Memaparkan catatan dengan label bnm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bnm. Papar semua catatan

Peminjam terkesan kenaikan OPR dinasihat hubungi bank, AKPK - BNM

 


Mana-mana peminjam yang berdepan kesukaran membayar pinjaman boleh menghubungi bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mencari cara pembayaran balik alternatif yang sesuai untuk mereka.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pihaknya menyedari bahawa sesetengah orang mungkin lebih terjejas daripada yang lain disebabkan oleh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Katanya, OPR adalah instrumen yang digunakan untuk memberikan kestabilan harga dan tidak membezakan antara mereka yang mempunyai pinjaman dan yang tidak dalam penghantarannya kepada ekonomi.

"Justeru itu, mana-mana peminjam – B40, atau M40; individu atau perniagaan – yang mungkin menghadapi kesukaran untuk membayar pinjaman mereka boleh menghubungi bank atau AKPK untuk mencari cara pembayaran balik alternatif yang sesuai untuk mereka.

"Bantuan adalah tersedia untuk peminjam yang memerlukannya, dan pengaturan tersuai sedemikian akan memberi manfaat kepada peminjam dan bank," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini bagi menjawab kritikan pihak yang antara lain mendakwa kenaikan OPR telah menyebabkan kesukaran kewangan kepada peminjam.

Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, bagaimanapun, lebih 50 peratus pinjaman daripada B40 dan kumpulan yang terdedah adalah dalam instrumen kadar tetap.

"Jadi bayaran balik bulanan mereka daripada pinjaman kadar tetap ini tidak akan terjejas oleh kenaikan OPR.

"Namun demikian, jika kita tidak menguruskan tekanan harga yang berlebihan seperti yang kita lihat dalam beberapa ekonomi lain, ini akan menjejaskan semua orang.

"Golongan B40 dan kumpulan yang terdedah adalah mereka yang paling terjejas jika kita membiarkan inflasi tidak terkawal, dan kita akan tidak dapat mengekalkan pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang. Kita tidak boleh dan membiarkan perkara itu berlaku," katanya.

Sumber dari Berita Harian