Memaparkan catatan dengan label aplikasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aplikasi. Papar semua catatan

Empat aplikasi untuk jemaah haji

 


Mudah, penuh dengan maklumat dan mesra pengguna.

Itulah kelebihan bakal diperoleh apabila menggunakan empat aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ketika berada di Makkah iaitu THhujjaj, Hajjmobility, E-Taib dan E-bimbingan sempena musim haji tahun ini.

Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat Haji TH, Shamsul Kamar Hussein Kamal, berkata aplikasi itu bukan sahaja boleh menjadi saluran maklumat penting untuk petugas tetapi juga rujukan kepada pelbagai persoalan bagi 14,306 jemaah Malaysia.

Lebih menarik, katanya, pengguna mampu menguasainya dalam tempoh singkat, termasuk warga emas dan mereka yang kurang cekap menggunakan teknologi.

"Sebenarnya ada peningkatan pemahaman mengenai teknologi maklumat dalam kalangan warga emas sekarang tetapi mereka yang ada masalah akan dibantu oleh petugas terutama ketika menggunakan THhujjaj.

"THhujjaj ini mudah digunakan. Jemaah haji yang pertama kali pun tak perlu risau kerana ia sangat mudah dan semua isu berkaitan haji boleh diperoleh daripada aplikasi itu," katanya kepada pemberita di Bangunan Al Jandriah di sini.

Shamsul Kamar berkata, tempoh dua tahun tidak bertugas di Makkah akibat COVID-19 digunakan sebaiknya oleh pasukan teknologi maklumat TH untuk melakukan penambahbaikan sistem sedia ada, selain berpeluang mencipta aplikasi baharu.

Mengakui peredaran teknologi yang semakin pantas, beliau berkata, TH tidak ketinggalan mendapatkan penggunaan sistem terbaik dan terkini supaya tidak membebankan jemaah haji kelak.

"Proses pembangunan digitalisasi dilakukan selepas TH melihat keperluan untuk memudahkan jemaah. Kita mulakan THhujjaj ini dah lebih empat tahun termasuk mengkaji apa yang boleh ditambah baik dengan membuat pelbagai versi percubaan.

"Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, ia telah siap tetapi tidak dapat dilakukan sesi ujian kerana sistem ini hanya boleh digunakan di Makkah," katanya.

Shamsul Kamar berkata, Hajjmobility akan membantu petugas memantau semua pergerakan jemaah terutama dalam menyusun pengangkutan dan penginapan.

Malah, katanya, sistem itu mampu mengurangkan kesilapan pengurusan ketika di Tanah Suci. 

Sumber : BERNAMA

Aplikasi JENDELA Map untuk maklum balas liputan telekomunikasi

 


Lebih 28,000 maklum balas termasuk permintaan baharu daripada orang ramai diterima menerusi JENDELA Map sejak ia dilancarkan Julai tahun lalu, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi SKMM, Shamsul Izhan Abdul Majid, berkata JENDELA Map dilancarkan bagi membolehkan orang ramai untuk memeriksa liputan talian syarikat telekomunikasi di sesuatu kawasan.

Malah, beliau berkata, ia juga boleh berfungsi sebagai tempat menerima aduan jika tidak ada perkhidmatan di sesuatu tempat.

Katanya, pewujudan JENDELA Map adalah berikutan tidak ada sistem maklumat pusat dan bebas untuk membimbing dan memaklumkan pembekal perkhidmatan serta rakyat mengenai perkhidmatan telekomunikasi dan liputan yang terdapat di sekeliling mereka.

"JENDELA Map membantu penyedia perkhidmatan untuk bertindak. Sejak 8 Julai hingga kini, lebih 13,000 maklum balas dan permintaan baharu telah diambil tindakan oleh penyedia perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat secara dalam talian mengenai aplikasi mudah alih JENDELA Map

Shamsul Izhan berkata, JENDELA Map boleh dilayari menerusi laman web jendela.my dan aplikasi mudah alih yang terdapat dalam Google Play Store dan Apple Store.

Beliau berkata, ciri utama JENDELA Map ialah orang ramai boleh memeriksa kawasan liputan rangkaian; maklum balas lokasi; menghantar maklum balas bagi meningkatkan perkhidmatan liputan; mendapat maklumat mengenai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan akses serta meninjau tempat menarik di kawasan liputan.

Katanya, bagi aplikasi mudah alih, setakat 4 Mac 2022, sebanyak 142 pemasangan menerusi Google Play Store dan sebanyak 103 menerusi Apple Store.

Sumber dari Berita Harian