Memaparkan catatan dengan label bajet 2024. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bajet 2024. Papar semua catatan

Subsidi bersasar pada 2024



Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini perlu mempunyai pendekatan dalam subsidi bersasar bagi menjadikannya satu belanjawan yang saksama dan inklusif.

Ketua Sekolah Perniagaan Universiti Monash, Prof Nafis Alam, berkata langkah itu juga dapat meringankan beban ekonomi isi rumah berpendapatan rendah, terutamanya golongan B40.

Beliau berkata, perbelanjaan sosial yang disasarkan dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan juga akan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi di Malaysia.

"Ini adalah bagi memastikan Belanjawan 2024 dapat menggalakkan ekuiti,

 keterangkuman dan manfaat untuk semua rakyat.

"Ekonomi Malaysia mencatatkan pemulihan yang teguh selepas COVID-19 ditambah dengan kestabilan politik, menjadikan prospek ekonomi positif untuk 2024 hingga 2025," katanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam mengesahkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan sistem subsidi bersasar pada 2024 bagi membantu meringankan beban fiskal kerajaan sambil pada masa sama mengurangkan kemiskinan dan ketidakseimbangan.

Beliau berkata, pelbagai model disediakan Kementerian Ekonomi, namun keputusan akhir mengenainya akan diputuskan Jemaah Menteri.

Katanya, proses pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan digunakan bagi tujuan mengagihkan subsidi bersasar sedang berjalan lancar dan akan melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum akan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.

Bagi membolehkan subsidi bersasar dilaksanakan secara berkesan, Kementerian Ekonomi perlu mengenal pasti isi rumah mengikut pendapatan, lokasi, dan komitmen mereka bagi mendapatkan kedudukan pendapatan boleh guna bersih mereka untuk mengira berapa banyak yang perlu diberikan dalam subsidi.

Sementara itu, Nafis berkata, Malaysia dijangka mengalami penurunan dalam eksport berikutan kemerosotan dalam perdagangan antarabangsa, namun ringgit yang semakin lemah akan bertindak sebagai penstabil semulajadi kepada kerajaan.

Sumber : Berita Harian

Beliau berkata, cabaran ekonomi luar seperti inflasi global, keadaan geopolitik dan ekonomi China yang semakin lemah akan memberi kesan kepada ekonomi negara lebih daripada situasi dalaman.

Justeru katanya, Malaysia perlu mengekalkan dan menarik bakat terbaik bagi membawa syarikat multinasional utama memulakan atau mengembangkan operasi mereka di negara ini.

"Walaupun kestabilan politik (sekurang-kurangnya dalam jangka pendek) telah memberikan talian hayat kepada ekonomi, negara memerlukan pelaburan asing yang berterusan untuk bersaing dengan ekonomi serantau.

"Malah, sebagai penyokong kuat pembangunan bakat, saya ingin melihat inisiatif kerajaan untuk menarik dan mengekalkan kumpulan bakat untuk negara.

"Malaysia ialah destinasi pilihan untuk pendidikan tinggi dan kerajaan boleh menggunakan peluang ini untuk mengekalkan bakat global dengan menawarkan visa kerja selepas belajar terutamanya dalam sektor keutamaan seperti perkhidmatan teknologi dan kewangan," katanya.