijtimak pada petang hari ke-29 bulan Hijriah dan ketika Maghrib, anak bulan akan dianggap kelihatan sekiranya ia berada di ketinggian atas ufuk sekurang-kurangnya tiga darjah dan juga berada pada jarak lengkung dari matahari sekurang-kurangnya 6.4 darjah," katanya.

Kaedah rukyah dan hisab

Negara ini juga turut menggunakan konsep matla', iaitu tempat terbit anak bulan dan disebabkan semua negara mempunyai kedudukan dan wilayah terbit yang berbeza, hasil cerapan diterima adalah di negara ini sahaja.

Pemakaian kaedah rukyah dan hisab bagi Ramadan, Syawal dan Zulhijah menarik kerana ia berpotensi untuk menghasilkan empat kemungkinan berkaitan pensabitan hilal pada petang hari ke-29.

Pertama : Hilal yang dirukyah tidak kelihatan (negatif) dan hisab berdasarkan syarat Imkanur Rukyah juga menunjukkan ia tidak ada (negatif).

Mungkin terjadi akibat konfigurasi kedudukan bulan yang lemah dalam sistem bumi dan matahari.

Kedua : Hilal yang dirukyah negatif tetapi hisab menunjukkan ia positif, jadi kita akan pakai hasil hisab dan keesokannya adalah 1 hari bulan.

Ketiga : Hilal yang dirukyah serta hisab masing-masing positif maka keesokannya adalah 1 hari bulan dan ini sering berlaku, contohnya ketika cerapan hilal Ramadan 1444H pada 22 Mac 2023 di mana 10 daripada 29 lokasi berjaya mengesan kehadiran hilal 1 Ramadan ini. Maka umat Islam negara berpuasa pada 23 Mac.

Keempat : Hilal yang dirukyah kelihatan positif tetapi hisab pula negatif. Keesokannya tetap 1 hari bulan dan berdasarkan rekod hanya terjadi ketika cerapan hilal, pada 30 April 2022 apabila hanya Jawatankuasa Melihat Hilal di Wilayah Persekutuan Labuan sahaja mengesan kehadiran hilal itu.

Ketika itu rakyat negara menyambut Aidilfitri 'mengejut'," katanya.

Konsep Matla' selesai polemik takwim Islam

Azhari juga bekas Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan, perbezaan tarikh penting dalam Islam tidak sepatutnya berlaku di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

"Suatu masa dahulu, berlaku kekecohan di Sarawak yang tinggal berhampiran sempadan Brunei yang mahu menyambut Aidilfitri sehari lambat disebabkan syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) tetapi atas prinsip kesatuan hukum dan konsep matla', rakyat Malaysia kekal menyambut Aidilfitri pada tarikh sama," katanya.

Namun, prinsip kesatuan hukum dan konsep matla' tidak boleh digunakan dalam penyediaan jadual waktu solat kerana ia bertentangan dengan hukum syarak.

Menjadi impiannya untuk melihat umat Islam seluruh dunia berpuasa dan beraya pada tarikh sama melalui penerimaan satu kalendar Hijriah sahaja.

"Ia tidak mungkin berlaku, tetapi saya ingin mengajak semua pengamal falak sama ada teknikal atau syariah untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keazaman dalam bidang takwim Islam agar kita mampu mengetuai gerakan ke arah pembentukan dan pemakaian satu kalendar Hijri global," katanya.


Info:

Fakta takwim Islam

* Kalendar miladi bergantung kepada matahari, tapi kalendar Islam berdasarkan pergerakan bulan

* Bulan mengambil masa 29.53 hari untuk mengelilingi bumi, jadi bilangan hari dalam bulan Islam cuma ada 29 hari atau 30 hari

* Bilangan 29.53 hari dikira dari kedudukan bulan berada di garis ijtimaknya ke satu garis ijtimak berikutnya, selepas menjadikan satu pusingan lengkap bulan mengelilingi bumi

* Anak bulan baharu tidak boleh kelihatan sekiranya bulan berada di atas garisan ijtimak kerana ia membelakangi matahari, malah bulan juga tidak mempunyai cahayanya sendiri

* Pantulan cahaya pertama dilihat dari bulan selepas ijtimak dinamakan hilal dan hanya boleh berlaku pada petang hari ke-29 bulan Hijriah selepas matahari terbenam sekiranya semua syarat kenampakan dipenuhi

* Hari dalam Islam dikira ketika bermula ketika maghrib, bukan pada jam 12 tengah malam atau selepas Subuh.

Sumber dari Berita Harian