Memaparkan catatan dengan label cekap tenaga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cekap tenaga. Papar semua catatan

Rebat RM400 untuk beli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga

 


Kerajaan memperuntukkan RM50 juta di bawah Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) bagi membiayai program rebat pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga.

Melalui insentif itu, pengguna yang membeli dua produk elektrik berlabel empat atau lima bintang yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) bermula hari ini, akan menerima rebat sehingga RM400.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata rebat bagaimanapun terhad satu akaun bil elektrik sahaja bagi setiap pembelian penyaman udara serta peti sejuk dan berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

Katanya, pengguna boleh memohon dan mendapatkan e-rebat melalui dua kaedah, iaitu dengan membawa bil elektrik terkini dan membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik atau pasar raya berdaftar di bawah Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 4.0.

"Mereka juga boleh memohon e-rebat dan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf," katanya selepas melancarkan SAVE 4.0 sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Beliau berkata, warga Malaysia pemilik akaun elektrik tarif domestik yang berdaftar dengan syarikat utiliti layak untuk memohon.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, cara permohonan e-rebat, mekanisme pelaksanaan, senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga serta harga rujukan boleh didapati di laman sesawang www.saveenergy.gov.my atau 'microsite' yang disediakan di platform e-dagang.

"Program SAVE 4.0 dikelolakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai agensi pelaksana. Sasaran utama apabila kita membuat proses pensasaran subsidi, mungkin akan ada peningkatan elektrik, jadi peralatan dan peranti cekap tenaga penting," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, sepanjang tahun hadapan, kementeriannya akan meneruskan Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sehingga sistem Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diperkenalkan.

Selain itu, katanya, seramai 2,000 renjer komuniti juga akan dilantik bagi menjaga hutan, selain meningkatkan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi Untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) daripada RM150 juta kepada RM200 juta.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan peruntukan itu bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar terancam.

Penambahan renjer komuniti daripada 1,000 orang tahun ini kepada 2,000 pada 2024 pula bertujuan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan kekal, membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar di kawasan berkenaan.

Sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk melantik renjer dari kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Orang Asli dan komuniti setempat.

Sumber : Berita Harian