Memaparkan catatan dengan label dekati pengundi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dekati pengundi. Papar semua catatan

Metaverse kaedah baharu dekati pengundi

 


Malaysia perlu membangunkan strategi tersendiri bagi mendapat manfaat dalam dunia serba baharu, termasuk melalui teknologi Metaverse.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ketika dunia mula bergerak ke hadapan, perhatian kini lebih banyak diberikan kepada dunia digital.

Metaverse katanya, adalah asimilasi tiga dunia iaitu fizikal, digital dan maya, yang didefinisi sebagai generasi baharu internet.

Metaverse bersifat masa sebenar, tiga dimensi dan interaktif, dan semakin banyak syarikat swasta mula bertapak di negara ini, dengan pelbagai urusan serta kegunaan yang diaplikasikan di Metaverse.

"Generasi baharu iaitu Gen Z yang berusia awal 20-an banyak menghabiskan masa di dalam dunia maya. Dalam masa yang sama, teknologi dunia fizikal juga menjadi semakin canggih.

"Kita terpaksa beradaptasi dengan perkembangan teknologi baharu ini untuk terus maju dan tidak ketinggalan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Khas Untuk Anak Muda di platform teknologi, Metaverse.

Pada usia 96 tahun, Dr Mahathir yang juga Presiden PEJUANG melakar sejarah, dengan menjadi satu-satunya wakil parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menggunakan platform itu mendekati pengundi.

"Ini adalah kali pertama saya berucap dalam dunia Metaverse, dunia serba baharu ini.

"Teknologi berkembang begitu pantas. Saya bersyukur kerana saya masih berpeluang untuk bersama-sama menerokainya," katanya.

Mengimbau sejarah pelancaran Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996, Dr Matathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, berkata MSC menumpukan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan berkaitan industri multimedia, selain bertujuan mencorak pemikiran rakyat untuk bergerak seiring peredaran teknologi yang dinamik.

Calon bagi Parlimen Langkawi itu, berkata jika PEJUANG diberi peluang untuk memerintah selepas PRU15, parti itu akan mendirikan kerajaan yang akan memupuk inovasi dan teknologi, dengan fokus turut diberikan kepada platform Metaverse.

Justeru, beliau berharap anak muda akan keluar mengundi pada Sabtu ini dan memilih calon PEJUANG sebagai wakil rakyat mereka.

"Walaupun kita rasa Metaverse masih terlalu baharu, kita perlu ambil langkah dan bermula dari sekarang. Sebagaimana kita meneroka alamNon-Fungible Token (NFT), blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT)

"Kita akan pastikan yang kita tidak akan ketinggalan. Kita akan tingkatkan pendidikan dan latihan dalam teknologi masa hadapan.

"Melalui pendidikan dan latihan yang betul, kita akan pastikan rakyat kita dapat terus menguasai teknologi baharu. Kita mampu lakukan semua ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian